Tuesday, August 21, 2012

Semiya bangkitkan selera pagi raya



SEMUA umat Islam di seluruh dunia meraikan Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Bagaimanapun, dengan latar bangsa, budaya, geografi dan ekonomi yang berbeza, sambutan 1 Syawal itu dilakukan mengikut acuan cara masing-masing.

Tidak terkecuali Shahida Kousar Mohammed Aslam, 29, dari Ichra, Lahore, Pakistan yang baru sahaja tiba di Malaysia kira-kira dua bulan lalu untuk mencari rezeki.

Pengorbanan itu dilakukan memandangkan di negara asal mereka tidak mempunyai peluang pekerjaan. Jika ada pun, gaji yang ditawarkan sangat rendah seiring dengan pembangunan negara berkenaan.

Demi meraih rezeki di bumi orang, anak bongsu daripada enam beradik itu kini bekerja di sebuah kilang buku di Ampang. Walaupun baru sahaja menetap di sini bersama kakaknya, gadis bertubuh genit itu mengakui merindui kampung halamannya apatah lagi pada hari raya.

Shahida yang buat pertama kali meraikan ketibaan Syawal di Malaysia tiba-tiba bertukar wajah menjadi ceria apabila diajak bersembang mengenai cara sambutan Aidilfitri di Pakistan.

"Di sana, kami juga menyambut hari raya dengan penuh kemeriahan," katanya berkenaan perayaan itu yang diraikan sehingga 3 Syawal sahaja.

Mengulas lanjut mengenainya, gadis yang lengkap berpakaian salwar kameez berwarna merah menceritakan bahawa rakyat di Pakistan mula meraikan hari raya pada chand raat (malam raya).

Siapkan bahan masakan

Menurutnya, sebaik selesai takbir raya malam raya, rata-rata golongan lelaki akan berkumpul dengan rakan-rakan dan sambil berpelukan mengucapkan eid mubarak sesama mereka.

Bagi golongan wanita pula, mereka akan menghiasi tangan mereka dan anak-anak kecil dengan inai selain memakai gelang yang berwarna-warni.

Seterusnya, golongan wanita akan memulakan kerja-kerja memotong bahan-bahan mentah masakan untuk dimasak pada keesokan harinya memandangkan segelintir wanita juga akan menunaikan solat sunat Aidilfitri.


SEMIYA menjadi hidangan wajib keluarga Pakistan pada pagi raya.


Ghairah berbicara tentang cara sambutan Aidilfitri di Pakistan, Shahida memberitahu, sejurus selesai solat sunat, golongan wanita akan masuk ke dapur untuk menyediakan juadah wajib berupa manisan yang dikenali sebagai semiya.

"Juadah tersebut diperbuat daripada sejenis bihun, susu, kismis, gajus, minyak sapi dan gula yang mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja untuk dimasak," jelasnya lagi.

Sebaik juadah tersebut siap, seisi sekeluarga akan merasai keenakan semiya dan mereka akan bersalaman dan berbual-bual tentang perkembangan diri masing-masing.

Bercakap tentang juadah yang disajikan pada siang hari raya, Syahida berkata, golongan wanita sibuk menyediakan hidangan tengah hari.

Ketika itu dia mengakui ia merupakan hari yang agak memenatkan memandangkan mereka perlu menyediakan pelbagai juadah seperti nasi beriani, gulai kambing, ayam tandoori, roti nan, shami kebab dan dehi belya (sejenis yogurt).

Saling berkunjung

Sebab itulah persediaan awal pada malam raya boleh memudahkan sedikit tugas mereka di dapur.

Selain itu, mereka juga gemar membeli manisan seperti jelebi, gulab jamoo, ladu, barfi dan banyak lagi yang dijual di kedai-kedai berhampiran rumah.

Bercerita lebih lanjut tentang hidangan utama, Syahida mengakui kerja-kerja memasak tersebut akan diakhiri sekitar pukul 2 petang dan mereka akan menikmati hidangan tersebut secara ramai-ramai.

"Ia merupakan saat yang gembira apatah lagi dengan telatah anak-anak saudara," tuturnya.

Pada sebelah malam pula, mereka akan saling berkunjung ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan.

Namun demikian, kunjungan tersebut dilakukan sehingga hari raya ketiga sahaja dan selepas itu, bagi mereka, sambutan perayaan itu sudah berakhir.

Walau bagaimanapun, dia terkejut apabila mengetahui bahawa umat Islam Malaysia menyambut Aidilfitri selama sebulan.

Menyentuh mengenai sama ada mereka mengamalkan budaya pemberian duit raya, gadis yang tidak lekang dengan senyuman itu memberitahu, semua ahli keluarga akan menerima duit raya.


WANITA Pakistan ini sibuk membeli barangan keperluan dapur di sebuah pasar raya di Islamabad. - Gambar hiasan


Tidak kira kanak-kanak, tua, muda mahupun yang sudah mendirikan rumah tangga, masing-masing akan menerima duit raya. Semua itu sekadar mahu menghidupkan suasana raya.

Walau bagaimanapun, jauh di sudut hati Syahida, pengalaman beraya di negara sendiri sememangnya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Tambahan pula, dia dapat menikmati pelbagai juadah yang digemarinya di Pakistan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sambutan hari raya buat julung-julung kali di Malaysia, dia bagaimanapun bersyukur kerana mempunyai seorang kakak di negara ini.

Dia merasakan bahawa dirinya bernasib baik kerana kerinduannya terhadap kampung halaman terubat apabila menjamu selera daripada hasil masakan kakaknya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sama ada dia akan mengamalkan cara beraya Pakistan di Malaysia, gadis itu mengakui dia akan meneruskan tradisi tersebut.

"Walaupun ini pengalaman pertama menyambut raya di Malaysia, saya tetap mengamalkan cara raya Pakistan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pandan Utama, Ampang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: