
DUA tahun lalu, seorang ikon fesyen, Yves Saint Laurent pergi meninggalkan kita. Walaupun ketika itu beliau sudah melewati usia 60 tahun, pemergiannya tetap membuat ramai berasakan satu kehilangan besar.
Pemergian pereka terkenal British, Alexander McQueen baru-baru ini mengejutkan dunia. Kematian beliau agak misteri kerana disyaki membunuh diri. Bagaimanakah seorang yang berjaya, terkenal dan kaya sanggup meragut nyawanya sendiri?
Dilahirkan sebagai Lee Alexander McQueen dan berusia 40 tahun ketika menamatkan riwayatnya, beliau adalah seorang pereka yang begitu hebat. Bahkan beliau memberi penampilan menakjubkan kepada bintang-bintang Hollywood seperti Sarah Jessica Parker, Nicole Kidman, Sandra Bullock, Gwyneth Paltrow, Kate Moss dan terbaru Lady Gaga serta Adam Lambert daripada American Idol.
Imaginasi beliau yang luar biasa cukup terserlah di dalam setiap koleksinya.
Antara trademark beliau di dalam dunia rekaan fesyen ialah menghasilkan karya yang menakjubkan menerusi pertunjukan-pertunjukan fesyen yang mengadunkan teknologi dan persembahan. Pada masa sama keindahan alam gotik beliau diterima dan menjadi ikutan di seluruh dunia.
Beliau juga pernah mendapat gelaran Master of Integration of Technology Into Fashion oleh pihak media.
Walaupun sikap dan caranya sering menimbulkan kontroversi hingga diberi gelaran-gelaran yang kurang enak didengar seperti enfant terrible dan the hooligan of English fashion, namun pengarang dan wartawan fesyen Barat mengakui karya beliau telah mempengaruhi pereka lain yang seangkatan dengannya.
Pernahkah anda terbaca kisah penyanyi kulit hitam Janet Jackson mengalami wardrobe malfunction pada acara Super Bowl? Jackson yang sedang membuat persembahan bersama Justin Timberlake terpaksa menanggung malu apabila bajunya terbuka dan menonjolkan sebelah buah dadanya. Itulah pakaian yang direka oleh McQueen.
![]() |
| LELAKI tinggi lampai bermata biru kelabu ini sebenarnya seorang yang pendiam dan kurang gemar publisiti. |
Dengan kematiannya itu, bererti McQueen tidak lagi menyertai Minggu Fesyen London tahun ini. Perancangan beliau untuk membuat pertunjukan koleksi ready-to-wearnya di Paris pada Mac 2010 juga tidak kesampaian.
Mengikut laporan majalah Vogue, kematian beliau itu mengecewakan dunia fesyen kerana McQueen telah merancang untuk mempertontonkan himpunan musim bunga/panas 2010 dengan solekan dan corak berilhamkan dunia asing. Khabarnya, rekaan beliau mempamerkan rangkaian dres ready-to-wear.
Eksentrik
Bayangkan rekaan berpinggang ramping melampau dan punggung mongel penuh serta peragawati di pentas peragaan pula memakai but ala high club!
Ilham tersebut tidak menghairankan kenalan rapat beliau secara dekat kerana antara sifat McQueen ialah beliau agak eksentrik dan selalu berada di dalam dunianya yang tersendiri.
Yang pasti, beliau tidak perlu bertindak balas apa yang dilakukan oleh orang lain. Sikapnya yang demikian membuat ramai beranggapan bahawa beliau dan juga hasil kerjanya tulen malah sentiasa memberi inspirasi serta mengujakan.
Ilham beliau yang luar biasa seolah-olah dapat menghasilkan satu escapisme seperti yang diakui oleh penyanyi sensasi yang terkenal dengan gaya fesyen ground-breaking, Lady Gaga: "Jiwanya begitu tulen dan cukup memberi inspirasi kepada saya. Apabila dapat menggayakan pakaian beliau dan ia seolah-olah bersintesis dengan peminat saya."
Pentas peragaan minggu fesyen sentiasa menanti-nantikan kejutan daripada McQueen.
Antara pertunjukan fesyennya yang masih kekal dalam ingatan para pengunjung minggu fesyen ialah fesyen yang dihasilkan daripada barangan kitar semula. Peragawati memakai hiasan kepala yang diperbuat daripada barangan terbuang dan sampah-sarap.
Himpunan beliau yang terakhir dipertontonkan pada Oktober lalu di Paris pula menyaksikan dres koktel yang berlebihan gayanya, penuh struktur dan mendapat kritikan yang pelbagai.
Menurut pereka tersohor Carolina Herrera, McQueen adalah one of a-kind. Kata Herrera, dunia kehilangan satu-satunya pereka yang sangat berbakat jika dibandingkan dengan pereka-pereka seangkatannya.
Bak goreng pisang panas
Pada satu wawancara beliau dengan CNN bersama Jim Bittermann pada Oktober lalu, McQueen pernah memberi pandangan terhadap pentas peragaan fesyen tradisional yang kian menuju ke arah pembaharuan di dalam setiap sudut.
Sehari selepas beliau ditemui mati tergantung, pusat beli-belah utama di kota London dan serata dunia yang menjual himpunan McQueen dikatakan penuh sesak dikunjungi peminat untuk mendapatkan barangan sentimental beliau. Antaranya termasuklah skaf, aksesori diri dan jaket McQueen direbut bagaikan goreng pisang panas. Permintaan itu meningkat kepada 70 peratus di kedai-kedai yang menjual secara talian.
Di London, Liberty dan kedai talian Net-a-Porter telah mencatatkan jualan skaf McQueen pada harga yang mencecah 200 pound (RM1,050). Gedung dan kedai-kedai yang menjual barangan jenama McQueen melaporkan sehelai dres berharga 3,000 pound (RM15,000) juga lesap daripada rak pakaian pamer sekelip mata.
Harvey Nichols pula melaporkan permintaan terhadap barangan hasil kerja McQueen terus meningkat. Ramai wanita menyerbu untuk membeli barangan McQueen kerana mereka menganggap itu satu pelaburan dan menyamakan hasil kerja beliau.

Desas-desus mengatakan dengan kematian McQueen, jenama Gucci empayar fesyen yang berdiri teguh di belakang jenama McQueen sejak 1991 mungkin terpaksa menutup jenama tersebut. Menurut pandangan analisis pakar ekonomi fesyen, jenama itu mungkin tidak dapat bertahan tanpa McQueen untuk mengemudi arah tuju label tersebut.
Mengimbau beberapa jenama utama yang mengalami nasib malang seperti Valentino, Versace yang diambil alih oleh ahli keluarga atau seperti yang berlaku pada Emanuel Ungaro yang mengambil orang luar untuk mengemudi jenama tersebut.
Walaupun telah diambil alih oleh Donnatella, kakak kepada Gianni Versace, jenama tersebut terus malap dan kurang mencengkam. Memandangkan kekuatan identiti keakuan yang telah diterapkan oleh McQueen, nampak gayanya kerja-kerja mengambil alih dan mengekalkan label itu tentunya menjadi lebih sukar.
Wira fesyen
McQueen dilahirkan pada 1970 di East End, London. Anak kepada seorang pemandu teksi dan guru itu mendapat pendidikan awal dalam bidang rekaan fesyen di Central St. Martin's College of Art and Design.
Beliau mendapat latihan menjahit sut secara tradisional daripada dua tukang jahit konservatif terkenal di Savile Row, London iaitu Anderson and Sheppard dan Gieves and Hawkes yang membuat sut untuk orang kaya ternama termasuklah kerabat diraja seperti Putera Charles. Beliau pernah menyulam sehelai sut milik Putera Wales menggunakan tradisi seni sulam konservatif yang amat halus dan bermutu tinggi.
Pada 1991 himpunan pakaiannya telah dibeli oleh penata gaya Isabella Blow yang kemudiannya menjadi teman rapat beliau tetapi malangnya Isabella membunuh diri pada 2007, lima tahun selepas label McQueen dibawa masuk ke dalam Kumpulan Gucci yang berpusat di Paris, Perancis.
McQueen, anak bongsu daripada lima beradik itu juga amat rapat dengan mendiang ibunya yang meninggal dunia pada 2 Februari lalu. Ada desas-desus yang mengatakan selain kedudukan ekonomi dan perniagaannya yang kurang stabil, kematian ibunya juga adalah faktor yang membuat beliau berasa amat sedih walaupun bapanya, Ron dan adik-beradiknya yang lain masih hidup.
![]() |
| SARAH JESSICA PARKER (kiri) antara selebriti yang gemar menggayakan pakaian jenama McQueen. |
McQueen yang dinobatkan sebagai wira yang kononnya menggerakkan renaissance in London fashion. Beliau dikatakan telah membantu mengembalikan kemuraman industri fesyen London yang agak lama dengan pengaruh punk sejak tahun 70-an dengan rekaan beliau yang futuristik dan tersendiri.
Beliau juga telah menerima anugerah Most Excellent Order oleh The British Empire daripada Ratu Elizabeth pada 2003. Beliau juga telah memenangi beberapa anugerah yang berkaitan dunia rekaan fesyen.
Sebagai seorang yang pendiam dan suka menyendiri, lelaki tinggi lampai dan bermata biru kelabu itu tidak gemarkan khalayak. Sepanjang kerjayanya, beliau telah menolak banyak pelawaan wawancara media kerana beliau lebih suka masyarakat menilai dan menikmati hasil kerjanya daripada menggembar-gemburkan hal peribadinya.
Beliau memulakan kerjaya fesyennya di kota London, kemudian berjaya menambat hati penonton di Paris. Kejayaan beliau di luar kota London tidak terhenti di situ malah McQueen cepat mengukir nama di persada fesyen New York dan Milan.
Namanya sebaris di dalam kumpulan pereka tersohor dan elit dari kota-kota fesyen tersebut dalam tempoh yang agak singkat.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: