![]() |
| Profesor Dr. Aishah Bidin |
MEMILIKI kepakaran selama lebih 30 tahun dalam pengajian undang-undang, Profesor Dr. Aishah Bidin, 50, menganggap manusia tidak boleh hidup tanpa undang-undang.
“Undang-undang merupakan mekanisme yang sangat penting dalam hidup manusia. Tanpanya keadilan mungkin tidak akan diperoleh,” ujar Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.
Lantas, untuk mencapai keadilan itu, pengamal undang-undang khususnya peguam memainkan peranan penting.
“Seorang peguam mestilah jujur dan juga peka terhadap perkembangan terbaru undang-undang. Paling penting ialah bertanggungjawab dari segi etika antara dia dan juga anak guamnya.
“Selain itu, pengetahuan peguam berkaitan sesuatu kes adalah sangat perlu. Jangan bila disoal di dalam mahkamah, baru terpinga-pinga mencari jawapan. Seorang peguam harus bersedia menangani pelbagai isu dan keadaan,” kata Aishah.
Bercakap mengenai undang-undang, semestinya pelbagai akta dan kanun akan berlegar di fikiran. Namun, menurut Aishah, semua itu akan menjadi mudah dipelajari sekiranya seseorang itu dapat memahami dan menghayati isi kandungannya.
“Kalau kita anggap benda itu senang, maka akan senanglah jadinya. Begitu juga sebaliknya. Tidak perlulah menghafal, tapi fahamilah kandungannya kerana ia perlu dibaca secara keseluruhan,“ tuturnya yang mempunyai kepakaran khusus dalam undang-undang korporat dan insolvensi syarikat.
Menyentuh lebih lanjut tentang kerjaya beliau sebagai dekan, penasihat undang-undang dan juga pensyarah di UKM, Aishah berkata, semua jawatan yang disandangnya itu memberi banyak kelebihan buatnya.
Diberi kepercayaan
“Rekod perkhidmatan saya membolehkan saya diberi kepercayaan untuk menduduki panel-panel penasihat bagi syarikat swasta dan juga kerajaan.
“Saya juga banyak menerima jemputan untuk memberikan ceramah bagi membincangkan isu-isu perundangan khususnya dalam aspek undang-undang syarikat,“ cerita beliau.
Menurut Aishah, media turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan undang-undang.
“Pihak media menulis berita daripada perspektif yang berbeza. Apa yang mereka sebarkan boleh mempengaruhi sesuatu perkara. Masyarakat umum juga semakin berani dalam meluahkan pendapat dan mempertikaikan kewajaran sesuatu undang-undang.
“Ia menunjukkan tahap pendidikan rakyat di negara ini yang semakin tinggi dan berilmu. Bila ada sesuatu yang tidak kena, mereka akan bersuara. Maksudnya masyarakat kita kini lebih peka terhadap penguatkuasaan undang-undang,“ jelasnya.
Aishah yang berasal dari Muar, Johor telah mula meminati bidang pendidikan sejak kecil lagi. Bagaimanapun, setelah tamat sekolah menengah, beliau lebih cenderung mempelajari ilmu perundangan lantas menjadikan bidang itu sebagai tapak untuk terus berkecimpung dalam dunia akademik.
Mula melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, beliau kemudiannya menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti Kent, United Kingdom sebelum ditawarkan untuk melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Universiti London.
“Dari kecil lagi memang saya berminat untuk jadi cikgu, tapi itu ketika di peringkat sekolah. Setelah berada di peringkat universiti, minat itu lebih menjurus kepada bidang undang-undang.
“Cikgu dan pensyarah juga berhubung kait. Kedua-duanya ialah pendidik yang diharapkan masyarakat. Minat saya untuk menjadi guru dahulu akhirnya tercapai dengan menjadi pendidik di tahap yang lebih tinggi iaitu universiti,” ulas beliau.
Lagu sentimental
Antara nama besar yang pernah dididik beliau ialah Datuk Razali Ibrahim iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta Datuk Shahaniza Shamsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Pahang.
Perkahwinan yang dilayari bersama suami tercinta iaitu Prof. Dr. Nordin Hussin, 51, sejak 20 tahun yang lalu telah diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata iaitu Aliff Imran, 19, dan juga Azmi Hazali, 17.
Menyandang jawatan sebagai dekan serta penasihat undang-undang universiti dan badan swasta, wanita ini mengakui kesibukan bekerja kadangkala turut menggugat waktu bersama keluarga.
Walaupun mengakui tanggungjawab yang digalas amatlah besar, namun keutamaan tetap diberikan kepada keluarga.
“Dalam apa bidang sekali pun, sebagai seorang wanita, isteri dan juga ibu, mereka mestilah menitikberatkan keluarga.
“Di rumah, saya tetap seorang isteri dan juga ibu kepada anak-anak saya.
“Jadi bagi saya, setiap masa yang ada bersama keluarga adalah berharga dan saya akan gunakannya sebaik mungkin. Apa sahaja yang ingin dilakukan, saya akan berbincang dahulu dengan keluarga sebelum membuat keputusan.

“Komunikasi penting dalam sebuah keluarga. Saya bersyukur kerana suami saya seorang yang sangat memahami kerjaya saya kerana beliau juga merupakan seorang ahli akademik tapi dalam bidang yang berlainan,” katanya.
Wanita yang hobinya mendengar lagu berirama sentimental dan membaca buku ini turut menggemari aktiviti berkebun dan juga menanam bunga.
“Minat menanam bunga telah timbul sejak lima tahun lalu. Adakalanya suami akan bersama-sama berkebun di luar rumah jika ada kelapangan. Selain itu, saya juga seorang yang suka memasak bila berada di rumah,” ujarnya.
Pernah menerbitkan lebih daripada sembilan judul buku seperti Regulation In Asia (Pushing Back on Globalisation), Commercial Applications of Company Law in Malaysia, Isu Perundangan Di Malaysia Satu Anjakan Paradigma dan juga Undang-Undang Syarikat di Malaysia, Aishah menjadikan Profesor Diraja Ungku Aziz, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Hakim Lord Denning sebagai mentor dan idola.
“Saya sukakan cara tokoh-tokoh itu berfikir. Mereka ialah golongan yang dipandang tinggi selain berjaya membuat perubahan kepada sesuatu perkara.
“Hakim Lord Denning merupakan hakim yang tersohor di seluruh dunia. Penghayatan dan keilmuan yang beliau tulis adalah melangkaui batasan pemikiran,“ jelasnya yang berharap dapat membawa perubahan ke satu arah yang lebih baik di masa akan datang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: