Saturday, February 20, 2010

Bangsawan Bukan Drama Muzikal

Que Haidar dan Abby Nadzri ketika pementasan Bangsawan Laksamana Cheng Ho.

SEORANG wartawan bertanya kepada tokoh bangsawan A.Rahman Bakar pada sidang akhbar mengenai pementasan bangsawan Laksamana Cheng Ho, sama ada persembahan itu merupakan drama muzikal kerana diselitkan nyanyian dan tarian.

Soalan itu tidak mengejutkan A. Rahman atau lebih mesra dipanggil Pak Rahman dalam kalangan penuntut teater, kerana baginya, tidak ramai dalam kalangan generasi hari ini tahu apa itu bangsawan.

"Kita tidak menggelarkan persembahan bangsawan sebagai muzikal kerana bangsawan asli sememangnya sudah menyerapkan elemen muzik, nyanyian dan tarian," jawab A Rahman bersahaja.

Apa Itu Bangsawan

Bangsawan secara umumnya dikenali sebagai sejenis opera tradisional Melayu. Ia diketahui diwujudkan daripada persembahan teater India semasa kurun ke-19. Bangsawan begitu popular dalam tahun 1950-an.

Bangsawan menceritakan kisah cinta, keberanian dan hero dari kalangan anak Raja dan wira rakyat. Ia menggabungkan nyanyian, tarian dan lakonan.

Pak Rahman berkata bangsawan sama jugalah seperti pementasan asli Opera Cina, klasik India, Kabuki dan pementasan Shakespeare.

Muzik dan nyanyian di dalam bangsawan memang diberi penekanan kerana melaluinya pelakon menzahirkan perasaan sama ada suka, gembira, duka, lara, riang dan sebagainya. Disebabkan ini, lazimnya pelakon bangsawan mempunyai bakat serba boleh -- berdialog dengan baik tanpa skrip, menyanyi dengan suara yang merdu, menari dan berpantun.

Bangsawan juga memperlihat penggunaan alat muzik tradisional yang kini digabungkan dengan yang moden seperti piano, gong, tabla, genderang dan drum.

Yang Asli

Pak Rahman berkata jika hendak membuat sesuatu persembahan bangsawan asli, dianggap susah sekarang, dan bangsawan hari ini sudah terlalu banyak mengalami perubahan disebabkan teknologi.

Bagi beliau sendiri apa yang dipentaskan bangsawan pada tahun 40-an atau 50-an misalnya biarlah kekal asli sama ada dari segi dialog, peradaban, lagu, kostum dan sebagainya, "jadi bagi yang tidak pernah tengok bangsawan, akan tahu itulah bangsawan dan menghargainya, serta tidak juga melihat bangsawan sebagai drama penglipur lara".

Ini kerana babak lucu di dalam bangsawan, sebelum adanya pementasan drama moden, ialah di dalam dialognya, yang biasanya dituturkan secara spontan, kerana dulu tiada skrip dan tidak ramai pelakon yang boleh membaca. Mereka hanya menguasai jalan cerita yang banyak tentang kisah raja dan lazimnya, bernada serius.

Disebabkan sukar kini untuk melihat bangsawan yang asli dipentaskan, Pak, Rahman amat mengalu-alukan usaha Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mementaskan bangsawan Laksamana Cheng Ho pada 28 hingga 31 Januari lalu.

Bangsawan ini dipersembah dengan kerjasama Alumni Aswara di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersempena penganugerahan Ijazah Sarjana Seni (MA Kehormat) kepada Pak Rahman tahun lepas.

Alumni Aswara

Pak Rahman menganggap usaha yang dilakukan Alumni Aswara ialah penghargaan besar buatnya kerana kebanyakan bekas pelajarnya kini sudah berkerjaya tetapi tidak lupa akan ilmu yang pernah dicurahkannya sebelum ini.

"Karya yang dipilih bekas pelajar saya ialah karya yang ke-200 saya dan ia sangat bersesuaian dengan pelbagai isu hari ini," katanya.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Penyelidikan Aswara, Habsah Mohd Nordin berkata pementasan bangsawan ini ialah projek pertama Alumni Aswara bagi menghargai jasa guru bangsawan mereka itu.

Alumni ini mempunyai 400 anggota dan beliau bangga kerana graduan Aswara sejak kumpulan pertama yang lulus pada 1998, telah mengisi keperluan industri hiburan, pendidikan, perkhidmatan profesional dan secara langsung memartabatkan serta menyemarakkan perkembangan seni tanah air.

Ramai alumni Aswara kini menjadi artis sepenuh masa, koreografer, pereka busana, pengurusan pentas, penari, pemuzik profesional, penulis, pengarah teater, penerbit drama, filem, penulis lirik, pengacara TV dan jurilatih penari.

"Pemilihan Pak Rahman ialah sebagai mengenang jasanya dalam memberi komitmen dan kegigihan berjuang memartabatkan bangsawan kepada generasi muda, terutama kepada pelajar Aswara sejak dari tahun 1995 lagi," katanya.

Beliau bangga kerana pelajar dan Alumni Aswara tidak kekok untuk terlibat dengan pementasan seperti bangsawan kerana dalam tapisan pengambilan pelajar sendiri, Aswara mengutamakan bakat.

Dan seni klasik tradisional memang diutamakan dalam pembelajaran mereka, bukan sahaja seni Melayu, tetapi juga India, Cina dan lain-lain sesuai dengan slogan Aswara sendiri -- Melangkah Ke hadapan Bersama Tradisi".

Pengalaman Bangsawan

Bangsawan Laksamana Cheng Ho ialah pementasan yang menggabungkan 30 bekas pelajar Aswara termasuk beberapa orang yang kini sudah bergelar pelakon di dalam industri perfileman.

Antara pelakon yang menjayakannya ialah Que Haidar sebagai Laksamana Cheng Ho, Xavier Fong U-Shin sebagai Maharaja Meng dan Abby Nadzri sebagai Puteri Ang Di Po.

Que Haidar berkata beliau menuntut di Aswara pada sesi 97/98 dan di situlah beliau mengenal dunia lakonan, bangsawan dan teater.

"Saya pernah uji bakat untuk pementasan bangsawan Lang Buana di bawah arahan Pak Rahman semasa belajar, tapi saya cuma dapat watak pemegang tombak saja," katanya ketawa.

Bagi Que Haidar, yang banyak berlakon dalam drama dan filem popular, bukan mudah untuk berlakon bangsawan kerana dialog dan peradabannya berbeza. Jika cerita raja, seperti dalam Laksamana Cheng Ho, percakapannya dan perwatakannya bukan biasa.

Heroin Abby Nadzri berkata semasa di Aswara, beliau banyak terbabit dengan bangsawan di bawah arahan Pak Rahman seperti Puteri Patamawati, Menjunjung Duli dan Raja Laksamana Bentan.

"Bagi saya bangsawan ialah antara lakonan pentas yang susah kerana lenggok dialognya tidak sama dengan pementasan teater," katanya.

Dan Xavier Fong pula menganggap penglibatan seseorang dalam bangsawan dan persembahan klasik lain menuntut kepada disiplin diri menguasai bahasa dan budaya sesuatu kaum itu.

Cheng Ho

Pengkisahan Laksamana Cheng Ho berlatarkan semangat dan kesetiaan Cheng Ho yang dipertanggungjawab oleh Maharaja Meng untuk membawa puterinya, Ang Di Po belayar ke gugusan pulau di benua China.

Ketika di dalam pelayaran, Puteri Ang Di Po yang menaruh hati kepada Laksamana Cheng Ho mengugut untuk membunuh diri sekiranya cintanya ditolak.

Bagaimanapun, demi taat setianya kepada Maharaja Meng dan tidak mahu menderhaka, Laksamana Cheng Ho melakukan pengorbanan besar di dalam hidupnya.

Laksamana Cheng Ho selepas pengorbanannnya, dititah ke Melaka untuk mengeratkan hubungan dagangan, dan menjodohkan Puteri Ang Di Po dengan Sultan Melaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: