KUALA LUMPUR 1 Feb. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB), firma pelaburan terkemuka di Malaysia, dijangka memperkenalkan perkhidmatan urus niaga dalam talian secara lebih meluas tidak lama lagi.
Urus niaga tersebut akan ditawarkan pada tahun ini untuk memudahkan para pemegang unit dana amanah menambah pelaburan mereka.
Difahamkan, PNB kini dalam proses terakhir untuk menstruktur sistemnya untuk tujuan tersebut.
PNB pada April lalu, telah memperkenalkan urus niaga secara dalam talian bagi tambahan dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan kerjasama Malayan Banking Bhd. (Maybank) melalui Maybank2U.
Perkhidmatan online bagi semua produk itu juga akan dilaksanakan oleh Maybank.
Sistem urus niaga baru itu diperluaskan selepas mendapati ia berjaya meningkatkan tambahan pelaburan dalam ASB.
Sekiranya dilaksanakan, sistem berkenaan dilihat mampu membantu strategi firma pelaburan itu meningkatkan pelaburan di kalangan rakyat Malaysia menerusi unit-unit amanah yang ditawarkan.
PNB menawarkan empat unit amanah berharga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham 2020, Amanah Saham Malaysia, Amanah Saham Didik dan Amanah Saham 1Malaysia.
Sementara bagi produk harga berubah-ubah pula ialah Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Nasional 2, Amanah Saham Nasional 3 dan Amanah Saham Gemilang (kesihatan, pendidikan, persaraan).
Namun, para pelabur yang berhasrat untuk menjual unit amanah mereka masih perlu berurusan di Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan ejen-ejennya di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: