Tuesday, August 21, 2012

Moola snek tenaga Malaysia

TERDAPAT empat pilihan perisa granola bar Moola yang boleh menjadi pilihan.


SNEK bar atau lebih dikenali sebagai ‘energy bar’ (bar tenaga) bukanlah snek makanan yang sering menjadi pilihan kebanyakan masyarakat kita.

Kebiasaannya, bar tenaga sering menjadi kegemaran atlet atau mereka yang terlibat dengan aktiviti lasak. Di kebanyakan negara Barat pula, bar tenaga turut dibekalkan kepada anggota tentera.

Makanan tenaga yang berisi kekacang seperti badam, buah-buahan dan lapisan coklat itu kemudian dipadatkan dalam bentuk bar dan ia dianggap sebagai snek sihat kerana kandungan nutriennya yang berkhasiat.

Bergantung kepada kandungan campurannya, sebatang bar tenaga tersebut mampu memberikan tenaga segera kepada seseorang. Ia juga menjadi pengganti makanan bagi mereka yang mengamalkan diet.

Jika sebelum ini kebanyakan bar tenaga diimport atau dihasilkan syarikat luar negara, kini telah ada produk keluaran syarikat tempatan yang menggunakan inovasi dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Ia berbentuk granola bar iaitu adunan bijirin dan bertih beras yang dicampur bersama madu serta ditambah dengan khasiat kacang badam. Ia juga diperkaya dengan buah-buahan sebenar sebelum dipadatkan dalam bentuk bar yang rangup.

Granola bar menggunakan jenama Moola itu merupakan kerjasama komersial Agro Jerneh Sdn. Bhd. (Agro Jerneh) yang diterajui usahawan muda kelahiran Pulau Pinang, Mohsein Shariff, 33.


MOHSEIN menunjukkan bar tenaga Moola yang dikomersialkan oleh Agro Jerneh hasil inovasi Mardi.


Beliau yang juga pengarah eksekutif syarikat tersebut memberitahu, penyelidikan oleh Mardi telah berjaya menghasilkan makanan tenaga yang berkualiti setanding dengan produk luar negara.

Kata Mohsein, hasil kerjasama beberapa tahun pihaknya dengan Mardi akhirnya berjaya membangunkan produk makanan tenaga itu untuk dikomersialkan.

“Kita menggunakan 100 peratus buah-buahan asli tempatan tanpa perisa dan pewarna tiruan yang dijadikan jus pekat semasa proses mengadun bahan-bahan campuran di dalam mesin.

“Setiap bar mengandungi serat pemakanan tinggi dan penuh dengan nutrien yang dapat membantu mengurangkan kadar kolesterol, risiko penyakit jantung, hipertensi dan obesiti.

“Rasanya lazat dan diperkaya dengan pelbagai jenis nutrien yang seimbang. Dengan kandungan serat yang tinggi dan tanpa unsur gluten, Moola adalah snek yang berkhasiat,” ujarnya.

Dibawa ke angkasa lepas

Terdapat empat perisa granola bar Moola iaitu badam pisang, badam roselle, badam kurma dan badam kelapa dengan tiap satu dibezakan menerusi corak plastik pembungkusannya.

Malah, granola bar yang sama iaitu perisa roselle pernah dibekalkan Mardi kepada angksawan negara, Datuk Sheikh Syed Muzaphar semasa misi ke angkasa lepasnya dahulu.

Paling utama ia dapat membekalkan khasiat nutrisi seperti produk-produk import, tetapi pada harga yang jauh lebih rendah.


BAR tenaga yang diperkaya dengan badam, kekacang dan buah-buahan sememangnya baik untuk kesihatan.


Mohsein yang aktif dalam sukan ragbi dan aktiviti lasak memberitahu, bar tenaga bercita rasa tempatan itu dijual pada harga RM2 bagi bungkusan bersaiz 22 gram atau 70 peratus lebih murah daripada produk luar negara.

Kini, pihaknya giat memasar serta memperkenalkan Moola ke pasaran tempatan sebagai snek berkhasiat untuk semua golongan serta menjadi makanan ringan berkhasiat untuk kanak-kanak.

Ia juga sesuai dijadikan sarapan ringkas untuk golongan dewasa yang lebih sihat berbanding sebungkus nasi lemak atau sepiring roti canai.

“Moola dapat memberi nutrien seimbang yang diperlukan tubuh untuk kehidupan yang aktif bertenaga terutamanya bagi mereka yang sentiasa sibuk,” jelas Mohsein.

2 comments:

  1. Moola ni ada dadah tak macam coklat power bar

    ReplyDelete
  2. kalau ada dadah. ahli sukan tak akan makan beb

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: