TIDAK KEKOK... Herr menggunakan kedua-dua kaki palsu untuk memanjat tebing batu.
TIADA apa yang lebih menggembirakan hati Hugh Herr selain memanjat tebing batu - walaupun kedua-dua kakinya terpaksa dipotong dalam satu kemalangan ngeri ekspedisi memanjat ketika beliau masih remaja.
Menawan tebing batu setinggi 200 kaki itu bukan kerja mudah, malah satu daripada kaki palsunya jatuh dalam ekspedisi terakhirnya. Namun, Herr dengan tenang menunggu dan menarik kaki palsunya dengan tali sebelum meneruskan memanjat hingga ke puncak.
Herr mempunyai makmal membuat kaki bionik palsu di Institut Teknologi Massachusetts dan menegaskan, mempunyai kaki palsu adalah satu kelebihan.
Katanya: “Apa yang kita lihat dalam kurun ini adalah kecanggihan sistem manusia dan mesin, interaksi manusia dan mesin dan teknologi yang semakin baik.
“Kita akan menghapuskan kurang upaya. Ia satu batu loncatan untuk pergi lebih jauh dan menambah kebolehan.” Herr berkata: “Pada satu tahap, anggota palsu boleh menjadi peranti kenderaan, seperti kereta. Mereka yang kudung kaki boleh berjalan menggunakan tenaga yang kurang berbanding mereka yang mempunyai kaki biasa.
“Sebenarnya, kasihan kerana mempunyai kaki biasa kerana anda terhad oleh sifat semula jadinya dan tidak boleh meningkatkannya, tetapi anggota palsu adalah untuk selama-lamanya.” Pada 1982, ketika Herr berusia 17 tahun, beliau memanjat Gunung Washington di New Hampshire bersama seorang teman.
Mereka terperangkap di dalam ribut salji dan kecederaan dialami menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.
Katanya: “Ketika kami meneruskan pendakian, cuaca menjadi semakin buruk. Angin kuat dan kami hampir tidak boleh berdiri. Ribut dan salji turun semakin lebat.
“Kami membina gua salji dan memeluk satu sama lain untuk mengekalkan kehangatan dan terus hidup. Kaki kami terasa kebas. Apabila anda mengalami hipotermik, anda tidak boleh berfikir secara waras.” Herr berkata: “Kami berjaya berjalan beberapa batu dan tiba di satu jalan tapi kami tidak berdaya lagi dan hilang harapan. Kami sudah tidak berpelukan dan berfikir, lebih cepat kami mati, lebih baik.” Menurut Hugh, seseorang terjumpa tapak kaki mereka dan menjejakinya hinggga menemui gua ais mereka, lalu mereka berdua diselamatkan dengan helikopter.
“Kami berada di hospital buat beberapa bulan sebelum kedua-dua kaki saya dipotong,” katanya.
Kisah penuh inspirasi Herr dipaparkan menerusi siri televisyen di Amerika Syarikat, “Who Says I Can’t” (Siapa Kata Saya Tidak Boleh) iaitu kisah insan yang kurang upaya tetapi berjaya mengatasi kekurangan mereka untuk mengambil bahagian dalam sukan.
Ia dihoskan oleh Jothy Rosenberg, penghidap kanser yang dipotong sebelah kakinya ketika berusia 16 tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: