JIKA dibandingkan dengan kelompok penyanyi yang seangkatan dengannya, nama Nas Adila tidaklah segah dan popular mana. Malah, pengalamannya berkecimpung selama enam tahun juga gagal melonjakkan dirinya sebagai penyanyi yang disegani.
Hendak kata Nas Adila tidak berbakat, tidak boleh juga. Penyanyi yang berasal dari Johor ini bukan sahaja manis orangnya, malah dia juga versatil menyampaikan pelbagai genre lagu termasuklah tradisional dan pop.
Jika ciri-ciri itu dijadikan kayu ukur, seakan pelik juga difikirkan mengapa dia kurang menyerlah. Namun, Nas Adila tidak pernah mengalah. Walaupun pernah muncul dengan dua album tanpa membawa sebarang impak sebelum ini, Nas Adila cuba membawa dimensi baru pada dirinya demi kecintaan pada seni suara.
Dia yang dulunya dikenali ramai sebagai Nas Adila kini bagai dilahirkan semula dengan jenama dan imej baru. Menurutnya, kini dia lebih selesa tampil sebagai Adila. Nama itu bukan sahaja pendek dan lebih menarik perhatian, malah ia senang diingat dan mudah bermain di bibir.
"Nama Adila bukan sahaja pendek dan mudah untuk disebut, ia juga lebih mudah diingat dan menarik perhatian.
"Selain nama yang lebih pendek dan bersesuaian dengan peredaran masa, saya juga tampil dengan imej yang lebih ranggi dan moden.
"Bukan nak kata imej saya sebelum ini ketinggalan zaman atau tidak elok, cuma saya perlu buat perubahan untuk terus bersaing dalam industri ini.
"Setelah berbincang dengan pihak pengurusan, kami memutuskan untuk tampil dengan nama baru dan imej sebegini.
Menyentuh tentang imej Adila yang tampil dengan imej ranggi dan kontemporari, gadis berusia 24 tahun ini berkata, imej berjaket, berseluar panjang dan menyarung kasut but adalah satu kelainan segar yang dipertaruhkannya.
"Saya memang seorang yang suka melaram dan berpakaian cantik. Memandangkan saya tampil dengan imej baru ini, jadi tidak salah jika saya ketengahkan imej dengan kasut but.
"Maknanya, setiap kali saya tampil di mana-mana persembahan dan acara hiburan, saya akan menyarung but.
"Setakat ini, saya ada lapan pasang but yang direka dan ditempah khas. Kosnya tidaklah terlalu tinggi memandangkan ia dibeli daripada seorang teman di Indonesia.
"Saya memang sengaja menempah but-but ini agar rekaan dan bentuknya berbeza daripada mana-mana kasut but yang sedia ada di pasaran.
"Imej baru ini bukan sahaja moden dan segar, ia juga menampakkan kematangan saya selama enam tahun bergelar penyanyi," katanya lagi.
Apabila bercerita tentang 'kelahiran semula' Adila, tidak lengkap rasanya jika penyanyi itu tidak muncul dengan karya seni.
Justeru, sebagai langkah pertama untuk menarik semula peminat, Adila muncul dengan sebuah album EP yang mengandungi tiga buah lagu.
Pertaruhan pertamanya, sebuah lagu rancak yang berjudul Bidadari Syurga akan mula kedengaran di corong-corang radio bermula Mac ini.
Kata Adila, dia yakin ketiga-tiga lagu baru itu mampu memberi kelainan dan persepsi baru terhadapnya.
"Ada tiga buah lagu baru yang akan saya ketengahkan untuk menarik semula perhatian peminat.
"Lagu Bidadari Syurga contohnya, adalah pertaruhan pertama yang akan dimainkan di radio bagi menyemarakkan kemunculan Adila dengan imej baru ini.
"Saya memilih judul itu kerana ramai teman rapat selalu mengusik saya dengan gelaran itu.
"Mereka kata karakter saya yang lemah-lembut dan pemalu ini seperti bidadari syurga.
"Apabila difikirkan, gelaran itu menarik dan segar juga. Jadi, saya muncul dengan lagu yang mengangkat judul yang sama," ujarnya sambil bergurau.
Sebelum mengakhiri perbualan, Adila menegaskan, walaupun transformasi nama dan imej barunya kelihatan drastik, namun dia masih individu yang sama.
Transformasi itu hanya berlaku di luaran dan fizikalnya sahaja tapi dirinya masih Adila yang dulu.
"Saya masih Adila yang lama. Cuma nama baru dan imej sahaja yang berbeza.
"Mungkin imej ini kelihatan agak kebaratan dan moden, itupun demi tuntutan karier dan pasaran hari ini. Saya masih lagi gadis yang pemalu seperti dulu," ujarnya sambil tersenyum malu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: