Wednesday, February 3, 2010

Faezah trauma 6 bulan

MENGENALI personaliti aktres jelita Faezah Elai sememangnya menyeronokkan.

pix_middle

Malah, temubual yang diadakan di studio Balai Berita, Jalan Riong, baru-baru ini, berjalan lancar biarpun saat awalnya bermula dengan sedikit formal. Suasana ceria semakin melingkari apatah lagi gadis kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini mula menunjukkan bakatnya dalam berjenaka. Ternyata, di sebalik kata-kata liar sebelum ini yang merujuk Faezah seorang 'gadis sombong' atau dalam bahasa hiburan 'kekwat' hanyalah gosip kosong.


Dengan menggunakan segala ilmu dan pengetahuannya sebagai model, lenggok badan Faezah begitu mudah mengikut pergerakan lensa kamera. Dia juga semakin aktif berbicara, bermula dari perkembangan karier seni hinggalah perancangan masa depan. Mengetahui dunia hiburan ada pasang surutnya, gadis tinggi lampai ini memasang impian untuk terbabit dalam dunia perniagaan. Menariknya, dia ingin membuka tadika sendiri kerana suka kanak-kanak. Namun, adakah ini memberi erti dia akan meninggalkan karier seni suatu hari nanti? Atau mungkin dia tidak yakin karier seni mampu menjamin pendapatan hidup sebagai pelakon hingga mengambil keputusan sedemikian? Mengajukan persoalan ini kepadanya, Faezah, 27, memberi jawapan dia belum pasti.


"Pelakon baru datang silih berganti mewarnai dunia hiburan tempatan. Saya tidak cemburu, tetapi melihat situasi ini dari sudut positif. Ia adalah persaingan sihat dan saya amat mengalukan kedatangan pelakon baru sebagai pelapis masa depan. "Bukan tidak yakin dengan karier seni, tetapi sebagai pelakon, perancangan amat penting. Lagipun umur semakin meningkat dan belum tentu pengarah atau penerbit akan ambil kita berlakon nanti. "Namun, itu tidak membawa maksud saya akan meninggalkan terus dunia hiburan tempatan. Saya sayangkan bidang lakonan biarpun minat saya lebih terjurus dalam peragaan. "Impian untuk membuka tadika tercetus kerana saya suka melayan keletah kanak-kanak. "Bagi saya, berhadapan dengan mereka lebih menyeronokkan daripada orang dewasa. Mereka telus, comel, jujur dan tidak mendatangkan masalah kepada saya.


"Walaupun ada sesetengah orang tak suka kanak-kanak kerana bising atau nakal, tetapi suasana itu amat menyenangkan saya. "Malah, masalah saya akan hilang kalau ternampak kanak-kanak. Dek kerana begitu sayangkan kanak-kanak menyebabkan saya terfikir kenapa tidak buka tadika sendiri.


"Pengalaman menjadi guru tadika sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menguatkan lagi hasrat saya untuk memiliki sebuah tadika. "Perasaan itu semakin bersemangat apabila saya ternampak mana-mana ada tadika. "Secara tidak langsung, ia memberi inspirasi atau idea kepada saya akan konsep tadika yang akan saya buka suatu hari nanti. "Semuanya masih pada tahap awal dan modal pun belum mencukupi. Saya sasarkan tiga atau empat tahun untuk mencapai impian itu.


"Memiliki tadika, bukan sekadar buka saja, tetapi perlu mempunyai pengetahuan mengendalikannya. Dua tahun lalu, ada kursus menawarkan program ini dan saya hampir ingin menyertainya. "Namun, tempoh kursus itu selama enam bulan menyebabkan saya tidak dapat menyertainya kerana sibuk dengan jadual penggambaran. "Memang saya akan pergi kursus itu dan sedang mencari masa sesuai. "Saya memilih membuka tadika di negeri sendiri, Pulau Pinang berbanding Kuala Lumpur kerana tidak banyak persaingan," katanya. Memiliki paras rupa jelita, tidak mustahil gadis kacukan Punjabi di sebelah bapa dan ibu di sebelah Thai ini sudah mempunyai kekasih hati. Kalau tidak pun, mungkin ada sesetengahnya cuba mendekati gadis manis ini dengan harapan untuk berkasih dengannya. Mengajukan persoalan itu, kata anak sulung dari tiga beradik ini berkata, dia masih lagi belum berpunya.


"Saya akui ramai kenalan lelaki berbanding perempuan. Ramai tertanya siapa gerangan di hati dan jawapan saya senang saja, masih 'single.' "Mungkin ada yang ingat saya tipu kerana ternampak saya keluar dengan lelaki, tetapi itu tidak bermaksud mereka kekasih saya. "Mereka adalah kawan dan jujurnya saya selesa berkawan dengan golongan itu. "Mereka lebih ikhlas, jujur dan tidak sensitif. Berkaitan teman hidup, saya tidak memilih dan tidak fokus mencari golongan berstatus VIP saja. "Ada sesetengahnya menggunakan platform ini mencari golongan VIP untuk dijadikan calon suami, tetapi tidak buat saya. Yang penting, biarlah lelaki itu faham dengan karier saya, baik dengan keluarga dan tidak banyak kerenah. "Malah, saya jarang menghadiri mana-mana majlis kerana lebih gemar mengisi masa lapang bersama keluarga. "Bukan tidak mahu bersosial dengan kawan artis, tetapi saya selesa dengan kehidupan ketika ini. Biarlah saya habiskan masa sosial dengan rakan artis ketika penggambaran saja, kemudian masa yang ada untuk keluarga pula," katanya. Beralih kepada kisah karier seninya, kata Faezah, dia mendapat banyak tawaran tahun ini, tetapi terpaksa menolaknya kerana ingin fokus satu perkara dalam satu masa. "Alhamdulillah, masih ramai membuka peluang kepada saya. Saya masih ingat lagi selepas pertama kali muncul dalam filem Otai dulu, saya memang tidak yakin untuk meneruskan karier lakonan disebabkan kritikan hebat yang saya terima terhadap lakonan saya.


"Pada waktu itu, saya hanya fokuskan pada bidang pengacaraan dan enam bulan selepas itu, barulah saya cuba untuk berlakon kembali, tetapi hanya dalam drama saja. "Tidak lama selepas itu barulah saya yakin untuk kembali berlakon filem dan ketika itu, saya menerima tawaran untuk filem Adik Manja Returns. Saya lebih gemar fokus satu kerja dalam satu masa kerana tidak mahu kualiti lakonan lari," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Noorfaezah Md Elai
NAMA KOMERSIAL: Faezah Elai
TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1982
UMUR: 27 tahun
ASAL: Gelugor, Pulau Pinang
KETURUNAN: Bapa (Punjabi) dan ibu (Thai)
KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
IKLAN TV: Radox, Vanish, Celcom, Canon dan Olay
PENGACARA TV: Mango TV, Gegar U, Inspirasi Comel dan Hypermarket Saga
FILEM: Otai, Adik Manja Returns, Mantera, Cun
DRAMA/TELEFILEM: Cinta & Keadilan, La Dolce Amira, Enigma, Sutera Maya, Pemanduku Jutawan, Cinta Sempurna dan Hartamas
PEKERJAAN LALU: Bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) dari 2003- 2005
PENCAPAIAN: Best TV Look Elite Model Search 2006 (KL Fashion Week 2006) dan 50 Gorgeous People (Female Magazine)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: