Wednesday, February 3, 2010

Generasi hari ini buta herba

BERAPA ramai daripada kita tahu mengenai jenis herba dan kegunaannya? Malah, pada zaman sains dan teknologi ini, jarang ibu bapa menggunakan herba untuk mengubati anak-anak kerana lebih yakin pada perubatan moden.

KELUARGA BAHAGIA...Izawati bersantai bersam keluarga di pondok yang baru dibina.
KELUARGA BAHAGIA...Izawati bersantai bersam keluarga di pondok yang baru dibina.


TEMPAT BERMAIN...IBAD mengajak ayahnya bermain di taman herba. TEMPAT BERMAIN...IBAD mengajak ayahnya bermain di taman herba. RUTIN HARIAN...setiap pagi Ibad menyiram bunga di laman rumahnya. RUTIN HARIAN...setiap pagi Ibad menyiram bunga di laman rumahnya.

TEMPAT BERMAIN...IBAD mengajak ayahnya bermain di taman herba.

Namun berbeza bagi ibu kepada tiga anak, Izawati Jais, 32, apabila begitu mencintai tumbuh-tumbuhan herba serta mahu menurunkan ilmu itu kepada anak lelakinya, Ibad Idraki yang kini berusia tiga tahun. Menurut Izawati, kecintaan kepada tumbuhan herba bermula apabila Ibad demam panas. Mulanya Izawati dan suami, Ishamsolhilmi Md Rudzi mahu membawa Ibad ke klinik, namun perjalanan yang jauh menyebabkan mereka khuatir suhu badan Ibad bertambah naik. Berbekalkan nasihat sepupu, Rosliah Talib, Izawati mengambil keputusan menggunakan rawatan tradisional terlebih dulu sebelum ke klinik. "Saya mengambil daun serta bunga kertas sebelum merendamnya. Airnya saya sapu pada seluruh wajah dan tubuh Ibad. Beberapa minit kemudian suhu badan Ibad mulai turun," kata Izawati.


Sejak itu, Izawati percaya semua tumbuh-tumbuhan mempunyai khasiat tersendiri sama ada baik untuk membantu mengubati penyakit mahupun kesihatan. Tambah pula apabila melihat Ibad yang ketika itu baru berusia setahun sangat suka kepada tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Dia suka bermain pasir dan hujan, malah tidak seperti ibu lain, Izawati tidak pernah melarang anaknya bermain hujan. "Ketika kecil ibu membiarkan saya bermain di halaman rumah. Bermain masak-masak menggunakan bahan semula jadi seperti daun, pasir, kayu dan tanah. Apabila hujan saya dibiarkan mandi hujan. Sekarang saya mahu Ibad merasai sendiri seperti apa yang saya alami. "Biar dia membesar dengan pengalaman berharga itu. Jika dia tidak merasainya, dia tidak akan tahu," katanya.


Sejak itu Ibad membesar sebagai kanak-kanak yang sukakan alam sekitar. Dia suka menyiram pokok pada setiap pagi dan bermain pasir. Melihatkan minatnya, Izawati berazam mahu membina taman herba untuk Ibad supaya dia membesar sebagai individu bertanggungjawab dan cintakan alam sekitar. Alangkah bertuahnya Izawati apabila Dumex Dugro merealisasikan impiannya yang tersenarai bersama tujuh peserta lain selaku pemenang Peraduan Impian Ceria Si Manjaku yang dianjurkan tahun lalu. Pada 22 Januari lalu terbinalah sebuah taman herba dengan pelbagai tumbuhan untuk Izawati dan Ibad di kediaman mereka di Klang, Selangor yang baru diduduki lima bulan lalu. "Saya tidak sangka impian memiliki taman herba tercapai. Dulu saya hanya berangan saja memandangkan ketika itu masih tinggal dengan ibu. Dumex Dugro memenuhi hasrat saya membuat taman herba untuk Ibad. Selepas ini senanglah saya mengajar Ibad mengenai tumbuh-tumbuhan," katanya. Laman seluas 1,340 meter persegi itu kini sudah ditanam dengan pokok ubat-ubatan, sayur-sayuran dan herba seperti pokok kaduk, bunga kantan, misai kucing, lantana, akar dani, kunyit, limau kasturi, rosemary dan limau purut. Malah di belakang rumahnya, hampir terdapat semua sayur-sayuran termasuk kacang panjang, bendi, cili padi, serai, daun pandan, tomato serta ulam-ulaman seperti ulam raja, pudina dan kesum.


"Apabila semua pokok ini membesar saya tidak perlu lagi membeli sayur di pasar, petik saja di belakang rumah begitu juga dengan ulam-ulaman," kata Izawati.


Bukan dia seorang meminati tumbuhan herba, malah seluruh keluarga Izawati menggunakan herba untuk merawat penyakit serta makan ulam-ulaman. Melihat sepupunya yang sihat tanpa sebarang penyakit serta langsung tidak menggunakan produk kesihatan mahupun kecantikan, Izawati berhasrat meneruskan amalan mereka. Sekurang-kurangnya amalan ini dapat diperturunkan kepada anak seterusnya daripada satu generasi kepada generasi lain.


"Generasi sekarang ramai tidak tahu mengenai kegunaan tumbuhan herba. Malah, ada yang langsung tidak mengenali daun kaduk, pegaga dan misai kucing. "Jika tidak diberitahu dari sekarang kepada anak-anak, bila lagi? Sebab itu saya mahu Ibad menghargai alam sekitar seterusnya belajar mengenai tumbuhan herba," katanya.


Menurut Izawati, bagi menambah pengetahuan dia banyak membaca mengenai tumbuhan herba selain bertanya kepada orang lama mengenai khasiatnya.


Tidak hairan Izawati sangat cekap memberitahu setiap fungsi tumbuhan herba yang ada di rumahnya kepada penulis walaupun tidak pernah mengambil sebarang kursus mengenainya.


Jelasnya, akar senduduk putih boleh mengubati keracunan, sirih Cina mengubati pening kepala, emas cotek mengubati darah tinggi dan kencing manis manakala daun ubi kayu untuk mengubati demam panas. Makan banyak ulam-ulaman segar bukan saja menyihatkan badan, malah tampak awet muda. Bahkan, setiap pagi dia dan suami membuat sendiri air teh misai kucing kerana mempunyai banyak khasiat.


Menurut Izawati, terdapat banyak lagi tumbuhan yang tidak diketahui khasiatnya yang boleh mengubati pelbagai penyakit. Sejak menanam tumbuhan herba, ketiga-tiga anaknya Iman Insyirah, 6, Ibad Idraki, 3, dan Itqan Irdina, 1, tidak lagi dibawa ke klinik sekiranya demam, selsema atau batuk. Cukup hanya menggunakan tumbuhan herba berkenaan.


"Bukan tidak percaya kepada perubatan moden, tetapi selagi boleh diubati dengan cara tradisional, saya akan menggunakannya. Lainlah jika berpenyakit serius. Setakat ini penggunaan herba ini serasi dengan mereka," kata Izawati. Menurutnya, sejak ada taman herba ini, setiap pagi dan petang Ibad akan menyiram pokok di halaman rumah sambil bermain di situ. Dia juga memberitahu kepada kawannya yang dia mempunyai taman herba untuk bermain. Pada masa depan, Izawati mahu menanam banyak lagi tumbuhan herba selain menjaga tanaman yang ada sebaik mungkin. "Saya tidak sabar melihat Ibad membesar seperti mana taman herba ini. Doa dan harapan saya semoga Ibad menjadi anak yang soleh, berjaya dalam hidup serta memanfaatkan apa juga kemahiran yang dimilikinya kepada alam sekitar," kata Izawati. Menurut Pengurus Jenama Dumex Dugro, Sharon Choo Joo Hui, persiapan dilakukan hampir sebulan membina taman herba untuk Izawati dan anaknya, Ibad. Pada mulanya, pihaknya meninjau kawasan, kemudian kerja menambak tanah dilakukan di halaman rumah, diikuti proses menanam rumput, membina pagola dan pondok rehat. "Sebelum memenuhi impian Izawati, kami bertanya sama ada rumahnya mempunyai kawasan atau tidak. Jika ada kawasan, barulah kerja membina taman dilakukan. "Kami memberikan peluang Izawati memilih sendiri tumbuhan herba kesukaannya. Selepas itu barulah kami mencarinya. Namun tidak semua tumbuhan herba yang Izawati senaraikan kami penuhi kerana agak sukar mencari herba yang namanya agak pelik," kata Sharon yang memilih pemenang berdasarkan impian paling unik, kreatif dan ceria.


Izawati adalah seorang pemenang yang memenuhi kriteria berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: