Sekawan kuda belang berehat di kawasan lapang di Fairy Glen Safari Worcester, Afrika. Afrika memang terkenal dengan imej hidupan liar seperti singa, zirafah, gazel, kuda belang dan burung unta yang hidup bebas di persekitaran semulajadi mereka.SEBUT sahaja Afrika, terlintas di dalam fikiran imej hidupan liar - singa, zirafah, gazel, kuda belang, burung unta - yang hidup bebas di persekitaran semulajadi mereka. Lawatan ke Afrika tanpa menyaksikan haiwan-haiwan ini dalam persekitaran semulajadi mereka bagaikan melawat Paris tanpa melihat Menara Eiffel atau melawat London tanpa melihat Big Ben.
Jadi, apabila saya berpeluang melawat Cape Town di Afrika Selatan baru-baru ini, saya bertekad untuk menikmati pengalaman safari walaupun terpaksa ke sana berseorangan.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi saya kerana berjaya mencari tiga orang rakan, kesemuanya wanita, di Cape Town yang bersetuju untuk menemani saya.
Merekalah yang membuat segala persiapan seperti mencari taman safari yang terdekat dengan Cape Town dan memilih atur cara perjalanan... pakej yang ditawarkan, jumlah kos, dan bagaimana untuk ke sana.
Kami menempah pakej lawatan sehari di Fairy Glen Safari di Worcester yang atur caranya termasuk sarapan pagi, lawatan ke taman safari persendirian dan makan tengah hari.
Big 5
Kami berangkat ke Fairy Glen Safari, yang terletak satu jam perjalanan dari Cape Town. Di situ kami menaiki sebuah jip dengan 15-tempat duduk untuk memulakan lawatan safari kami. Pemandu kami yang mengenalkan dirinya sebagai Kimal membawa jip menghampiri haiwan-haiwan ini tanpa membahayakan pelawat ataupun haiwan.
Sekali-sekala beliau menghentikan jip dan memberi penerangan menarik mengenai haiwan yang terdapat di taman safari ini.
Taman safari ini mempunyai haiwan yang digelar 'Big 5' di Afrika dan haiwan-haiwan lain. 'Big 5' merupakan haiwan buruan yang sangat diminati oleh pemburu kulit putih iaitu gajah, singa, badak, harimau bintang dan kerbau liar.
Haiwan-haiwan ini masih dianggap sebagai bernilai tinggi, tetapi oleh pemburu haram.
"Pelbagai organ haiwan seperti gading gajah, kulit harimau bintang, tanduk badak ,bernilai tinggi di pasaran gelap," tambah Kimal yang berasal dari Bo-Kaap, satu kawasan penempatan Melayu di Cape Town.
Kimal yang suka berjenaka , menghiburkan pelawat dengan gurauannya.
"Terdapat seekor gajah jantan yang diselamatkan daripada pemburu haram dan di bawa ke taman safari ini. Lain kali apabila anda datang ke taman ini, gajah jantan ini akan mempunyai pasangannya," kata Kimal.
Kemudian beliau bercerita mengenai belang pada kuda belang.
"Lihat belang-belang itu, mereka seperti cap jari manusia, tiada dua kuda belang yang sama. Zebra juga tidak boleh membawa beban di belakang kerana tulang belakangnya mudah patah, bukan seperti keldai, yang bersaudara dengan kuda belang," kata beliau berseloroh.
Menembak Haiwan Dengan Kamera
Walaupun kami tidak menyaksikan pemburu menembak haiwan, saya berasa kamilah pemburu moden yang "menembak" haiwan dengan kamera kami. Terima kasih kepada kamera automatik yang saya bawa bersama, kebanyakan gambar yang dirakam kelihatan okey. Saya hanya perlu memfokus dan merakam semasa kenderaan itu bergerak.
Tetapi merakam gambar haiwan-haiwan ini ada kalanya bukan mudah kerana mereka bergerak menjauhi kami apabila kami cuba memfokus pada mereka. Mungkin mereka tidak mahu diganggu.
Bagaimanapun, ia tetap satu pengalaman yang menyeronokkan untuk berada di taman safari bersama tiga orang rakan dari Cape Town walaupun ia hanya selama sehari.
Mymoena Anthony, seorang daripada wanita yang menyertai saya berkata jika bukan kerana saya, beliau dan dua lagi rakan tidak akan menikmati pengalaman safari walaupun mereka berasal dari Afrika Selatan.
"Saya gembira kerana turut serta dalam lawatan ini," katanya. Saya membalas perkara yang sama dan mengucapkan terima kasih kepada dua lagi rakan Nadia dan Fayrous kerana menjayakan lawatan safari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: