Monday, May 28, 2012

Pulut kuning 'kepala' majlis

Khalid Talib ketika menghias pulut kuning yang ditempah pelanggan di rumahnya di Klang, Selangor, baru-baru ini.

PULUT kuning biasanya dihidangkan untuk menjadi santapan pada majlis berbentuk doa selamat, kesyukuran, majlis berendoi, majlis pernikahan, majlis akikah, marhaban dan sebagainya.

Justeru sudah berabad lamanya hidangan pulut kuning dijadikan sebagai santapan rasmi bukan sahaja untuk meraikan tetamu dalam upacara keagamaan malah pada majlis pernikahan juga pada majlis persandingan sebagai salah satu kemestian hidangan majlis yang perlu ada dalam adat istiadat Melayu.

Menurut pengusaha pulut kuning untuk majlis, Khalid Talib, 42, pulut kuning bukan sekadar sebagai penyeri majlis, malah ia berfungsi lebih daripada itu.

Ia juga dijadikan barang 'tukaran' kepada jiran tetangga yang menghadiri jamuan majlis perkahwinan di rumah jemputan apabila mereka membawa bersama 'hadiah' berbentuk makanan.

Kata Khalid, dahulu pulut kuning dijadikan hidangan suapan mesra kepada pasangan pengantin ketika makan beradap mahupun ketika berada di pelamin sebelum digantikan dengan kek.

Jelasnya, kedatangan kek seperti kek fondant menggantikan fungsi pulut kuning. malah, pada masa majlis perkahwinan atau ulang tahun, kek bertingkat kini menjadi sebagai status lambang meriahnya sesuatu majlis itu pada acara memotong kek.

''Justeru bertitik-tolak dari situ, saya merasakan apa salahnya kita mengembalikan semula kegemilangan pulut kuning sebagai penghulu kepada santapan di mana-mana sahaja majlis yang diadakan.

''Pulut kuning kini mengalami zaman perubahan bersesuaian dengan keadaan majlis yang diadakan. Pulut kuning boleh dipelbagaikan fungsinya bukan sahaja diperlukan ketika acara 'memotong kek' pada majlis persandingan malah ia boleh dijadikan sebagai 'kek' pada majlis hari jadi dan sebagainya," katanya yang berpengalaman empat tahun dalam pembuatan pulut kuning untuk majlis-majlis.

Khalid menjelaskan, selain menerima tempahan pulut kuning sebagai hidangan rasmi dan istimewa di majlis-majlis kesyukuran, dia turut mempelbagaikan pulut kuning untuk dijadikan sebagai cenderahati.

''Kita sekarang sibuk dengan kek cawan. apa kata kita mengambil fungsi kek cawan itu dan menjadikannya sebagai cawan pulut kuning, lengkap dengan hiasan dan ayam atau daging sebagai lauknya.

''Saya turut menerima tempahan cawan pulut kuning sebagai pemberian cenderahati kepada tetamu selain hidangan pulut kuning berbentuk hiasan yang besar sebagai kepala hidangan rasmi di majlis-majlis," katanya ketika di temui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Setakat ini Khalid yang hanya beroperasi dari rumahnya menerima dua tempahan seminggu untuk majlis yang memerlukan pulut kuning dan menghantarnya ke lokasi tempahan.

Sentuhan Khalid dalam memberikan daya kreativiti tersendiri terhadap pulut kuning memberikan impak yang menarik. Malahan menerusi kreativitinya menghias pulut kuning menjadikan pulut kelihatan lebih menarik, segar dan menyerlah.

Katanya, pulut kuning sebenarnya lebih menyerlah warnanya ketika di dalam jamuan kerana warnanya yang kuning berhias ayam atau daging dan lada merah menyebabkan ia seperti satu acuan seni yang indah.

Khalid berkata, setakat ini dia menerima tempahan pulut kuning untuk 60 tetamu menggunakan empat ke enam kilogram pulut dan dua ekor ayam untuk dibuat rendang.

Mereka yang menempah juga boleh memilih rendang daging, puyuh, daging ayam, telur, kari ayam, kari daging dan lain-lain sebagai pilihan lauk.

''Membuat pulut kuning ini agak remeh. Pulut akan direndam semalaman sebelum ditanak beberapa jam untuk memastikan ia tidak mentah dan lembut.

''Pulut kuning juga boleh disimpan agak lama dengan menyimpannya di dalam peti sejuk sebelum mengeluarkannya semula dan kemudian dikukus untuk melembutkan pulutnya kembali," katanya.

Katanya, hidangan pulut kuning sebenarnya boleh dilakukan di mana-mana majlis persandingan termasuk sesuai di dalam dewan biarpun mengikut majlis yang bertema.

Beliau memberitahu, pulut kuning bertingkat berharga dari RM150 ke RM400 mengikut saiz tingkat dan sebesar hidangan untuk berapa orang. Bagi cawan pulut kuning untuk cenderahati dia menawarkan harga serendah dari RM3 sahaja.

Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan hasil kreativiti pulut kuning Khalid boleh menghubunginya di talian 012-6204958 atau facebook Ilham Alid Flower Touch.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: