Monday, August 20, 2012

Mudah masuk Mexico

MENARIK...sebuah gereja yang menjadi antara mercu tanda bandar Tijuana.
MENARIK...sebuah gereja yang menjadi antara mercu tanda bandar Tijuana.

KETIKA saya memikirkan apa perlu dibuat untuk menghabiskan baki dua hari selepas membuat liputan perkembangan animasi War of the Worlds: Goliath hasil usaha sama syarikat Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan di Konvensyen Komik Antarabangsa (Comic-Con) San Diego, baru-baru ini, seorang rakan dari Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) mencadangkan kami pergi menyeberangi sempadan ke Mexico.

Saya mengangguk setuju kerana berpendapat, bila lagi mahu berjalan jauh sikit, apatah lagi peluang mengunjungi negara seperti Mexico jarang diperoleh.
Hasrat kami bertambah mudah apabila seorang rakan warga negara AS bersetuju menjadi pemandu dan menemani kami ke bandar sempadan AS dan Mexico iaitu Tijuana.

  • Foto

    MERIAH...suasana kawasan perniagaan yang menjadi tumpuan pelancong di Tijuana.

  • Foto

    BERATUR...kenderaan beratur memasuki Mexico.

  • Foto

    MUDAH...hanya melalui pintu berpalang, anda sampai ke wilayah Mexico tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

  • Foto

    BERATUR...orang ramai beratur panjang sementara menunggu pemeriksaan imigresen untuk memasuki AS.

  • Foto

    SEMPADAN...penulis bergambar di depan batu sempadan AS dan Mexico.

  • Foto

    MERCU TANDA...rekaan seni yang menyambut pelancong di Tijuana.

  • Foto

    SESAK...pemandangan kawasan penduduk di Mexico dapat dilihat di Tijuana.


Bagaimanapun, saya kembali teragak-agak dengan keputusan ke Tijuana selepas rakan dari AS itu memberi pelbagai peringatan serta kemungkinan yang boleh berlaku apabila melintasi sempadan.Menurutnya, kedatangan kami sebagai orang asing mudah dikenali penduduk di situ dan ada kemungkinan menjadi sasaran penyeluk saku.

Dia berkata, kami perlu berjalan dalam kumpulan, tidak membawa beg atau kamera besar serta memakai pakaian yang tidak menarik perhatian, malah dia yang enam tahun tidak menjejakkan kaki ke Tijuana tidak mahu ke sana pada waktu malam kerana risiko lebih tinggi.

Peringatan sebegitu mengingatkan saya mengenai sebuah filem Hollywood yang pernah saya tonton mengenai pertempuran dua kartel dadah Mexico tetapi disebabkan ada benda yang saya mahu cari di sana, saya bertawakal saja.

Perjalanan dari San Diego ke Tijuana hanya mengambil masa sekitar 30 minit. Bagaimanapun, kami terpaksa meletakkan kereta di tempat letak kereta berhampiran sempadan kerana kenderaan AS tidak dapat memasuki terus ke Mexico disebabkan isu insurans.

Dari tempat letak kereta, kami berjalan selama 15 minit melalui dua pintu berpalang. Sangat mudah, tidak ada polis atau pegawai imigresen yang berkawal, seolah-olah kami memasuki laluan pasar raya.

Di pekan Tijuana, saya dapati berpuluh farmasi dan klinik gigi bersusun di deretan rumah kedai. Saya kemudian difahamkan, ramai rakyat AS memasuki Tijuana kerana pelbagai jenis ubat dan pil boleh dibeli tanpa preskripsi doktor, termasuk yang dilarang.

Klinik gigi yang bersepah pula disebabkan permintaan tinggi warga AS kerana rawatan gigi di negara mereka mahal.

Selepas dua jam berjalan di sekitar pekan Tijuana, kami mengambil keputusan pulang. Kami mudah memasuki sempadan tetapi untuk pulang ke AS, kami terpaksa beratur dua jam untuk pemeriksaan imigresen.

Ketika beratur, ada rakyat Mexico menghampiri kami kononnya menawarkan perkhidmatan van sapu untuk terus ke pejabat imigresen.

Mujur pemandu pelancong kami rajin bertanya dan mendapat tahu, jika menaiki kenderaan, kami akan tersekat dalam kesesakan jalan raya, malah dalam situasi van yang bercermin gelap, macam-macam boleh berlaku.

Kami mengambil keputusan beratur dan kembali semula ke AS tanpa masalah. Cuma saya tersenyum sendirian apabila mengingati tujuan memasuki Mexico hanya semata-mata mahu membeli cenderahati magnet peti ais untuk rakan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: