Terjemahan menjadi satu sisi penting pengembangan mana-mana kerja sastera di dunia. Rintihan Terpendam antara karya terjemahan yang mengungkap kisah penuh bermakna sasterawan Jepun.
"SASTERAWAN dengan bahasanya menciptakan sastera nasional. Sastera dunia diciptakan oleh penterjemah."
Kata-kata itu adalah petikan daripada seorang penerima Hadiah Nobel yang juga merupakan penulis dan novelis tersohor dari Portugal, Jose Saramago. Dia mungkin menyatakan perkara berkenaan selepas menyandang gelaran berkenaan yang diterima pada tahun 1998.
Apakah yang paling ketara terkandung di sebalik pernyataan yang boleh juga dilihat sebagai sebuah hasrat berkenaan? Saramago memberikan isyarat yang jelas iaitu sepenting mana pun sesebuah karya itu ia tidak menjadi penting sekiranya kerja-kerja berkenaan tidak dapat dinikmati oleh skop audiens yang lebih luas.
Dalam konteks itu kita memahami satu perkara, terjemahan menjadi satu sisi penting pengembangan mana-mana kerja sastera di dunia. Daripada kenyataan Saramago itu ternyata kerja terjemahanlah yang memungkinkan kewujudan sesebuah judul itu menjadi lebih relevan dan diberi perhatian kelompok di luar penutur bahasa yang sama dengan penulisnya.
Hal itu misalnya disedari oleh khalayak sastera Indonesia. Judul-judul baru dan penting buku-buku antarabangsa dengan cepat akan diterjemah ke dalam bahasa Indonesia. Ini membuka spektrum pembacaan yang lebih luas untuk masyarakat setempat di sana dan juga khalayak sastera serantau. Apabila buku The Silent Cry diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu Rintihan Terpendam, ia memberi peluang kepada lebih banyak pembaca di negara ini memahami isi hati penulisnya Kenzaburo Oe.
Penulis Jepun itu juga sebenarnya ialah penerima Hadiah Nobel 1994. Rintihan Terpendam merupakan judul tulisan beliau yang paling diingati. Ia membawa pembaca untuk kembali ke latar tempat di mana Oe membesar, dengan kisah-kisah dan imaginasi yang berjejak kepada permasalahan serta pengaruh budaya masyarakat Jepun dari sudut pandangannya.
Pada tahun 1935, Oe dilahirkan di sebuah kampung terpencil di dalam kawasan hutan kepulauan Shikoku. Secara tradisinya, generasi keluarga besar Oe belum pernah meninggalkan tanah tradisi mereka itu untuk meneruskan kehidupan.
Daripada latar suasana itulah Rintihan Terpendam digarap. Sejak mula menulis pada 1957 ketika masih lagi menuntut Kursus Kesusateraan Perancis di Universiti Tokyo, The Silent Cry yang pertama kali diterbitkan pada 1967 disifatkan sebagai penulisan skala besar Oe yang memaparkan pergolakan jiwa dan budaya watak-watak yang diciptakan.
Ia bercerita tentang watak-wataknya yang bermasalah; dua beradik yang menjalani kehidupan berbeza. Si abang yang berdepan dengan pelbagai krisis kehidupan dan rumah tangga kerana tidak mahu menjaga anaknya yang cacat manakala si adik yang baru pulang dari Amerika Syarikat (AS) juga punya pergolakan tersendiri. Dalam proses mencari penyelesaian itu mereka kembali semula ke kampung asal keluarga mereka di Shikoku.
Oe kemudiannya menekankan elemen-elemen pertentangan budaya. Pengaruh AS membangunkan kesedaran sosio budaya setempat sedikit-sebanyak diberi perhatian oleh Oe melalui watak-wataknya.
Insiden-insiden tragik yang memulakan naratif buku itu dengan sendiri seperti memberi isyarat kepada bagaimana kehidupan manusia menempuh tempoh proses pemodenan terus menjadi relevan, walaupun dilihat dengan teropong kehidupan hari ini.
Rintihan Terpendam dibuka dengan ayat-ayat diskriptif naratornya yang juga watak utama dalam novel itu. Ia dimulakan dengan kegelapan mencerminkan rasa putus asa dengan hidup.
Kegelapan dunia yang separuhnya dijelaskan perlahan-lahan, yang mengakibatkan matanya buta sebelah. Watak itu seterusnya mengadu nasib tentang kehodohan diri dan terbawa-bawa dengan perasaan itu.
Kepedihan untuk menghadapi realiti naratornya; berusia 27 tahun, berkahwin, anak cacat dan kebangkitan nafsu yang membuak-buak untuk didengari. Dia mencari cahaya cerah, untuk melanjutkan kehidupan dalam latar seperti yang digambarkan itu.
Kepunahan semangat yang diceritakan kemudian menjadi pemangkin kepada sebuah gaya penulisan besar dengan cara Oe.
Dia melanjutkan keresahan, kecerewetan dan pemerhatian tentang sejarah diri dan kelompok.
Watak itu bertubi-tubi diasak dengan dugaan merimaskan yang menguji ketahanan mental dan emosi. Ini yang disebabkan gaya penyampaian Oe yang tenang walaupun sedang berbicara tentang hal yang cemas akan menelusuri sama ke dalam emosi pembaca.
Kita akan melihat perlahan-lahan isi di sebalik kulit novel versi bahasa Melayu itu yang dipermukaan luar kerap menimbulkan rasa janggal kerana pertembungan gaya bahasa penterjemah.
Terjemahan itu diambil dan dialih bahasa daripada versi Inggeris novel berkenaan, yang diterbitkan oleh Kodansha Ltd.
Oleh kerana tajuk-tajuk buku yang popular tidak semestinya mengandung rasa dan pengalaman yang sama penting dengan buku itu ia menyebabkan tidak banyak perhatian diberikan kepada penulis Jepun berkenaan. Dengan adanya edisi terjemahan dalam bahasa Malaysia itu seharusnya ia menjadi antara tanda aras kepada kesediaan khalayak pembaca untuk terus mencari dan merasakan pengalaman-pengalaman lain seperti yang terdapat dalam buku-buku besar tulisan pengarang tersohor dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: