KETIKA umat Islam di negara ini menyambut ketibaan Ramadan di samping keluarga tersayang, lain pula buat suasananya bagi anggota tentera kita yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL).
Kompeni Malaysia 8 (Malcoy 8) yang baru sahaja menjejakkan kaki di bumi Lubnan pada 9 dan 16 Julai lalu bagi meneruskan kesinambungan perlaksanaan misi UNIFIL terus berkorban dalam menentukan keamanan sejagat terpelihara sepanjang masa.
Dengan kekuatan 46 pegawai dan 314 anggota, termasuk dua pegawai dan lapan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), kontinjen berkenaan meneruskan tugasan di sektor timur Lebanon dan berpangkalan di Kem Malcon, Kaoukaba.
Berada di bumi asing sudah tentu menguji mental dan fizikal terutama dengan tibanya Ramadan yang mengundang sayu kerana berjauhan dari keluarga tercinta.
Bagi Komander Malcoy 8, Leftenan Kolonel Hamdan Ismail, Ramadan di negara bergolak disambut sederhana atas faktor cuaca dan masa yang memerlukan setiap anggotanya untuk membiasakan diri dengan suasana baru.
"Semua anggota Malcoy 8 semasa menjalani latihan integrasi di tanah air dua bulan lalu telah diingatkan bahawa kami akan menyambut Ramadan dan juga Aidilfitri di Lebanon.
"Oleh itu setiap anggota Malcoy 8 perlu membiasakan diri dengan faktor cuaca dan masa yang berbeza dari Malaysia" katanya baru-baru ini.
Menurut beliau, Ramadan di Lebanon disambut dalam musim panas yang mana waktu siang lebih panjang menyebabkan pasukan itu berpuasa selama 16 jam berbanding 12 jam di Malaysia.
Jelasnya, ia sudah tentunya menguji ketahanan mental dan fizikal setiap anggota Malcoy 8 yang rata-rata baru pertama kali berpuasa di bumi Lebanon.
Namun, tambahnya, ia bukan halangan kepada setiap anggota Malcoy 8 dalam menentukan setiap penugasan dilaksanakan seperti yang ditetapkan oleh UNIFIL.
"Faktor kawalan keselamatan di kawasan tanggungjawab Malcoy 8 tetap dilaksanakan seperti anggota tentera di Malaysia yang menjalankan tugas operasi menjaga perbatasan," ujarnya.
Ketua Platun Pertahanan Malcoy 8, Kapten Zainuddin Shuib, 27, pula berkata, beliau berasa bertuah dapat menyambut dan menjalankan ibadah puasa di Lebanon kerana ia merupakan pengalaman yang berharga dan tidak dapat dinikmati selalu.
"Tugasan saya sebagai Ketua Platun Pertahanan perlu menentukan setiap anggota komited dan bersemangat tinggi ketika melakukan tugasan rondaan di kawasan yang cukup asing berbanding di tanahair.
"Selain menghadapi cabaran cuaca dan masa, bentuk muka bumi yang berbukit sedikit sebanyak menguji mental dan fizikal kami sebenarnya. Namun saya akan memastikan setiap anggota minum air yang banyak semasa bersahur bagi mengelakkan berlaku dehidrasi disebabkan faktor masa berpuasa yang panjang.
"Sebelum melakukan tugas rondaan, setiap anggota akan diberi taklimat agar mereka sentiasa berwaspada dan mengikut segala arahan yang telah ditetapkan" ujarnya yang sebelum ini bertugas di 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong Pahang.
Sementara itu, Ketua Seksyen Platun Pertahanan, Sarjan Sharil Aziz, 33, berkata, Ramadan kali ini sememangnya berbeza dengan Malaysia.
Kata beliau, cuaca panas dan masa kerja yang panjang memerlukan setiap anggota lebih bersabar dalam melaksanakan tugasan masing-masing.
"Saya juga dapat melihat corak kehidupan masyarakat di sini dan teruja ketika melawat kawasan perladangan mereka yang cukup terkenal dengan tanaman pokok zaitun," katanya.
Menurut Laskar Udara Kanan (LUK) Mohd. Nazir Mohd. Said, 29, selain menyesuaikan diri dengan faktor cuaca dan masa di Lebanon, beliau juga perlu menyesuaikan diri dengan penugasan baru di sana.
Beliau yang sebelum ini bertugas di Pangkalan Udara Labuan berkata, ia merupakan peluang berharga bagi beliau merasai pengalaman ini yang biasanya dilaksanakan oleh anggota Tentera Darat.
"Walaupun keadaan cuaca yang panas serta keadaan muka bumi yang berbukit tetapi bersama rakan setugas yang lain memberikan saya kekuatan dalam melaksanakan tugasan ini.
"Berbuka puasa di medan juga sesuatu yang baru bagi saya tetapi tetap teruja meskipun bekalan yang dibawa tidak seperti kita berbuka puasa di rumah" ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: