Tuesday, August 21, 2012

Cenderamata comel Aidilfitri


SABUN ketupat ini dihasilkan bersama haruman daun pandan.


MEMBELI cenderamata pada hari raya mungkin agak asing dalam konteks masyarakat Melayu. Amalan memberi duit raya sebagai sedekah dilihat lebih lazim dalam kalangan budaya orang Melayu sewaktu menyambut hari lebaran.

Tidak salah rasanya mempelbagaikan budaya memberi sedekah itu dengan cara yang berbeza. Pemberian barangan berbentuk hadiah atau hamper berkonsep tradisional tidak salah kalau mahu dibudayakan.

Sekiranya anda sempat mengunjungi Promosi Kraf Aidilfitri yang berlangsung pada 1 hingga 12 Ogos lalu, sudah tentu anda menemui pelbagai pilihan cenderamata untuk diberi kepada teman pejabat atau sahabat yang jauh di mata.

Mencuri tumpuan pada pameran dan jualan yang bertempat di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur itu adalah hasil kerja seorang lelaki bernama Goh Kok Keong. Boleh dikatakan hanya beliau seorang mengambil risiko menjual item bukan pilihan ramai sempena Aidilfitri.

Sabun berbentuk ketupat hasil kerja Kok Keong tampak asli dari segi cetusan idea dan pembuatannya. Orang ramai yang melihat dari jauh pasti meragui betulkah ia sebuku sabun atau ketupat sebenar?

Tambah menarik apabila warna yang digunakan menyerupai ketupat yang menjadi sajian utama setiap kali menjelang Syawal.

“Dua minggu sebelum promosi kraf ini barulah saya mendapat idea untuk mencipta sabun ketupat ini. Saya sediakan sabun ini dalam tiga saiz iaitu besar, sederhana dan kecil.

“Keistimewaan sabun ini terletak pada ketahanannya tanpa perlu dibungkus seperti sabun lain. Ia dihasilkan menggunakan bahan mirip silikon bagi mengekalkan bentuknya yang cantik dan keharuman baunya,” ujar lelaki berusia 47 tahun itu.

Fasa mencabar

Pemprosesan sabun ketupat itu digambarkan Kok Keong sebagai satu fasa mencabar. Pada awalnya, bahan utama perlu disediakan sebelum diletakkan di dalam acuan khas. Jumlah sabun yang dibuat dalam sehari pula bergantung pada cuaca.


TAHAN lama dan tidak perlu dibungkus merupakan keistimewaan cenderamata comel ciptaan Goh Kok Keong.


Sekiranya hari tidak hujan, Kok Keong mampu menyiapkan 10 buku sabun ketupat bersaiz besar namun andai hujan, jumlah itu berkurangan.

Bagi memberi ciri kemelayuan pada sabun ketupat itu, aromanya hanya menggunakan daun pandan. Disebabkan itu, kehijauan sabun itu sudah cukup menggambarkan bau pandan yang mengundang rasa tenang.

Bakul rotan

Sementara itu, barangan kraf berupa bakul rotan hasil tangan Ng Kim Loong, 55, menggamit minat pengunjung. Bukan sahaja barangan yang dibuatnya kemas dan cantik, kepantasan tangan Kim Loong memasukkan rotan ke dalam anyaman menghentikan langkah setiap orang yang lalu-lalang di gerai jualannya.

Meskipun tergolong dalam kelompok Orang Kelainan Upaya (OKU), pengalaman Kim Loong dalam dunia kraf tangan selama 30 tahun menunjukkan kegigihan beliau untuk terus maju dalam hidup.

“Tahun ini merupakan tahun ketiga penyertaan saya dalam promosi kraf di sini. Melihat kepada sambutan orang ramai, kita tahu bahawa barangan seperti ini masih mampu menarik minat masyarakat tempatan.

“Barangan kraf boleh berfungsi sebagai hadiah pada musim perayaan ataupun dijadikan hiasan rumah yang menarik,” saran Kim Loong yang memberitahu dalam satu hari beliau mampu menghasilkan satu bakul rotan bersaiz besar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: