SATU ketika dahulu, Dwayne The Rock Johnson antara individu yang paling berpengaruh dalam arena sukan gusti, namun siapa sangka, namanya kini lebih gah sejak dia menceburi bidang perfileman antarabangsa.
Tidak ambil masa yang lama mencipta nama sebagai pelakon, Johnson kini antara pelakon yang sering diberi peluang memegang watak besar dalam lakonan layar perak sekali gus berada di kelas tersendiri.
Antara penampilan terawalnya dalam bidang lakonan adalah filem The Scorpion King (2002) yang mana Johnson atau nama sebenarnya Dwayne Douglas Johnson menerima bayaran tertinggi untuk pelakon baharu sepertinya memegang watak utama, iaitu RM23 juta.
Sebagai pendatang baharu, Johnson bagaimanapun tidak terlepas daripada menerima kritikan dan perkara itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya memperbaiki mutu lakonannya.
Demi membuktikan kemampuannya, Johnson bangkit memperkukuhkan lakonannya dan usaha itu nyata membuahkan hasil apabila setiap watak yang dibawanya tidak mengecewakan penonton.
Biarpun karier lakonan memberi sinar baharu dalam hidupnya, sehingga hari ini Johnson masih belum terfikir meninggalkan kerjaya pertamanya sebagai ahli gusti.
Malah April lalu, aktor yang lebih dikenali dengan gelaran The Rock ini muncul menerusi program gusti WrestleMania 32.
“Terima kasih #WWEUniverse! Ia sentiasa menjadi satu penghormatan untuk kembali dan saya tidak akan melepaskannya untuk dunia,” tulis Johnson menerusi Instagramnya.
Sepanjang penglibatannya dalam sukan itu, Johnson  meraih 16 kejuaraan dalam World Wrestling Federation (WWF) dan World Wrestling Entertainment (WWE).
Lakonan terbaharu
Tidak hanya meletakkan dirinya sebagai pelakon filem aksi dan serius, Johnson turut menyerlah dalam lakonan komedi.
The Game Plan adalah filem komedi pertama yang menonjolkan sisi berbezanya dan percaturan itu memberi impak yang sangat besar terhadap kerjayanya apabila menerima pelbagai pujian daripada peminat.
Sejak itu, aktor berusia 44 tahun ini  sering berlakon dalam karya komedi seperti Tooth Fairy (2010) dan alih suara menerusi filem animasi Planet 51 (2009) sekali gus mengangkatnya sebagai pelakon versatil.
Terbaharu, Johnson sekali lagi bakal menghiburkan peminatnya dengan lakonan komedi menerusi filem Central Intelligence arahan Rawson Marshall Thurber.
Menerusi filem itu, aktor yang pernah dinobatkan sebagai juara selfie dunia ini digandingkan bersama pelakon Kevin Hart.
Filem tersebut mengisahkan  seorang remaja lelaki bernama Bob Stone yang yang sering dibuli ketika zaman persekolahannya kerana berbadan gemuk namun,  kehidupannya berubah selepas 20 tahun. Apakah yang berlaku selepas itu, nantikannya di pawagam.