Wednesday, August 22, 2012

Cabaran di Tioman

Koperal Mohd. Rawi Abdullah (empat kiri) bersama anggotanya di Pulau Tioman, baru-baru ini.

TIADA kes bunuh, tiada juga insiden rompakan besar yang menarik perhatian. Yang ada cuma laporan kes mati mengejut membabitkan penduduk tempatan atau pelancong.

Sekali-sekala pelancong melaporkan mereka kecurian atau tercicir barang di pantai. Paling menggemparkan, laporan kes tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama membabitkan warga Thailand, penagih dadah, pelancong hilang atau lemas. Itupun jarang-jarang berlaku.

Itu antara laporan kes diterima oleh anggota polis yang bertugas di Balai Polis Pulau Tioman, Pahang pada setiap hari.

Melihat kepada laporan diterima ini, mungkin ramai beranggapan betapa senangnya bertugas di balai polis terletak di pulau bebas cukai yang kawasan muka bumi dasar lautnya diiktiraf sebagai kesebelas tercantik di dunia dari segi kehidupan laut dan terumbu karang.

Namun, jangan serkap jarang kerana bukan semua anggota polis mampu memikul tanggungjawab menjaga keselamatan di pulau tumpuan pelancong ini jika tidak memiliki semangat dan mental kuat.

Ia terbukti apabila masih terdapat 13 kekosongan perjawatan di Balai Polis Pulau Tioman sehingga sekarang termasuk jawatan ketua balai kerana ramai yang tidak berminat untuk bekerja di sini.

Puncanya ialah kehidupan pulau membosankan kerana terpencil, tiada pusat hiburan dan gedung beli-belah besar, barang-barang keperluan harian mahal dan paling teruk akan 'terperangkap' di pulau apabila tiba musim tengkujuh sekitar November hingga Mac.

Itu antara pengalaman dilalui oleh 16 anggota polis bertugas di Balai Polis Pulau Tioman dan pondok polis di sekitar pulau tersebut.

Menurut Koperal Mohd. Rawi Abdullah, beliau terpaksa dipinjamkan dari jawatan Penyelia Bilik Gerakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin untuk memangku tugas sebagai Ketua Polis Balai Pulau Tioman sejak 7 Julai tahun lalu iaitu selepas penyelia balai tersebut, Sarjan Zakaria Awang Mat bersara.

Beliau berkata, sepatutnya jawatan Ketua Polis Balai dipegang oleh seorang pegawai berpangkat Inspektor dan dibantu oleh 28 anggota lain-lain pangkat.

"Bagaimanapun, disebabkan masalah mendapatkan pegawai untuk ditempatkan di sini, maka sampai sekarang saya terpaksa memangku tugas sebagai Ketua Polis Balai dengan bantuan 15 anggota lain kerana 13 kekosongan jawatan lagi belum diisi.

"Tidak ramai rakan setugas berminat bekerja di balai polis pulau kerana merasa bosan apabila tinggal terlalu lama kerana tiada apa-apa aktiviti boleh dibuat.

"Barang-barang keperluan harian juga mahal berbanding dijual di darat kerana kos pengangkutan. Sebagai contoh, jika kad prabayar telefon bimbit dijual RM10 di darat, ia dikenakan bayaran RM11 di pulau," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.

Mohd. Rawi berkata, walaupun kes-kes diterima setiap hari tidak membabitkan jenayah besar tetapi tugas mereka tetap mencabar kerana ia banyak membabitkan pelancong asing dari serata dunia.

Katanya, apa sahaja tindakan diambil terhadap kes-kes membabitkan pelancong khususnya kematian atau kemalangan akan dipertikaikan di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, ujarnya, jika berlaku kes kematian membabitkan pelancong asing, pihak kedutaan negara terlibat akan bertanya balik apa tindakan akan diambil terhadap rakyat mereka itu.

"Jika kita maklumkan bahawa mayat akan dihantar untuk dibedah siasat di hospital, mereka akan pertikaikan kepakaran pakar forensik kita. Biasanya, kes-kes begini membabitkan mangsa mati akibat serangan jantung atau mati lemas semasa menyelam," katanya.

Mohd. Rawi berkata, untuk itu, anggota bertugas perlu bijak menangani apa sahaja masalah berkaitan dengan pelancong kerana semua tindakan akan mencerminkan imej negara ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, Pulau Tioman menerima kehadiran 212,680 pelancong terdiri daripada 91,020 rakyat asing dan 121,660 tempatan sepanjang tahun lalu iaitu menurun berbanding 213,158 pelancong pada 2010.

Mengenai tugasan harian di pulau tersebut, Mohd. Rawi memberitahu, anggotanya terlibat dalam tugas rondaan cegah jenayah, penugasan pejabat pertanyaan, komuniti kepolisan dan Rakan Cop, ronda sektor, ronda perairan dan mengadakan pemeriksaan mengejut.

"Selain itu, kami juga melawat tempat-tempat yang berisiko, mengedar risalah-risalah berkaitan jenayah kepada penduduk dan pelancong, memberi ceramah kepada pelajar, menjaga kawalan lalu-lintas semasa kehadiran orang kenamaan (VIP) serta menyampaikan saman dan sapina," jelasnya.

Menurut Mohd. Rawi, mereka akan sibuk apabila berlaku laporan kes orang hilang kerana menjadi tugas mereka untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat sama ada di laut dan hutan bersama orang kampung yang pakar tentang laluan hutan atau keadaan sekitar pulau.

Beliau berkata, meskipun kerap menasihatkan pelancong agar menjauhi tempat-tempat bahaya tetapi masih ada yang berdegil seperti empat sekeluarga dari Singapura yang enggan mematuhi arahan agar jangan berkhemah pada waktu malam di kawasan air terjun pada dua tahun lalu.

Akibatnya, kata beliau, keempat-empat mereka mati lemas kerana gagal menyelamatkan diri apabila air pasang.

Mohd. Rawi berkata, bagi menghilangkan rasa bosan tinggal di pulau, beliau bersama anggota mengisi masa lapang dengan aktiviti bersukan seperti bermain sepak takraw, memancing dan menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: