Wednesday, February 10, 2010

Kejutan buat Fara Fauzana


FARA (kanan) ditemani ayahnya, Mohd. Fadzil (tengah) dan adik bongsunya, Nadia memotong kek hari lahir.


TARIKH 7 Februari lalu, genap 30 tahun usia penyampai radio, pelakon dan pengacara popular ini. Bertuah benar personaliti itu kerana semenjak memulakan profesion dalam bidang penyiaran, Fara atau nama sebenarnya, Farah Fauzana Mohd. Fadzil rezeki sentiasa berpihak padanya.

Pun begitu, rezeki yang murah tidak datang secara bergolek. Dari bawah, dia merangkak, bertatih dan perlahan-lahan berlari sehingga menempa populariti di puncak kegemilangan.

Begitulah Fara, selebriti yang mudah untuk didekati dan dibawa bergurau.

Menjelang usianya 30 tahun, penyampai radio Hot FM ini menganjurkan sambutan ulang tahun kelahirannya di Serambi Pak Engku, Shah Alam, Selangor.

Dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan kelab peminat, ia merupakan kali pertama Fara membuat majlis berkenaan secara terbuka khusus untuk peminat yang telah banyak memberikan sokongan terhadapnya.

Berlangsung penuh ceria sambil diserikan dengan celoteh Raja Azura atau Kak Engku sebagai pengacara majlis, Fara memilih warna hitam keemasan sebagai warna tema majlis.

Bagaikan majlis kenduri kahwin apabila ruang dewan berkenaan diletakkan sebuah pelamin khas, Fara menerima 'hadiah' yang cukup bermakna dalam hidupnya pada hari tersebut.

Tanpa disangka, sewaktu hendak memotong kek di atas pelamin tersebut, adik bongsunya, Farah Nadia yang kini menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS), muncul di sisinya.

Kejutan itu menyebabkan Fara seperti tidak percaya kerana tidak menyangka adiknya itu sanggup pulang ke tanah air semata-mata untuk meraikan ulang tahun kelahirannya.

''Dia (adik) sepatutnya tidak boleh balik sebab ada kuliah. Tetapi, saya cukup gembira kerana dia ada bersama.

''Kali terakhir kami berjumpa ialah pada Jun tahun lalu. Saya pun tidak tahu siapa yang merancang membawa adik saya pulang.

''Apa pun saya bersyukur kerana majlis ini berlangsung dengan baik. Terima kasih kepada semua yang hadir dan terlibat dengan penganjuran majlis sedemikian,'' katanya ketika ditemui sejurus selepas selesai majlis ulang tahun itu berlangsung.

Menceritakan perancangan majlis ulang tahun kelahirannya, ketika sibuk merancang dan mencari dewan untuk meraikan majlis itu, ramai yang menjangkan Fara akan melangsungkan perkahwinan.

''Kalau hendak cari dewan, tentu orang kaitkan dengan majlis kenduri kahwin.

''Dewan ini pun ada pelamin. Sudah macam majlis perkahwinan pula. Inilah pertama kali saya anjurkan majlis ulang tahun secara terbuka untuk peminat.

''Saya jarang anjurkan majlis sedemikian. Nasib baik ada Kak Engku. Dia banyak membantu saya,'' ujar Fara yang berterima kasih kepada rakan baiknya itu.

Mengenai kehadiran peminat pula, Fara berasa cukup terharu kerana yang hadir bukanlah mereka yang berada di sekitar Selangor atau Kuala Lumpur sahaja.

''Ada yang datang dari Singapura, Johor Bahru, Sarawak, Kelantan dan seorang makcik yang kami panggil opah dari Jengka, Pahang. Opah berusia 50 tahun. Mereka semua peminat setia saya,'' kata Fara lagi.

Balik demi kakak

Sementara itu, Farah Nadia atau Nadia yang ditemui pula berkata, kepulangannya untuk meraikan ulang tahun kelahiran kakaknya sudah dirancang sejak Januari lalu.

Enggan memberitahu siapa yang membuat perancangan tersebut, Nadia, 21, berkata, semuanya dilakukan demi kakaknya itu.

''Kakak sebelum ini pun pernah suruh saya balik tetapi saya 'berlakon' kata tidak boleh kerana sibuk dengan kuliah.

''Saya akan berada di sini untuk beberapa hari sahaja dan selepas itu akan pulang ke sana (AS) semula.

''Insya-Allah, saya akan menamatkan pengajian pada tahun depan,'' ujarnya yang mengambil jurusan Sains Aktuari.

Masih jalani fisioterapi

Berbalik kepada Fara yang popular dengan panggilan Fafau, saat ditanya mengenai perkembangan hidupnya, penyampai radio yang telah lima tahun bersama Hot FM ini memberitahu, dia kini sibuk menjalani rakaman program Alahai Fafau.

Memulakan siaran pada 7 Februari, program santai itu akan bersiaran setiap Ahad, pukul 9 malam di TV9.

'Selain itu sibuk dengan Melodi dan tugas di Hot FM.'Untuk lakonan pula, memang saya ada perancangan tapi belum ada kata putus. Lakonan filem pula, memang saya tidak ada tawaran,'' kata graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara ini lagi.

Kata Fara, kekurangan tawaran berlakon atau terlibat dengan aktiviti hiburan lain boleh dianggapnya sebagai peluang untuk berehat.

Sementelah, Fara masih menjalani rawatan fisioterapi akibat kesakitan di bahagian kakinya.

''Sebelum ini, setiap hari saya mengikuti fisioterapi di hospital. Selepas itu berkurangan kepada seminggu sekali.

''Kadang-kadang, saya buat sendiri rawatan fisioterapi di rumah. Sakit ini membolehkan saya berehat di rumah,'' kata Fara mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: