Saturday, August 11, 2012

Telefon pantau jantung

EPI Life merupakan telefon pintar pertama dunia dilengkapi sensor bacaan Eloktro Kardiogram (ECG)untuk memantau denyutan dan tanda-tanda tidak normal pada jantung.

STATISTIK Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2009 menyaksikan satu daripada empat kematian di hospital awam berpunca daripada penyakit jantung.

Keadaan itu menunjukkan betapa sakit jantung merupakan antara penyakit merbahaya dan berisiko tinggi di kalangan penduduk negara ini.

Ia turut disebabkan oleh kurangnya kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan jantung seperti mengenalpasti simptom dan gejala ritma jantung yang tidak teratur.

Secara umumnya, penyakit jantung hanya boleh dikesan melalui bacaan Eloktro Kardiogram (ECG) selepas munculnya beberapa simptom utama.

Walau bagaimana pun, kebanyakan pesakit yang berada jauh daripada kemudahan perubatan mesin ECG menyebabkan mereka sukar memantau bacaan secara berterusan.

Melihat keadaan itu, sebuah syarikat teknologi e-kesihatan, Heartronics telah memperkenalkan telefon pintar EPI Life yang diintegrasi dengan alat ECG.

Menurut Pengarah Urusan Heartronics Sdn. Bhd., Jean-Michel Mougin, peranti tersebut bakal menghubungkan pengguna dengan pakar kardiologi profesional untuk menerima arahan tindakan pengesanan awal bagi penyakit tersebut.

"Jika tindakan pantas diambil, lebih banyak nyawa akan dapat diselamatkan terutama di kalangan individu yang telah mempunyai sejarah sakit jantung.

"Menerusi alat yang boleh dimuatkan ke dalam poket ini, pengguna boleh memantau ECG mereka dengan cepat dan mudah pada bila-bila masa.

"Alat mudah alih ini mempunyai kemampuan mengukur denyutan dan mengesan tanda-tanda tidak normal pada jantung selain berupaya memantau kesihatan seperti tekanan darah, kandungan gula dan paras kolestrol,'' katanya pada pelancaran produk telefon pintar ECG pertama dunia itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur, Dr. Balachandran Setiamurthi.

Produk yang dibangunkan oleh EPI Mobile Health Solution itu telah mendapat kerjasama daripada Hospital Pantai Kuala Lumpur dan syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi bersepadu negara, Maxis Berhad (Maxis).

Untuk menggunakan EPI Life, pengguna hanya perlu memegang telefon tersebut dengan menggunakan tiga jari yang disentuh pada bahagian sensor.

ECG itu kemudiannya akan dihantar ke Pusat Concierge Kesihatan yang beroperasi 24 jam sehari untuk tujuan penilaian bacaan.

Pusat tersebut yang diselenggara oleh doktor pakar dan juruteknologi kardiologi akan menganalisis bacaan sebelum menghantar keputusan penilaian dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam tempoh 10 minit.

Sementara itu, Pencipta produk EPI Life, Prof. Dr. Michel C.L. Lim memberitahu, konsep produk itu telah dibangunkan sejak tahun 1990.

"Secara asasnya, pembangunan produk ini tidak hanya disasarkan untuk pesakit jantung tetapi juga bagi golongan berisiko tinggi untuk pengurusan kesihatan lebih baik serta mengelakkan kejadian mati mengejut disebabkan kegagalan fungsi sistem jantung,'' jelasnya.

Untuk setiap bacaan ECG, ia akan direkodkan secara dalam talian menerusi Fail Kesihatan Peribadi Maya khusus untuk setiap pengguna sebagai rujukan perubatan pada masa akan datang.

Naib Presiden dan Ketua Produk, Peranti, Inovasi dan Perantauan Maxis, T. Kugan pula memberitahu, pihaknya sentiasa mencari inisiatif melengkapkan perkhidmatan mereka termasuk kesihatan bagi kemudahan para pelanggan.

Pakej eksklusif untuk pelanggan pasca bayar itu akan mengenakan caj RM13 bagi setiap bacaan ECG yang dihantar.

Untuk Pelan Maxis pula, pelanggan akan dikenakan caj RM55 untuk lima ECG, RM90 untuk 10 ECG dan RM210 untuk 30 ECG.

Pelanggan yang berminat boleh membeli EPI Life dengan harga RM2,299 daripada empat cawangan Pusat Maxis di KLCC, Taman Tun Dr, Ismail (TTDI), Sunway Pyramid dan The Gardens.

Maklumat lanjut, sila layari laman web www.heartronics.com.my atau www.maxis.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: