Wednesday, February 10, 2010

Tidak serasi lawak AN2 kurang menjadi


INILAH barisan lima peserta solo dan berkumpulan yang akan meneruskan saingan pada minggu ketujuh pada 14 Februari ini.


PERTANDINGAN Raja Lawak Astro musim keempat (Raja Lawak 4) terbitan Astro Prima mempertandingkan para peserta solo dan berkumpulan.

Peserta berkumpulan mungkin mempunyai kelebihan kerana selain boleh menampilkan lebih banyak idea, persembahan mereka juga mampu dipelbagaikan berbanding peserta solo.

Bagaimanapun, tanpa keserasian di kalangan peserta berkumpulan, mereka juga tetap akan berdepan masalah, antaranya lawak yang kurang mengggeletek hati para penonton.

Kumpulan AN2 yang merupakan peserta berkumpulan dalam Raja Lawak 4 tidak menafikan hakikat itu apabila mereka tersingkir pada pertandingan minggu keenam Ahad lalu.

Menurut salah seorang anggota duo kumpulan itu, Tepet atau nama sebenarnya Raja Nor Shafiq Azraie Shah, 20, kurang keserasian satu sama lain menjadi punca lawak mereka kurang menyerlah.

"Saya rasa chemistry (keserasian) di antara kami masih tidak sama ataupun kurang walaupun sudah enam minggu kami bersaing dalam pertandingan ini. Faktor ini antara penyebabnya.

"Biarpun kami telah mengenali satu sama lain sejak empat tahun lalu, tetapi kami jarang berjumpa kerana di Johor kami tinggal di kampung yang berlainan dan ia juga agak jauh.

"Saya tinggal di Johor Bahru, manakala Ijal pula tinggal di Kota Tinggi. Kami berjumpa pun sekali dalam seminggu. Kami mungkin perlu lebih banyak masa untuk serasi," katanya kepada Hits.

AN2 yang ditemui selepas mereka tersingkir pada Gelanggang Raja Lawak 4 minggu keenam dengan menerima undian khidmat pesanan ringkas (SMS) terendah para penonton sebanyak 5.5 peratus.

Selain Tepet, AN2 yang turut dianggotai oleh Ijal atau Rosshahrizal Bachok, 24, menjangka akan tersingkir pada pertandingan malam yang bertemakan Hantu Komedi itu kerana saingan daripada para peserta lain sangat sengit.

"Kami tersingkir mungkin kerana persembahan lawak kami yang kurang menyerlah. Saya rasa macam tidak setanding dengan para peserta lain yang jauh lebih bagus daripada kami.

"Sebelum ini kami sudahpun mencuba sedaya upaya memerah idea tetapi nampaknya 'kekuatan' atau 'benda' itu tidak juga datang dalam persembahan kami," ujarnya.

Selepas tersingkir daripada Raja Lawak 4, Tepet dan Ijal akan kembali ke kampung masing-masing dan mencari pekerjaan selain bersedia menerima tawaran berlakon jika digandingkan bersama.

Biarpun tersingkir daripada pertandingan terbitan Astro Prima itu, namun AN2 tidak pernah berasa kesal kerana mereka telah mencuba sedaya upaya memerah idea dan bakat masing-masing.

"Sebenarnya kami berdua sudah bersedia untuk disingkirkan pada setiap minggu Gelanggang Raja Lawak diadakan. Kami anggap setiap minggu pertandingan adalah kali yang terakhir untuk kami.

"Kami berasa seronok dan bertuah kerana dapat menimba pengalaman semasa berada dalam Raja Lawak 4. Daripada situlah kami faham betapa susahnya hendak menjadi pelawak," kata Tepet.

Raja Lawak 4 minggu keenam menyaksikan Idlan berada di tangga teratas dengan menerima undian SMS sebanyak 28.4 peratus, Mamu (24 peratus), Kecik (17 peratus), Alex (16 peratus) dan Caca (9.2 peratus).

Din Beramboi, salah seorang pengkritik tetap pertandingan masuk tahun keempat itu menyifatkan penyingkiran para pesertanya mempunyai persamaan dengan undian SMS para penonton.

"Saya menjangkakan AN2 merupakan peserta yang akan tersingkir pada malam ini. Saya dapati apa yang kami (pengkritik) ramalkan tentang setiap penyingkiran ada hubung kaitnya dengan undian SMS.

"Ini kerana, para penonton dan pengundi SMS dalam pertandingan ini saya rasa boleh dikatakan orang yang sama. Jadi, mereka sudah faham dan tahu menilai kritikan yang kami lontarkan," komennya.

Memandangkan peserta pertandingan lawak jenaka itu semakin berkurangan ekoran adanya penyingkiran pada setiap minggu, Astro Prima bercadang menambah masa persembahan pesertanya kelak.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, mulai minggu kelapan setiap peserta mungkin akan disyaratkan mengadakan dua sketsa persembahan bagi mengisi slot siaran pertandingan itu selama 90 minit.

"Setakat ini setiap peserta diberi masa dua minit setengah untuk mengadakan persembahan tetapi selepas ini masa itu akan dilanjutkan kepada 3 minit. Mungkin mulai minggu kelapan setiap peserta akan mengadakan dua persembahan.

"Bagaimanapun, waktu siaran Gelanggang Raja Lawak pada setiap minggu dan pada final nanti adalah sama iaitu 90 minit. Kami ada banyak cadangan untuk mengisi waktu tersebut.

"Kami juga mungkin akan mengisi slot yang ada dengan perkara-perkara yang spontan. Pengisian slot yang sesuai itu bergantung kepada keadaan dan keperluan," jelasnya.

Dengan penyingkiran itu, Raja Lawak 4 yang turut dibarisi oleh dua lagi pengkritiknya iaitu Afdlin Shauki dan Bob Lokman akan diteruskan oleh lima peserta iaitu Idlan, Mamu, Kecik, Alex dan Caca.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: