Saturday, August 11, 2012

Pertaruh bakat pereka batik

BARISAN pereka batik bersama model yang memperagakan ciptaan mereka dalam pertunjukkan batik oleh Galeri Seri Endon yang berlangsung di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui bahawa Galeri Seri Endon mempunyai butik pamerannya yang terletak di Epicure 1, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Galeri tersebut bukan sahaja mempamerkan kain batik malah banyak produk kraf, aksesori yang berasaskan batik.

Terkini Galeri Seri Endon mengetengahkan rekaan kreatif lagi menawan oleh para peserta pertandingan akhir Piala Seri Endon.

Dalam pertandingan yang diadakan setiap tahun itu, pelbagai bakat telah dicungkil yang masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dalam menghasilkan rekaan batik eksklusif bagi memastikan warisan budaya kekal dalam hasil kreativiti mereka.

Baru-baru ini berlangsung majlis minum petang dan perarakan batik rekaan eksklusif lima pereka batik tersebut di Kafe Chef & Brew, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Antara tetamu yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang), Datuk Leela Mohd. Ali, Puan Seri Faridah Idris dan tetamu kehormat lain.

Pengerusi Penyayang, Nori Abdullah berkata, Galeri Seri Endon bukanlah sekadar satu butik penjualan batik yang menggunakan nama ibunya, Allahyarham Endon Mahmood.

Ia sebenarnya satu galeri yang memberikan satu ilmu kepada masyarakat Malaysia dan juga pelancong tentang Batik Malaysia sebagai satu kebanggaan dan juga warisan negara.

"Inisiatif ini yang diberi nama 'Galeri Seri Endon' adalah hak milik sepenuhnya Yayasan Budi Penyayang Malaysia dan juga menjadi sebahagian daripada Pergerakan Kraftangan Batik Malaysia Untuk Dunia yang telah diketuai oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Dalam galeri ini, kami menghimpunkan hasil kerja terbaik peserta akhir Piala Seri Endon, satu pertandingan tahunan yang mencari bakat terbaru yang terpendam di dalam industri batik.

"Galeri ini boleh dianggap sebagai 'inkubator' untuk memberi sokongan kepada pereka batik ini dari bermula sebagai status 'artis' hinggalah kepada usahawan," ujar Nori.

Ujar Nori lagi, dengan pembelian batik oleh orang ramai di Galeri Seri Endon, ia bukan saja menunjukkan tanda sokongan malah memastikan bahawa kecintaan terhadap batik tempatan tidak pupus.

"Ini adalah impian ibu saya, di mana satu usaha yang bukan bermotif keuntungan yang memberikan sumbangan kepada pembangunan bakat muda dalam industri batik.

"Batik bukan saja dari Malaysia, malah Indonesia, India, China dan sebahagian dari negara Afrika, namun batik Malaysia mempunyai karakter yang tersendiri dan kami amat gembira kerana dapat berkongsi keindahan tersebut dengan semua," jelasnya.

Peminat batik eksklusif boleh berkunjung ke Galeri Seri Endon untuk mendapatkan pilihan batik anda atau boleh juga kunjungi laman web www.galeriseriendon.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: