BENTONG - Semakin ramai peserta Empower merebut peluang berniaga bagi menjana pendapatan, terutama di bazar Ramadan.
Peserta Empower, Habsah Johari, 47, berkata, dia mampu menjana keuntungan bersih RM1,800 sehari dengan menu jualan nasi kukus ayam rempah.
"Saya mula berniaga di bazar sejak enam tahun lalu dan menu nasi kukus ayam rempah ni memang jadi kegemaran pengunjung.
"Apa yang penting, menu disediakan berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan. Kalau mereka makan sedap, lain kali mesti datang beli lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bazar Ramadan Dataran Bentong, di sini, kelmarin.
Menurut anak jati Bentong ini, berniaga adalah cara terbaik untuk menambah pendapatan dan memperbaiki taraf kehidupan.
"Mana-mana perniagaan pun ada turun naiknya, tapi saya yakin rezeki berniaga sentiasa ada... 9 daripada 10 pendapatan kita adalah perniagaan, Alhamdulillah.
"Malah, anak sulung saya juga banyak membantu untuk pastikan perniagaan kami di bazar ni sentiasa terurus," katanya.
Anaknya yang juga peserta Empower, Nurul Azealawathy Abdul Khalid, 28, berkata, menu nasi kukus ayam rempah itu hanya dijual mereka di bazar ketika Ramadan kerana mendapat permintaan tinggi berbanding hari biasa.
"Setiap hari kami guna 300 ketul ayam dan 30 kilogram beras untuk menyediakan juadah jualan. Memang seronok kalau ramai pelanggan yang datang membeli. Malah, penat pun hilang kalau habis terjual.
"Rezeki Ramadan... saya bertuah sangat terpilih jadi peserta kursus keusahawanan Empower sebab dapat bimbingan yang betul mengenai perniagaan, terutama berkaitan kualiti makanan dan kebersihan tempat niaga," katanya.
Sementara itu, Hanipa Ibrahim, 43, berkata, pengalaman berniaga pelbagai air minuman pada bazar Ramadan tahun lalu menyebabkan dia tidak teragak-agak memilih menu jualan yang sama.
"Kursus Empower banyak bagi keyakinan kepada kami dengan menerapkan ilmu keusahawanan untuk mampu bersaing dan berjaya. Kalau tak ada ilmu keusahawanan ni, memang niat nak tambah pendapatan ketika Ramadan tak tercapai.
"Alhamdulillah, bila dah ada ilmu ni saya mampu jana keuntungan bersih RM300 sehari dengan berniaga di bazar dan diharapkan kepelbagaian air minuman saya jual ni terus mendapat permintaan pelanggan," katanya
.