Saturday, August 11, 2012

Azura saingi pereka lelaki

Azura Mazaruddin

TAHUN 2003 ternyata membawa tuah kepada anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini. Dia bukan setakat dilihat memecah dominasi lelaki ketika menyertai pertandingan rekaan fesyen Anugerah Jarum Berlian, malah dia memenanginya ketika umurnya baru menginjak angka 19 tahun.

Sejak itu, bintang anak sulung daripada lima beradik ini terus berkerlip terang dalam industri fesyen tempatan. Seterusnya menempatkan diri setanding dengan pereka-pereka sedia ada.

Mengakui meminati bidang seni sejak di bangku sekolah lagi, pemilik nama, Azura Mazaruddin ini lebih selesa memilih bidang yang bersangkutan dengan minatnya.

Malah pembukaan Azura Couture sekitar tahun lepas membuktikan kesungguhan wanita muda ini untuk pergi lebih jauh dalam bidang fesyen.

Apa yang lebih membanggakan ia 'terhasil' daripada titik peluhnya sendiri setelah sekian lama berkecimpung dalam dunia tersebut.

"Mungkin masa yang diambil untuk membuka Azura Couture agak lama selepas memenangi Anugerah Jarum Berlian. Dalam tempoh itu saya sebenarnya belajar dan mengumpul pengalaman sehingga benar-benar yakin untuk tampil dengan label sendiri," katanya.

Begitupun, dia amat berterima kasih kepada kedua ibu bapanya serta ahli keluarga yang lain kerana memberi sokongan padu yang tidak terhingga di kala susah dan senang.

Hadir sebagai pereka fesyen dalam dunia yang lebih didominasi lelaki, Azura nyata tidak kekok untuk berada dalam kumpulan tersebut malah dia amat berbangga untuk bersama-sama menaikkan lagi industri fesyen tanah air.

"Jika ditanya perasaan Zura apabila berada dalam bidang yang didominasi kaum lelaki sudah pasti ia satu kelebihan kerana kita sering menjadi tumpuan.

"Bagi Zura setiap pereka ada kelebihan masing-masing kerana ada pelanggan yang lebih senang berurusan dengan pereka perempuan terutama apabila membincangkan mengenai bentuk tubuh mereka.

"Bagaimanapun senario ini merupakan satu persaingan yang sihat dan dalam masa yang sama mereka (pereka-pereka lelaki) ini juga merupakan kawan seperjuangan Zura yang sama-sama naik," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, kehadirannya dalam bidang fesyen bukan bertujuan menyaingi sesiapa tetapi mempercayai rezeki masing-masing telah ditetapkan oleh-Nya.

Hari ini siapa sangka Azura merupakan salah seorang pelapis pereka fesyen yang sedang mencipta nama.

Dalam masa yang sama, pemilik Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini semakin galak mendapat tempahan daripada selebriti, bakal pengantin, syarikat-syarikat pakaian korporat dan sebagainya.

Pelakon popular, Nora Danish merupakan artis pertama menggayakan rekaannya pada awal kemunculan dalam dunia fesyen.

Menampilkan rekaan-rekaan yang elegan, kreatif dan tersendiri, apa yang pasti buah tangan Azura sentiasa segar dan mengikut peredaran zaman.

Bagi Azura, segala idea yang 'dicurahkan' di atas sekeping kertas sebelum merealisasikan di atas kain, diperoleh daripada bahan-bahan bacaan baik melalui Internet, majalah tempatan mahupun majalah antarabangsa.

Tidak ketinggalan menggarap idea daripada pemantauan fesyen-fesyen antarabangsa terutama dari Indonesia.

Dengan idea kreatif serta berani mencetuskan kelainan dalam setiap rekaannya, pereka berusia 28 tahun ini gemar memilih fabrik mewah seperti satin, sifon dan dutches serta gabungan warna-warna terang agar tampak eksklusif.

Menyentuh mengenai Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi, Azura tidak ketinggalan menerima tempahan pakaian daripada para pelanggan tetapnya.

Begitupun tempahan yang diambil agak terhad mengikut kemampuan untuk menyiapkannya.

Bagi memastikan tempahan dihasilkan dengan baik dan mengikut waktu yang ditetapkan, Azura mengupah empat orang pembantu.

"Sebenarnya sebelum ini saya lebih memberi tumpuan pada pakaian untuk majlis perkahwinan.

"Memang banyak masa diperlukan untuk menyiapkan tempahan perkahwinan kerana ia lebih rumit dan memerlukan ketelitian.

"Sebab itu saya mengehadkan tempahan untuk hari raya takut tidak terbuat," jelasnya.

Pada masa yang sama, setiap tahun Azura turut bertanggungjawab menyediakan pakaian raya untuk seluruh ahli keluarganya.

Ceritanya, sejak melibatkan diri secara serius di dalam bidang fesyen, dia lebih selesa menyediakan pakaian untuk ibu bapa serta empat lagi adiknya walaupun dia sentiasa dihambat kesibukan.

Hari ini selepas lebih enam tahun bergelumang dalam bidang fesyen, awal tahun lalu menyaksikan Asura mengembangkan lagi perniagaannya dalam bidang perunding perkahwinan.

Ini secara tidak langsung Azura Couture bukan sahaja mengambil tempahan baju perkahwinan tetapi turut menawarkan perkhidmatan seperti solekan, fotografi, hiasan majlis dan sebagainya.

Menyentuh mengenai alam perkahwinan pula, tanpa berselindung Azura menyatakan kegagalan dalam bercinta beberapa tahun lalu membuatkan dia kini lebih senang menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya.

Bukan tidak mahu memikirkan soal rumah tangga, namun Azura percaya mungkin jodohnya masih belum sampai.

"Tipulah kiranya Zura beritahu tidak langsung memikirkan soal ini (kahwin). Wanita mana yang tidak mahu berpakaian cantik dan digandingkan pula dengan orang yang tersayang di atas pelamin.

"Tetapi mungkin sudah tertulis jodoh Zura belum sampai dan Insya-Allah ada tapi bukan sekarang," katanya sambil tersenyum.

Sememangnya dikenali sebagai seorang pereka fesyen tetapi mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Azura sebenarnya pernah menjadi pensyarah dalam bidang yang sama di salah sebuah kolej swasta di ibu kota.

Memegang jawatan tersebut lebih kurang setahun, dia terpaksa melepaskan jawatan itu kerana merasakan ia bukan bidangnya.

Begitupun, Azura sering dijemput memberi ceramah mengenai fesyen dan kerjaya kepada para pelajar ataupun mereka yang terlibat dalam dunia fesyen.

Apa-apa pun, wanita cantik ini dilihat begitu komited dalam kerjayanya hari ini hinggakan dia merancang untuk memasarkan jenamanya ke pasaran antarabangsa.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: