Sitkom papar cabaran industri SME ke udara Oktober ini
Barisan pelakon sitcom S.M.E
 Sitkom papar cabaran industri SME ke udara Oktober ini
Tunjang utama S.M.E, Ash (kiri), Alvin dan Baki

KETIADAAN sitkom yang menggambarkan realiti cabaran dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (SME) memberi idea kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia SME, Wayne Lim untuk menerbitkan drama komedi, Small Mission Enterprise (S.M.E) sebagai hiburan ringan yang diselitkan pengetahuan mengenai industri terbabit.

Menurutnya, “kami amat gembira kerana dapat membawa kesedaran mengenai SME kepada rakyat Malaysia dan yakin lebih ramai akan lebih memahami mengenai SME yang menjadi suatu aspek yang amat penting di dalam ekonomi.”

Sitkom dalam bahasa Inggeris ini menyelitkan humor mengenai industri SME.

Ia merupakan penglibatan pertama kali Persatuan Malaysia SME dalam siaran televisyen dibintangi pelakon berbakat seperti Adibah Noor, Baki Zainal, Alvin Wong, Chelsia Ng, Ash Nair, Indi Nadarajah dan juga pendatang baru, Ruzana Ibrahim.

Sitkom yang diarahkan oleh Douglas Lim, yang juga seorang pelakon ini mahu meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang harus ditempuhi para usahawan sama ada yang menceburi perniagaan keluarga, kedai jahit atau pun mengusahakan kafe pastri.

Selain itu, sitkom ini turut memperlihatkan bagaimana watak-watak dalam drama komedi ini berdepan dengan cabaran dalam memajukan perniagaan mereka.

Menurut Lim, “ini adalah kali pertama kami menghasilkan sebuah sitkom dari sudut perniagaan dan saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada projek ini.”

“Antara cabaran dalam menghasilkan sitkom ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai pendidikan mengenai industri SME tanpa membuatkan penonton berasa bosan, jadinya lahirlah ilham untuk mengetengahkan elemen kelakar dan humor.

“Bagaimanapun ia masih mengekalkan relevannya dari sudut intelektual,” kata Lim.

Sementara itu, Adibah memegang watak sebagai Aminah, yang mempunyai sebuah kedai jahit diusahakan bersama anak buahnya, Zam, lakonan Baki Zainal menyifatkan sitkom ini suatu pengalaman baru dan seronok dapat berlakon di bawah arahan Lim, yang sebelum ini sangat sinonim dengan sitkom Kopitiam.

“Saya seronok terlibat dalam sitkom ini kerana kami semua (pelakon, pengarah, krew) bagaikan sebuah keluarga, yang sentiasa boleh bergurau senda sesama sendiri selain banyak pengalaman baru berkaitan industri ini dapat dipelajari secara tidak langsung.

“Selain itu, Douglas (Lim) selaku pengarah sangat memahami tuntutan tugas sebagai seorang pelakon dan dia sentiasa memberi input dan tunjuk ajar dalam menjayakan watak itu,” katanya.

Sitkom S.M.E yang mengandungi 13 episod bakal menemui anda mulai 4 Oktober, setiap Khamis jam 9 malam di saluran NTV7.

Sitkom ini berkisarkan tiga generasi muda Malaysia di dalam usaha mereka menjadi seorang usahawan dan mahukan perubahan di dalam hidup mereka, Mohan (Ash Nair) cuba untuk memperbaiki dan mengembangkan perniagaan keluarganya, Zam (Baki Zainal) menjalankan perniagaan kedai jahit yang dimiliki oleh makciknya (Adibah Noor) dan Jose (Alvin Wong), seorang jurujual yang baru menganggur ingin membuka kafe pastrinya sendiri.

Setiap episod akan merungkai pelbagai plot dan dilema yang dihadapi mereka serta jalan penyelesaian yang diambil untuk mengatasi masalah berkaitan perniagaan ketiga-tiga sahabat itu.