PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah drama Zul Huzaimy mengakui mula berasa sunyi tanpa kehadiran seorang wanita dalam hidupnya selepas bercerai dengan Nor Dalilah Muhammad, 29, dua tahun lalu.
Zul berkata, dia masih menduda kerana belum menemui calon yang menepati ciri-ciri yang dikehendakinya untuk dijadikan sebagai isteri.
"Baru-baru ini saya ada menelefon ibu di kampung dan memberitahu kepadanya supaya mencari seorang calon isteri untuk saya kerana rasa sunyi tanpa seorang isteri," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Zul, keadaan itu telah membangkitkan semangat dirinya untuk memberikan tumpuan kepada kerjaya dan penulisan skrip untuk drama dan filem.
Dia juga sering menggunakan masa terluang untuk menghasilkan skrip dan memberitahu setakat ini telah beberapa hasil tulisannya itu telah diterjemahkan sebagai drama di televisyen.
"Menulis skrip memberikan satu kepuasan berbeza kepada saya kerana tanpa disedari imaginasi dalam kepala saya dapat diterjemahkan dalam bentuk skrip. Kadang kala saya sendiri terkejut dengan apa yang telah saya buat," katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai kerjaya sebagai pengarah drama, Zul memberitahu dia semakin selesa memegang peranan tersebut dan seronok dapat melakukannya.
Namun lakonan tetap menjadi keutamaannya walaupun dia kini banyak duduk di kerusi pengarah.
"Alhamdulillahlah syarikat produksi percaya dengan bakat saya sebagai penulis skrip dan pengarah. Saya sejujurnya rasa puas dapat mengarah kerana sebagai seorang pelakon banyak perkara saya boleh luahkan pelbagai perkara," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai buah tangan terbarunya iaitu drama bersiri Seindah Sakura lakonan Fahrin Ahmad dan Fasha Sandha, Zul berkata ia adalah drama bersiri pertama arahannya dan mengakui sedikit gusar kerana bimbang tidak dapat memenuhi kehendak penerbit dan penonton.
Zul bagaimanapun berkata, drama yang diadaptasi daripada sebuah novel daripada nama sama itu mempunyai kekuatan dari jalan cerita dan skrip yang baik hasil tulisan Wan Mahani.
"Visual yang terhasil datang dengan sendiri berdasarkan skrip dan jalan cerita yang kuat. Ia benar telah meninggalkan kesan kepada diri saya sebagai pengarah," katanya.
Tambah Zul, kesungguhan pelakon dalam menjayakan drama itu juga cukup mengagumkan dan sikap profesional mereka telah memberikan impak kepada penghasilan drama tersebut.
Seindah Sakura turut dijayakan oleh Datuk Eizlan Yusof, Eryna, Fimie Don dan Ruminah Sidek bakal menemui penonton bermula 7 Mei ini setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam di slot Akasia TV3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: