KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kejayaan melalui penerbitan lagu tema bagi filem seperti Magika dan Hikayat Merong Mahawangsa, KRU Music bakal melancarkan tiga single sekali gus untuk filem terbitan terbaru mereka berjudul 29 Februari.
Pengarah dan komposer, Edry Abdul Halim berkata, tiga lagu tersebut yang akan dihantar ke stesen radio adalah Kelip-Kelip nyanyian Remy Ishak yang juga peneraju utama filem berkenaan, Jagalah Diri (Jaclyn Victor) dan Seperti Dulu (Forteen).
"Rasanya belum pernah lagi ada orang buat dengan melancarkan tiga single untuk runut bunyi sesebuah filem dan ini adalah salah satu keistimewaan karya yang turut menjadi filem dalam bentuk 3D pertama di Malaysia.
"Tiga single ini dilancarkan bagi menyemarakkan lagi promosi filem ini dan lagu-lagu tersebut akan dikeluarkan secara berperingkat untuk siaran radio. Ia juga akan dikeluarkan dalam format nada dering bagi peminat-peminat muzik di Malaysia," ujarnya.
Edry ditemui selepas majlis pelancaran album runut bunyi filem itu di sini pada Rabu.
Tambah Edry, album berkenaan akan dilancarkan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Jun.
Dalam pada itu, Edry berkata tidak susah untuk menghasilkan lagu berkenaan kerana liriknya adalah berdasarkan kepada skrip filem berkenaan yang turut ditulis dan diarahkan olehnya sendiri.
Edry berkata, sejak awal lagi dia telah mempunyai idea dalam mindanya bagi menjadikan filem berkenaan sebagai salah satu karya terbaik di negara ini.
"Kelebihan kepada saya kerana saya buat sendiri daripada skrip, lakon layar, lirik dan muzik filem berkenaan dan ia telah memudahkan kerja saya dalam mencari konsep dan muzik sesuai untuk dijadikan lagu tema.
Sementara itu, ditanya mengenai bakat dan kebolehan Remy menyanyi, Edry berkata, pelakon itu sebenarnya berbakat tetapi perlu diasah untuk menjadi lebih baik.
Edry berkata, dia teruja dengan bakat yang ditunjukkan oleh Remy sebagai penyanyi dan menganggap pemilihannya sebagai watak utama dalam filem berkenaan yang memerlukan dia berlakon dan menyanyi adalah tepat.
"Jika dia tiada bakat kami tidak akan ambil dia dan mengambil risiko untuk mengeluarkan Kelip-Kelip sebagai single," katanya.
Filem 29 Februari berlatar belakangkan detik-detik bersejarah Malaysia semasa penjajahan British sehinggalah ke tahun 2012.
Ia bakal ditayangkan pada 30 Ogos depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: