Friday, February 12, 2010

Kemelut China dan Myanmar




SEBUAH poster gergasi yang mempamerkan lintasan sempadan Wanding, China dengan Myanmar menunjukkan seolah-olah perasaan persaudaraan di antara mereka akan kekal selama-lamanya.

Beberapa kilometer di luar bandar Ruili, sebuah kampung sempadan dengan bangganya memberitahu beberapa pelancong bahawa ayam-ayam dari Myanmar masuk merentasi pagar buluh usang untuk bertelur di China.


PAPAN tanda dalam bahasa Cina dan Myanmar ini tidak membenarkan sesiapa pun dari China atau Myanmar melintasi sempadan Wanding yang terletak berhampiran Ruili, wilayah Yunnan.


Bagaimanapun, di sebalik kemesraan dan sajak persahabatan, hubungan China dengan negara jiran miskin dari tenggara itu yang dulu dikenali sebagai Burma mengalami banyak masalah.

Ia berikutan kejadian yang berlaku Ogos lalu apabila ketenteraan Myanmar ditumpaskan Kumpulan Pemberontak Kokang menyebabkan lebih 37,000 pelariannya memasuki China sehingga menyebabkan kemarahan Beijing.

"Saya tidak melihat mereka sebagai rakan seperti Britain dan Amerika atau Australia dan New Zealand menjalin persahabatan. Ia sering menjadi satu hubungan yang sukar dan tegang," ujar Ian Storey, Felo di Singapore's Institute of Southeast Asian Studies.

"Pada asasnya ia lebih kepada hubungan berasaskan keperluan. Orang-orang Myanmar bergantung kepada China untuk wang dan persenjataan, manakala China menggunakan posisinya di Suruhanjaya Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi Myanmar.

"Sebagai balasan China dapat berkongsi sumber alam semula jadi di mana ia turut mendapat suara di ASEAN," tambahnya.


PAGAR yang memisahkan sempadan antara Myanmar dan China.


Pada 1997, di sebalik semangat ditunjukkan AS dan pembangkang Kesatuan Eropah (EU), Myanmar menyertai Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara yang ditubuhkan pada 1967 bagi membina benteng pertahanan bagi menyekat penyebaran kefahaman komunisme di rantau itu.

Pendapat logik mungkin mengatakan Myanmar dan para jeneral yang menggerakkannya sejak lima dekad akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada China.

China yang mempertahankan Myanmar ekoran penindasan berdarah dalam protes prodemokrasi di Yangon, yang dulu dikenali sebagi Rangoon, telah meneruskan bantuan kepada junta serta menjual senjata-senjata bagi menghadapi sekatan antarabangsa.

Pada 2006 semasa kunjungan ke barat daya China, Wilayah Yunnan yang berkongsi sempadan panjang dengan Myanmar, Menteri Perdagangan Myanmar, Tin Naing Thein berterima kasih dengan Beijing kerana menjadi 'jiran yang baik' serta menawarkan sokongan penuh selepas kejadian pada 1988 itu.

Pergolakan

Tetapi, perasaan syak wasangka China terhadap Myanmar tidak pernah berubah sejak sebelum kemerdekaannya daripada pihak British walaupun menerima sokongan Beijing sejak dua dekad lalu.

Untuk bertahun-tahun lamanya, China mempertahankan parti perjuangan bersenjata Komunis Burma menentang kerajaan Myanmar.

"Askar-askar China memakai pakaian rasmi ketenteraan komunis Burma dan mereka mengambil bahagian dalam serangan ke atas pasukan bersenjata Burma," kata Maung Zarni, pakar dari Myanmar di London School of Economics' Centre untuk pendidikan kepimpinan global.

"Kepimpinan ketika ini adalah daripada kalangan mereka menyokong operasi antikomunis/antiBeijing pada tahun 1950-an dan 1960-an. Ia sukar untuk mengubah pendirian sesetengah orang Burma ke atas beijing."

Kebimbangan China ialah pergolakan yang berlaku di Kokang berulang semula dengan mana-mana pemberontak etnik militan berbeza yang terjadi di wilayahnya.

Ancaman itu menjadi besar terutama apabila para jeneral bersiap sedia untuk pilihan raya tahun ini. Kumpulan-kumpulan hak pengundi membuat kenyataan palsu dengan tujuan mengumpulkan kumpulan-kumpulan pemberontak sepanjang sempadan untuk bekerjasama, selain menggunakan kekerasan jika perlu.


CHINA amat bimbang dengan pergolakan yang berlaku dengan mana-mana pemberontak etnik militan di sempadannya.


Masalah paling teruk yang berlaku di China ialah Yunnan, di mana etnik-etnik kecil di kedua-dua sempadan mempunyai pertalian darah.

Para aktivis mengatakan tentera Myanmar sedang bersedia untuk satu lagi kempen menentang pemberontakan tersebut termasuk 30,000 etnik China daripada United Wa State Army (UWSA).

Ini membimbangkan China bukan sahaja kerana kemungkinan pertambahan jumlah pelarian, tetapi kerana ketidak stabilan sempadan itu menyebabkan kesukaran untuk menjalankan perniagaan.

"Apa-apa sahaja yang menyebabkan kesulitan di sempadan itu tidak akan dialu-alukan," kata pedagang batu jed, Lin Mingqi yang ditemui di kedai perhiasannya ketika mengulas isu sempadan Ruili.

"Kami di sini untuk menjalankan perniagaan. Kami tidak mahu bimbang mengenai situasi politik," katanya.

Bagaimanapun, dadah sudah pun masuk dengan mudah dari Myanmar ke China, sekali gus menyebabkan penyebaran epidemik AIDS di Yunnan yang berpunca akibat perkongsian jarum suntikan, selain aktiviti pelacuran.

Tetapi Myanmar bijak menyembunyikan pekungnya menerusi berbaik-baik dengan kawan dan lawannya bagi memastikan keselamatan rejim itu.

Luo Shengrong dan Wang Aiping, dua ahli akademik di Universiti Yunnan, menulis di dalam Chinese journal Contemporary International Relations bulan lepas bahawa serangan Kokang dilakukan bagi memberitahu Beijing jangan mensia-siakan hubungan sedia ada.

"Ia dilakukan bagi memberitahu bahawa Kerajaan Ketenteraan Myanmar sedang menyusun polisi luarnya, bermula daripada mendepani China untuk memulakan perhubungan lebih kerap dengan Amerika Syarikat (AS), India dan beberapa negara besar lain, bagi mempunyai polisi luar yang seimbang.

"Serangan itu juga menunjukkan bahawa mereka telah mengurangkan pergantungan dengan China," kata mereka.

Operasi itu boleh digambarkan seperti Myanmar cuba menonjolkan diri di mata AS bagi menunjukkan kepada Washington bahawa mereka lebih bagus berbanding China yang digambarkan tidak boleh dipercayai oleh banyak pihak di Capitol Hill.

Persaingan

Ahli akademik menyatakan sebagai kesan operasi Kokang, Washington melakukan sekatan visa kepada pegawai-pegawai Myanmar supaya Perdana Menterinya, Thein Sein menerima Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.

Ketika sukar untuk menjelaskan apakah harapan Myanmar untuk melebarkan pergerakan Kokang, pandangan ahli akademik tersebut adalah rasa was-was China mengenai niat tersembunyi negara itu.

Ini kerana Myanmar mempunyai talian perniagaan yang bagus. Perdagangan dua halanya berkembang lebih daripada suku pertama pada 2008 iaitu kira-kira $2.63 bilion (RM9 bilion).

Pada penghujung Oktober, The China National Petroleum Corporation (CNPC) mula membina lubang minyak mentah di Myanmar, sebahagian projek perpaipan bertujuan bagi menggantikan lencongan lama kargo-kargo minyak yang melalui Selat Melaka yang sesak dan mudah terjejas.

Bagi China, apa-apa sahaja perasaan tidak selesa dalam perhubungannya dengan Myanmar juga diberatkan oleh rundingan strategik lain iaitu India.

Ketika perhubungan itu boleh diperbaiki secara rundingan dengan New Delhi sejak perang sempadan pada 1962 yang merenggangkan hubungan semasa mereka untuk berdekad-dekad lamanya, China memberikan sokongan penuh kepada musuh tradisi India iaitu Pakistan.

Daripada perspektif China, mempunyai hubungan baik dengan Myanmar memberi tekanan tambahan kepada India. Ini kerana China mempunyai hubungan baik dengan Pakistan, selain Nepal dan Bangladesh.

Jika anda berada di New Delhi, anda mungkin melihat seperti satu dasar India bersengkokol dengan rakan-rakan China.

Myanmar menyedari perkara itu dan melihat bahawa dengan menjadi sahabat kepada India akan memperbaiki hubungannya dengan China.

"Jika anda melihat kepada paten hubungan luarnya, mereka secara berterusan mempermainkan satu sama lain. Jika bukan China dan AS, ia adalah China dan India. Ia sebuah strategi yang mudah tetapi berkesan, untuk membawa semua orang datang kepadanya," kata David Mathieson, pengkaji Myanmar untuk Human Rights Watch yang berpangkalan di New York.

"Anda akan selalu melihat keadaan yang tidak seimbang. Katakan rakyat China datang sebulan, selepas itu India, atau pegawai kanan Burma pergi ke Delhi. Mereka menjadi lebih berhati-hati dengan mengatakan, kami tidak mempunyai kawan, kami hanya ada 'rakan kongsi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: