Wednesday, February 24, 2010

Pernah baring dalam mahkamah




DARI luaran mereka kelihatan normal. Tiada cacat cela pada fizikal mereka, namun apabila diajak bicara kepala digelengkan sambil tangan menunjukkan isyarat di telinga membawa erti mereka tidak boleh mendengar.

Tanpa pendengaran, golongan pekak bergantung kepada alternatif lain untuk berkomunikasi dan mereka bergantung sepenuhnya kepada bahasa tubuh, gerak badan dan juga mimik muka.

Bahasa isyarat merupakan medium utama bagi mereka berkomunikasi, namun sejauh mana kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab benar-benar memahami keperluan golongan ini dalam memudahkan mereka memahami input dan juga menyampaikan pendapat.

Jika dibanding orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dengan OKU kategori lain, kecacatan mereka tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana mereka tidak menggunakan tongkat atau kerusi roda.

Khidmat jurubahasa amat penting kepada golongan itu terutamanya sebagai pengantara dalam sebarang urusan seperti temu duga, mesyuarat, siaran televisyen dan sebagainya.


MALAYSIA masih kekurangan khidmat jurubahasa untuk membantu golongan pekak. – Gambar hiasan


Kita mempunyai enam saluran utama iaitu TV1, TV2, NTV7, 8TV dan TV9 yang dikawal oleh dua gergasi media iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Media Prima. Ini tidak termasuk saluran yang disediakan stesen televisyen berbayar Astro.

Namun, hanya TV1 menyediakan khidmat jurubahasa isyarat dalam siaran Berita Nasional bagi memudahkan golongan pekak untuk sama-sama mendapat intipati daripada siaran berita tersebut.

Jurubahasa di RTM

Mendekati jurubahasa isyarat Tan Lee Bee, 47, atau lebih mesra dengan panggilan Lee Bee, dia mempelajari bahasa isyarat secara tidak formal dan tidak pernah memiliki apa-apa sijil mengenainya.

Namun, nama Lee Bee bukan lagi asing dalam bidang alih bahasa ini kerana dia telah hampir 30 tahun menceburkan diri sebagai jurubahasa isyarat.

Dia yang berkhidmat sebagai jurubahasa RTM sejak tahun 1996 memberitahu segalanya bermula kerana dia mempunyai seorang adik perempuan dan seorang sepupu yang cacat pendengaran.

Lee Bee merupakan jurubahasa isyarat bebas di RTM dan mahkamah selain untuk pihak polis dan apa sahaja organisasi yang memerlukan khidmat jurubahasa isyarat.

“Menjadi jurubahasa isyarat bukan mudah. Jika di televisyen, saya perlu mendengar dengan teliti apa yang dibaca oleh pembaca berita dan mengolah dalam bahasa isyarat.


DARI kiri: Nurul Husna, Aqlam, Hafidah dan ahli KLSD, Suryakala A. Letchumanan ketika ditemu bual di Kompleks Sri Selangor baru-baru ini.


“Bukan semua butir yang dibaca akan diterjemahkan kerana ia adalah agak mustahil. Saya akan mengambil hanya idea penting daripada setiap hujah,” katanya.

Kata Lee Bee, paling hebat pun hanya 98 peratus daripada apa yang dibaca pemberita boleh diterjemahkan. Itu pun sekiranya jurubahasa itu benar-benar pakar dan sering bergaul dengan golongan pekak.

“Ini kerana bahasa mereka kadangkala berubah seperti bahasa pasar kita yang normal,” ujarnya.

Cabaran di mahkamah

Cerita wanita itu lagi, menjadi jurubahasa untuk orang pekak bukan sahaja memerlukan isyarat tangan, mimik muka bahkan pergerakan badan.


DENGAN adanya jurubahasa ia memudahkan rutin harian golongan pekak seperti semasa belajar, mesyuarat atau temu duga.


“Tidak semua orang yang pandai menggunakan bahasa isyarat boleh menjadi jurubahasa yang baik. Kerana itu pakar jurubahasa di Malaysia tidak sampai 10 orang,” katanya.

Akui Lee Bee tugas sebagai jurubahasa isyarat di mahkamah lebih mencabar. Katanya, 10 kes yang melibatkan orang pekak, sembilan daripadanya tidak tahu bahasa isyarat.

Lee Bee yang sungguh fasih berbahasa Melayu memberitahu, di mahkamah dia perlu melakonkan sesetengah hujah sekiranya ia tidak difahami oleh pesalah, mangsa ataupun saksi.

“Bahasa isyarat tidak sama dengan bahasa yang kita tutur kerana cara mereka berkomunikasi berbeza. Sebagai jurubahasa kita perlu kreatif untuk menterjemahkan setiap maksud.

“Kadangkala saya terpaksa berbaring di lantai mahkamah. Pening juga sebenarnya jika apa yang diperkatakan tidak boleh diterjemahkan dalam bahasa isyarat,” katanya ketawa.

Menceritakan kembali sejarah bermulanya khidmat jurubahasa isyarat di RTM, Lee Bee memberitahu segalanya bermula di atas permintaan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat semasa memegang jawatan sebagai Menteri Penerangan.

Katanya, Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat meminta supaya sisipan jurubahasa isyarat diselitkan dalam Berita Perdana (sebelum ditukar kepada Berita Nasional) walaupun ramai yang tidak bersetuju dengan alasan ia akan mengganggu pandangan di skrin utama.

Namun, usaha itu yang menjadikan Berita Perdana merupakan pilihan utama golongan pekak sehingga kini.

Kekurangan khidmat jurubahas

Sementara itu, Penolong Pengarah Seksyen Penerbitan Televisyen RTM, Ahmad Zaki Mustafa memberitahu, pihaknya berhasrat untuk menambah jurubahasa isyarat di RTM.

“Pihak kami akan menghubungi pihak persatuan untuk bertanya sama ada mereka sudah mempunyai tambahan jurubahasa. Setakat ini RTM hanya mempunyai tiga jurubahasa dan mereka adalah perintis sejak slot ini dimulakan pada tahun 1995.

“Sekiranya persatuan dapat menyediakan jurubahasa mungkin stesen televisyen lain juga boleh mengadakan slot khas bagi golongan pekak. Setakat ini kami difahamkan negara kekurangan jurubahasa isyarat yang pakar dalam penterjemahan,” katanya.


LEE BEE menjadi jurubahasa untuk program berita di RTM sejak tahun 1995 lagi.


Dalam pada itu, menurut Hafidah Awaludin, 38, yang bekerja sepenuh masa dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia sebagai jurubahasa sifat ingin tahu membuatkan dia lebih tekun mempelajari bahasa isyarat.

“Saya pernah bertugas sebagai guru di sebuah sekolah khas yang memerlukan saya menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan pelajar-pelajar.

“Sejak itu saya banyak menghabiskan masa dengan golongan pekak menjadikan saya lebih ‘terikat’ sehingga kini,” katanya yang menjadi jurubahasa isyarat ketika penulis menemuramah Pegawai Pembangunan Masyarakat, Aqlam Jafri.

Menurut Aqlam, yang juga cacat pendengaran, golongan pekak sangat memerlukan jurubahasa isyarat terutama dalam pekerjaan. Dia mewakili golongan itu mengucapkan terima kasih kepada RTM kerana menyediakan kemudahan tersebut dalam siaran Berita Nasional.

“Jurubahasa tidak ramai untuk menampung keperluan golongan pekak. Khidmat jurubahasa diperlukan dalam pelbagai situasi dan golongan pekak perlu membuat permintaan lebih awal untuk khidmat mereka dua atau tiga hari sebelum majlis.

“Jika boleh kerajaan wujudkan satu jawatan jurubahasa isyarat kerana buat masa ini jurubahasa dibayar oleh persatuan,” katanya menerusi Hafidah.

Buat masa ini di Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD) contohnya terdapat seramai 10 orang jurubahasa isyarat yang bekerja sepenuh masa.

Kata Aqlam, apabila ada jawatan khas jurubahasa isyarat, setiap sektor dapat memberikan khidmat yang boleh memudahkan urusan golongan pekak.

Di hospital contohnya, jurubahasa isyarat amat diperlukan supaya dapat mengelakkan salah faham ketika berkomunikasi dan memudahkan urusan memberi ubat. Sekiranya tersalah ubat, ia akan membawa padah kepada golongan ini.

Aqlam memberitahu untuk menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan amat sukar bagi golongan pekak.

“Setiap kali ada mesyuarat besar saya akan memohon untuk seorang jurubahasa tiga hari sebelum tarikh mesyuarat.

“Tapi jika tak dapat, saya terpaksa meminta bantuan rakan-rakan sekerja untuk menterjemahkan apa yang dibincangkan dalam bentuk tulisan atau sistem pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Menurut Aqlam, teknologi terkini juga telah memudahkan golongan pekak untuk berkomunikasi sebagai contoh ruangan sembang di Internet.

Dalam pada itu, seorang remaja pekak, Nurul Husna Ibrahim, 21, memberitahu dia gemar menonton rancangan antarabangsa kerana terdapat sarikata di bawahnya.

“Dulu filem Melayu ada sarikata bahasa Inggeris tapi sekarang dah tak ada.

“Sebab itu golongan pekak biasanya adalah peminat setia rancangan Cina, Tamil, Hindi dan sebagainya,” katanya yang bekerja sebagai pembantu am di KLSD.

Kepada mereka yang berminat untuk mempelajari bahasa isyarat boleh hubungi KLSD di talian 03-9223 0690 atau layari www.klsd.org.my atau e-mel klsdeaf@streamyx.com. Bayarannya adalah RM150 untuk 10 mata pelajaran. Bayaran adalah secara bulanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: