Monday, August 20, 2012

Kerjasama, disiplin teras kejayaan

KENANGAN...anggota pancaragam Sekolah Menengah Lembah Bidong bergambar kenangan selepas pertandingan.
KENANGAN...anggota pancaragam Sekolah Menengah Lembah Bidong bergambar kenangan selepas pertandingan.

MINAT, ditambah dengan kegigihan, mendorong sekumpulan remaja menghabiskan masa berjam-jam setiap hari menelaah nota muzik selain mendalami pergerakan dalam pancaragam sekolah bagi membentuk persembahan menarik.

Berbekalkan peralatan pancaragam seperti dram, trompet, klarinet, saksafon, tuba, trombon, simbal dan gamelan besi, mereka mampu menghasilkan pelbagai melodi serta formasi harmoni.

  • Foto

    BERLATIH...kumpulan pancaragam berlatih.

  • Foto

    CUCI...peserta mencuci peralatan muzik mereka.

  • Foto

    GEMBIRA...kumpulan pancaragam SMK Chukai, Kemaman bersorak sebelum membuat persembahan.

  • Foto

    PERSIAPAN...sekumpulan ahli pancaragam melakukan persiapan sebelum memasuki gelanggang pertandingan.

  • Foto

    TIUP...beberapa peserta berlatih meniup sebelum pertandingan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Kemaman, Terengganu, Adib Zainordin, 17, berkata keputusannya memilih kokurikulum pancaragam adalah tepat kerana melodi dan pergerakannya mencabar serta bukan semua orang boleh lakukan.

Menurutnya, aktiviti pancaragam memerlukan disiplin tinggi dan sikap bertanggungjawab semua ahli boleh membentuk persembahan pancaragam yang harmoni daripada semua aspek.


“Lima tahun bersama pasukan pancaragam sekolah banyak membantu saya membentuk keperibadian, terutama dalam aspek persahabatan.


“Latihan dijalankan tiga kali seminggu tapi jika ada pertandingan, kami lebih kerap berlatih dan banyak masa dihabiskan di sekolah,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Pancaragam Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan (PPSSMPK) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Rakannya, Syahida Zamri, 17, berkata menyertai kumpulan pancaragam bukan saja meningkatkan disiplin diri, malah memupuk semangat setiakawan dan saling menghormati kerana ia elemen penting dalam pasukan.

“Kami bukan saja bermain alat muzik, malah menambah kenalan baru melalui pertandingan disertai apabila berjumpa ahli kumpulan pancaragam lain,” katanya yang menyertai pancaragam sekolah sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, ibu bapa, guru dan rakan banyak memberi inspirasi walaupun pada peringkat awal dia sukar menyesuaikan diri dengan pergerakan dan melodi.

Katanya, dia mengambil masa enam bulan untuk memahirkan diri bermain klarinet dan bersyukur kerana berjaya menguasainya walaupun tiada asas muzik.

Wan Yuzree Rajan, 16, pelajar Sekolah Menengah Derma, Perlis, berkata pancaragam kini bukan saja mengendalikan alatan muzik, malah pelbagai unsur diselitkan, antaranya pergerakan dalam persembahan.

“Pancaragam sekolah kami kini di kedudukan kelima terbaik di Malaysia dan menjadi ahlinya adalah sesuatu yang istimewa kerana bukan semua pelajar boleh menyertainya.

“Minat dan kesungguhan membolehkan saya mengetuai pancaragam ini sebagai drum major dan pemain trompet,” katanya yang menyertai pancaragam sekolahnya sejak empat tahun lalu.

Rakannya, Nur Asma Hanim Badri, 17, berkata sesebuah kumpulan pancaragam memerlukan persefahaman berikutan pelbagai formasi dan pergerakan perlu dibuat secara serentak.

“Latihan mencukupi perlu dalam membentuk pasukan mantap dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi seperti kebangsaan.

“Lagu yang dibawa perlu bersesuaian dengan pergerakan tanpa mengira sama ada ia lagu rakyat, Latin atau patriotik,” katanya.

Konduktor pasukan pancaragam SMK Keat Hwa, Alor Setar, yang muncul juara Piala Menteri Pelajaran Malaysia Divisyen I, Ang Jia Wei, 19, berkata kejayaan memasuki peringkat kebangsaan dan bergelar juara terhasil apabila ahli pasukannya berjaya memberi komitmen kepada keseluruhan pergerakan dengan baik.

“Usaha kami selepas berlatih di bawah pancaran terik matahari selama tiga bulan berbaloi apabila berjaya merebut gelaran juara kebangsaan dan membawa pulang piala pusingan,” katanya.

Pelajar SMK Elit Lembah Bidong, Amir Khirul Anwar, 17, berkata walaupun ibu melarang kerana takut menjejaskan pelajaran, dia bertekad menyertai pasukan pancaragam itu kerana minatnya yang mendalam.

“Sejak empat tahun lalu saya tidak pernah memaklumkan ibu mengenai penyertaan dalam pasukan pancaragam sekolah kerana takut dimarahi berikutan ibu khuatir prestasi pembelajaran saya.

“Bagaimanapun, saya membuktikan kepada ibu bahawa menyertai pasukan ini tidak menjejaskan pembelajaran saya apabila memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

“Selain itu dengan menyertai pasukan pancaragam ini, saya dapat melatih diri menjadi lebih berdisiplin dan bersistematik dalam menjalani kerja seharian,” katanya yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Sementara itu, Pegawai Media dan Komunikasi PPSSMPK, Malik Ridhwan berkata, PPSSMPK dipecahkan kepada dua kategori iaitu Piala Menteri Pelajaran Malaysia Divisyen I disertai 16 pasukan dan Piala Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia Divisyen II membabitkan 18 pasukan.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa, Kedah menggondol lima anugerah dan membawa pulang piala pusingan Menteri Pelajaran Malaysia.

“Antara anugerah berjaya dibawa pulang pasukan berkenaan ialah Anugerah Color Guard Terbaik, Percussion Terbaik, Brass dan Woodwind Terbaik dan General Effect Terbaik,” katanya.

Kategori Piala Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia Divisyen II dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis.

Antara pasukan lain yang bertanding ialah SMK St John, Kuala Lumpur; SMK Victoria, Kuala Lumpur, Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah; SMK Chung Hwa Wei Seng, Kuala Terengganu; SMK Lembah Bidong, Kuala Terengganu; SMK Tinggi Klang, Selangor dan SMK Perempuan Sultan Ibrahim, Johor.



>PROFIL 1:

Nama: Syahida Zamri
Umur: 17 tahun
Asal: Kampung Geliga, Kemaman, Terengganu
Sekolah: SMK Chukai, Kemaman
Alat muzik: Klarinet


>PROFIL 2:

Nama: Adib Zainordin
Umur: 17 tahun
Asal: Kampung Mak Cili, Kemaman, Terengganu
Sekolah: SMK Chukai, Kemaman
Alat muzik: Klarinet


>PROFIL 3:

Nama: Nur Asma Hanim Badri
Umur: 17 tahun
Asal: Jejawi, Perlis
Sekolah: SM Derma, Perlis
Alat muzik: Trompet


>PROFIL 4:

Nama: Wan Yuzree Rajan
Umur: 16 tahun
Asal: Beseri, Perlis
Sekolah: SM Derma, Perlis
Alat muzik: Trompet


FAKTA:

KEPUTUSAN PPSSMPK (Piala Menteri Pelajaran Malaysia Divisyen I)

  • Johan - SMK Keat Hwa, Kedah
  • Naib Johan - SMK St John, Kuala Lumpur
  • Ketiga - SMK Victoria, Kuala Lumpur
  • Piala Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia Divisyen II
  • Johan - SMK Perlis, Perlis
  • Naib Johan - SMK Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor
  • Ketiga - SMK Derma, Perlis
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: