|
BAGI penggemar lagu-lagu berunsur ketuhanan, nama penyanyi Maher Zain sudah tentu nama yang bukan asing. Semenjak membuat kemunculan di Malaysia dua tahun lalu, penyanyi tersebut lantas menjadi pujaan peminat.
Mula dikenali ramai menerusi lagu-lagu seperti Thank You Allah, The Rest of My Life dan Insha Allah, kemunculan penyanyi tersebut seperti mengembalikan semula fenomena irama nasyid yang hampir tenggelam. Malah lagu-lagunya turut diterima baik seperti lagu-lagu pop.
Menariknya, semasa mengadakan konsert yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada Oktober 2010, tiket untuk menyaksikan konsert tersebut habis dijual, biarpun penyanyi berkenaan baru kali pertama ke Malaysia.
Kini, penyanyi kelahiran Lebanon yang kemudiannya berhijrah ke Sweden dan mencipta nama sebagai penyanyi di sana merupakan antara penyanyi antarabangsa yang paling kerap membuat persembahan di negara ini.
Pada 16 Jun ini, Maher Zain sekali lagi kembali menjejakkan kaki ke Malaysia untuk menghiburkan para peminatnya sempena konsert Maher Zain - Forgive Me Live In Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Marctensia dan Awakening serta One Drop Perfumes selaku penaja bersama, turut membuat kemunculan istimewa pada konsert tersebut ialah rakannya, Irfan Makki dan Raef.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi berusia 31 tahun itu memberitahu, dia sudah bersedia untuk menggegarkan Stadium Merdeka dengan persembahan yang akan memberi kenangan tersendiri kepada tetamu yang hadir.
"Setakat ini segala persiapan untuk konsert pada 16 Jun berjalan dengan lancar. Boleh dikatakan saya memang memberi tumpuan terhadap persiapan yang dilakukan agar peminat berpuas hati dengan persembahan saya nanti.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh menjelaskan lebih terperinci mengenai bentuk persembahan yang dilakukan. Kalau boleh saya mahu ia menjadi satu kejutan kepada para peminat yang hadir," ujarnya.
Mengenai lagu-lagu yang akan dinyanyikan semasa konsert tersebut, Maher menyatakan sebanyak 23 buah lagu yang akan dipersembahkan menerusi album pertama, Thank You Allah dan album kedua iaitu Forgive Me.
Menurutnya, selain mahu memberikan pelbagai kejutan kepada peminat yang bakal menyaksikan konsertnya itu, penyanyi tersebut memberi jaminan terdapat kelainan yang akan ditampilkan berbanding konsert-konsert yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Mengikut perancangan, saya juga bakal mempersembahkan sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh seorang artis antarabangsa. Jadi, saya berharap agar para peminat tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan konsert saya nanti," ujarnya serba ringkas mengenai perancangan tentang konsert tersebut.
Ketika ditanya tentang kenangan paling manis yang pernah dilalui sepanjang mengadakan konsert di negara ini, Maher memberitahu terdapat satu peristiwa yang tidak dapat dilupakannya sehingga sekarang.
"Terlalu banyak kenangan manis yang telah saya lalui, namun yang paling tidak dapat dilupakan sewaktu saya mengadakan konsert yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam dua tahun lalu.
"Semasa mempersembahkan lagu berjudul Freedom, penonton menggunakan telefon bimbit mereka untuk memberikan cahaya terang di dalam stadium dan saya berasa seolah-olah seperti berada di alam lain. Saya anggap itu merupakan kenangan yang cukup istimewa," jelasnya.
Rumah kedua
Semenjak mencipta nama di Malaysia, Maher Zain sememangnya sudah selalu menerima undangan pelbagai penganjur untuk membuat persembahan di beberapa buah negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Sarawak.
Ditanya mengenai perasaannya terhadap undangan yang diterima, penyanyi tersebut beranggapan ia merupakan rezeki dan sangat berterima kasih kepada para peminat yang selalu memberikan sokongan terhadap kerjayanya selama ini.
"Sebenarnya saya sangat terharu dengan sambutan yang diterima setiap kali berpeluang menghiburkan peminat di negara ini. Tidak keterlaluan sekiranya saya anggap Malaysia sudah seperti rumah kedua saya.
"Sejujurnya saya juga sangat cintakan Malaysia kerana suasananya yang aman dan masyarakat pelbagai kaum dapat hidup bersama. Saya menganggap negara ini boleh menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain," luahnya.
|
|
Menurutnya, dia juga pernah berbincang dengan isterinya bahawa tidak mustahil mereka akan terus menetap di Malaysia pada masa akan datang kerana persekitaran negara ini yang dirasakan sangat sesuai buat mereka.
Tiada diskriminasi
Sebagai seorang muslim yang membesar dan menetap di sebuah negara yang majoriti penduduknya bukan Islam seperti Sweden, kemungkinan untuk menjadi mangsa diskriminasi pastinya agak tinggi.
Bagaimanapun, Maher Zain meluahkan rasa syukurnya kerana sehingga kini dia tidak pernah didiskriminasi oleh mana-mana pihak, malah mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penyanyi lagu-lagu dakwah dengan baik.
"Alhamdulillah, setakat ini saya belum pernah mengalami sebarang perkara yang buruk. Walaupun kehidupan saya di kelilingi masyarakat yang berbilang agama, tetapi kami saling menghormati dan mereka tidak pernah menghalang apa yang saya lakukan.
"Sebelum ini, saya pernah tidak pernah mengamalkan ajaran Islam selama 15 tahun, meskipun saya seorang muslim. Kini, saya sangat berbangga kerana dilahirkan sebagai seorang Islam," ujarnya.
Ujarnya, memandangkan minatnya yang mendalam terhadap bidang muzik, Maher bertekad untuk meneruskan usaha-usaha dakwah menerusi nyanyian dan berharap agar lagu-lagunya dapat terus diterima oleh semua lapisan masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: