|
|
RATU HATIKU. Itulah tema yang boleh digambarkan dalam persembahan Maulana Mohamed atau Maulana AF8 sempena sambutan hari ibu yang bakal menemui peminat di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor (SACC) pada 8 Mei (esok).
Ratu Hatiku yang dipetik sebahagian daripada senikata lagu Ibu nyanyian seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu turut menampilkan seorang artis veteran tahun 60-an, S. Mariam bagi membuat persembahan pada malam itu.
Lebih manis, persembahan Maulana pada malam itu yang bakal menampilkan ibunya S. Mariam sebagai artis jemputan adalah untuk memberi penghormatan ke atasnya yang telah berkecimpung dalam dunia seni pada ketika itu.
"Ibu yang telah membesarkan kami enam beradik, sebagai ibu tunggal dia memang tabah. Jadi saya sendiri mengambil keputusan untuk berkongsi pentas untuk menyanyi bersama-samanya dalam persembahan sempena hari ibu untuk menghiburkan tetamu-tetamu yang hadir," katanya.
Maulana juga memberitahu, ini adalah persembahan pentas yang pertama pernah dibuat selepas dia keluar daripada Akademi Fantasia 8 secara solo dan mahu memastikan tetamu-tetamu yang hadir malam itu benar-benar terkesan dengan persembahannya.
Menyentuh tentang pemilihan P. Ramlee yang menjadi tema sambutan hari ibu itu, adalah kebanyakan mereka merupakan orang-orang lama dan lagu-lagunya amat sesuai dengan lingkungan umur 50-an.
Lagu-lagu istimewa yang bakal diperdengarkan kepada tetamu adalah rangkaian lagu popular nyanyian P. Ramlee dan Datuk Sheila Majid termasuk lagu Inggeris yang kesemuanya terdiri daripada 20 buah lagu kesemuanya.
"Saya juga akan menyanyikan lagu single terbaru saya iaitu Melodi Muzika Cinta dan lagu hit saya, R.S.V.P.
"Lagu-lagu P. Ramlee pula termasuk Jeritan Batinku, Madu Tiga dan Sheila Majid, Dia serta Sinaran," katanya.
Di sebalik untaian lagu malar segar, Maulana juga turut akan menyanyikan lagu-lagu terkini yang popular.
Persembahan tersebut dianjurkan oleh Lensa Creative dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada warga emas serta ibu-ibu tunggal seramai 60 orang untuk menghiburkan mereka.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SACC, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, dia melihat Maulana sebagai seorang anak muda yang kreatif dengan idea bagi menyambut sambutan hari ibu pada tahun ini.
"Sebenarnya saya ada tunggu daripada pengurus acara yang lain untuk memberi kertas kerja tetapi Maulana dan penganjur majlis ini, Lensa Creative telah datang dulu dan memberikan idea menarik lantas bersetuju menerimanya," katanya.
Harga tiket yang dijual untuk Meja VIP RM2,500 setiap meja, Meja Platinum RM188 setiap orang dan Meja Emas RM158 setiap orang.
Orang ramai boleh menghubungi SACC di talian 03-5511 8858 atau Lensa Creative 03-6209 9858.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: