JIKA anda inginkan kelainan dalam hidangan masakan Cina Muslim, apa kata singgah ke Restoran Adam Lai yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
Jangan lupa memesan menu ayam Adam Lai iaitu antara hidangan popular pelanggan.
Hidangan ayam yang lembut ditambah rasa masam-masam manis dan sedikit pedas daripada hirisan cili padi yang dimakan bersama nasi panas, sememangnya membuka selera.
Rasa tauhu yang dihidangkan di dalam labu kuning bersama-sama kuah membangkitkan rasa unik yang enak.
Ditambah dengan Three Combination, ikan kerapu Cheong Pao dan udang kelapa istimewa,. sudah pasti membuka selera.
Ini antara hidangan istimewa dan popular yang sering dipesan oleh pelanggan tetap restoran ini.
"Misalnya bagi hidangan ayam Adam Lai saja, kami menggunakan sehingga 30 kilogram (kg) kepak ayam sehari pada hari biasa manakala lebih 60 kg pada hujung minggu," kata Ketua Eksekutifnya, Ebby Yus semasa ditemui di Restoran Adam Lai baru-baru ini.
BaruWalaupun baru dibuka tidak sampai tiga bulan, restoran hasil gabungan empat sahabat - pelawak dan pelakon terkenal Ebby Yus Rashid, Adam Lai, Muhammad Helmi dan Muhammad Faizal - berjaya memikat hati pelanggan.
Ebby berkata, keistimewaan hidangan di restoran berkenaan tertumpu pada kelainan rasa masakan Cina Muslim yang disesuaikan dengan citarasa rakyat Malaysia.
"Pengalaman lebih 25 tahun Adam Lai menjadi tukang masak digunakan sepenuhnya bagi menghasilkan pelbagai menu.
"Atas sebab itu juga kami melantiknya menjadi ketua chef yang bertanggungjawab mengemas kini menu setiap tiga bulan supaya pelanggan sentiasa merasai menu yang baru," katanya.
Sehingga kini Restoran Adam Lai mempunyai lebih 100 menu untuk dipilih dan tidak lama lagi menjelang tiga bulan usia restoran, mereka akan menambah lagi menu.
Selain ala carte, pelanggan yang ingin mengadakan jamuan juga boleh memilih pelbagai menu makanan Cina Muslim bagi tempahan berkumpulan.
Restoran Adam Lai turut menyediakan pelbagai pakej keluarga bagi enam hingga 10 orang dengan harga bermula RM288 hingga RM888.
Restoran yang boleh memuatkan sehingga 300 pelanggan pada satu-satu masa itu mempunyai dua bilik VIP bagi mereka yang ingin mengadakan majlis persendirian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: