Wednesday, May 30, 2012

Ruang redakan tekanan belajar

DIDIK...mahasiswa sebagai generasi pemimpin perlu mempunyai kualiti yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. - Gambar hiasan
DIDIK...mahasiswa sebagai generasi pemimpin perlu mempunyai kualiti yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. - Gambar hiasan

ENTAH mengapa pembabitan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan kurang mendapat perhatian berbanding pencapaian akademik, menjadikan aspek itu kurang bernilai di mata masyarakat.

Tambahan pula, bukan semua mahasiswa mampu memberi sepenuh komitmen, menjadikan aktiviti itu dianggap tempat ‘bersuka ria’ yang hanya menimbulkan pembaziran masa dan tenaga.

  • Foto

    HORMAT...nilai murni seperti ini boleh dikembangkan dalam jiwa mahasiswa. - Gambar hiasan

  • Foto

    BERSATU...bukan mudah mendidik generasi muda untuk melaksanakan khidmat sosial kerana mereka mempunyai pelbagai pilihan, justeru berikan mereka galakan dan sokongan.

  • Foto

    ERAT...hubungan antara mahasiswa dan masyarakat akan bertambah erat, sekali gus menyuntik sikap saling menghormati antara satu sama lain. - Gambar hiasan

  • Foto

    BERJAYA...kejayaan mahasiswa bukan hanya dinilai melalui pencapaian akademik semata-mata, malah merangkumi pembentukan kekuatan emosi dan kesedaran tanggungjawab kepada masyarakat. - Gambar hiasan

Apatah lagi, jangka hayat aktiviti itu singkat menjadikan masyarakat luar mempunyai pelbagai modal untuk mengkritik.

Benarkah pandangan masyarakat yang menyatakan aktiviti itu hanya satu pembaziran dalam diam dan gagal mencapai matlamatnya?


Atau adakah mahasiswa hanya menjadi mangsa keadaan dan tempat melampiaskan rasa kurang senang masyarakat terhadap golongan itu?


Ketua Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Martinelli Hashimberkata, pembabitan mahasiswa dalam aktiviti sosial bukan satu pembaziran, malah sangat bermanfaat.

Beliau berkata, istilah pembaziran dan tanggapan aktiviti itu tidak mencapai matlamat adalah dangkal selain mahu menjatuhkan kredibiliti mahasiswa tanpa usul periksa.

“Saya tahu ramai beranggapan aktiviti seperti ini hanya seperti mahu mengundang keseronokan tanpa mencapai matlamatnya. Malangnya tanggapan itu silap.

“Membabitkan diri dalam aktiviti sosial anjuran institusi itu banyak kelebihan dan manfaatnya, jadi jangan sewenang-wenangnya memberi persepsi negatif jika tidak tahu hujung pangkal.

“Sikap masyarakat yang mudah melabelkan sesuatu hanya pada pandangan kasar perlu diubah kerana ia tidak membantu membangunkan minda, sekali gus membantutkan usaha melahirkan mahasiswa cemerlang,” katanya.

Kesal dengan tanggapan seperti itu, beliau berkata, masyarakat sering kali memberi tanggapan hanya melihat pada aspek luaran semata-mata.

Katanya, mereka hanya melihat secara kasar dan sekali imbas tanpa mahu menghargai penat lelah mahasiswa yang bertungkus-lumus menjayakan aktiviti itu.

“Bercakap memang mudah, namun adakah mereka tahu kepayahan dan kepenatan mahasiswa melaksanakan program terbabit?

“Ini bukan program main-main kerana ia membabitkan imej institusi.

“Cuba letakkan diri di tempat mahasiswa itu, adakah anda sanggup bersengkang mata, berpanas berhujan semata-mata menjayakan matlamat sesuatu program?

“Saya percaya, mahasiswa juga tidak mahu aktiviti dijalankan itu menjadi buah mulut orang dan dilabelkan gagal. Jadi mereka pasti akan melaksanakannya bersungguh-sungguh,” katanya.

Bukan sesuatu yang menghairankan apabila ada segelintir masyarakat yang celupar melabelkan khidmat sosial berkenaan sebagai satu pembaziran.

Alasannya, mahasiswa tidak begitu fokus dalam pelaksanaan selain melakukan aktiviti sama setiap kali penganjuran program.

Menyangkalnya, beliau berkata, bukan semua mahasiswa pergi untuk ‘bersuka ria’, sebaliknya mereka tetap memanfaatkan setiap tanggungjawab itu.

“Ya, mungkin ada yang terpesong matlamatnya, namun bukan semua yang sanggup melepaskan tanggungjawab diberikan sewenang-wenangnya.

“Malah, perlu diingat, setiap pelaksanaan projek ada struktur perancangannya, jadi mana mungkin mereka melaksanakannya atas dasar ‘suka-suka’.

“Janganlah kerana seorang dua yang lepas tangan, semua terkena tempiasnya. Ini tidak adil,” katanya menegaskan antara manfaat terbesar diperoleh ialah membina sikap prihatin mahasiswa terhadap permasalahan masyarakat.

“Ini manfaat paling baik sebab bukan mudah mahu membentuk sikap peduli golongan muda terhadap masyarakat. Program seperti ini mengasuh dan mendidik emosi mereka supaya tidak lepas tangan.

“Namun, ada kalangan masyarakat menganggap program ini sebagai satu pembaziran. Hakikatnya mereka sendiri tidak mahu ‘membuka mata’ seluas-luasnya melihat apa yang diperoleh mahasiswa menerusi program ini,” katanya.

Program ini, katanya, perlu dilaksanakan dalam situasi santai kerana menjadi tempat mahasiswa meredakan sebentar tekanan belajar, selain memikat hati golongan sasaran.

“Jika program dilaksanakan dengan protokol ketat, golongan sasaran mungkin tidak suka kerana program itu akan membosankan.

“Biarpun pelbagai program diadakan seperti bersama keluarga angkat, matlamat dan pengisian pasti ada perbezaannya,” katanya.

Memberi pendapat bahawa masyarakat mahukan hasil segera, beliau berkata, ia mungkin mustahil kerana pembentukan nilai murni di kalangan mahasiswa memerlukan masa dan banyak pendedahan.

Akuinya, mereka masih memerlukan bimbingan, tunjuk ajar serta tatacara betul untuk berada di landasan betul, sekali gus memperbetulkan tindakan andai kata bertentangan dengan matlamat.

“Sebagai generasi muda, mereka ada terlalu banyak cabang pilihan seperti melakukan keseronokan, tanggungjawab dan perasaan. Masyarakat lebih dewasa perlu memberi bimbingan bukan kritikan yang boleh melemahkan mereka.

“Malangnya, itulah sikap sebahagian besar masyarakat hari ini. Daripada memberi bimbingan, mereka gemar mengkritik yang bukan-bukan.

“Akibatnya, ia melemahkan daya juang mahasiswa, sekali gus memadamkan keinginan mendekati masyarakat. Ini satu kerugian yang perlu dielakkan,” katanya.

Masyarakat juga perlu melihat apa yang cuba dilaksanakan golongan mahasiswa sebagai satu percubaan meneroka alam baru yang lebih mencabar.

“Mereka ibarat baru bertatih, justeru apa salahnya jika masyarakat memberi sokongan padu sebagai pembakar semangat.

“Tanggapan bahawa mereka hanya ingin berseronok dan aktiviti ini tidak mampu memberi manfaat adalah keterlaluan.

“Bukankah ini satu ilmu baru yang mampu menjana pengalaman lebih praktikal? Saya hairan apabila aktiviti seperti ini digambarkan sebagai tempat mengambil kesempatan.

“Jangan terlalu sempit menilai atau memberi persepsi salah, nanti merugikan golongan terbabit,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan mahasiswa menggunakan peluang diberikan bagi menjadikan diri sebagai insan prihatin dan disayangi masyarakat.

Menurutnya, dengan pelbagai isu mengaitkan mahasiswa hari ini, ia sedikit sebanyak memburukkan imej golongan terbabit.

“Walaupun hanya segelintir (berbuat salah), tempiasnya tetap kena pada mahasiswa. Justeru, jangan rosakkan nama baik itu dengan tanggapan salah.

“Sebaliknya, buktikan mahasiswa memang ikhlas dan ingin mendapat manfaat daripada aktiviti ini. Masyarakat tidak tahu jika tidak melihat hasilnya,” katanya.

Beliau turut mengakui, program itu memberi pendedahan positif terutama pembentukan jati dan kemahiran diri.

“Jika tiada kepentingannya, tentu program seperti ini tidak ditekankan di institusi pengajian tinggi. Melihat kepada manfaatnya, ia menjadi antara agenda wajib yang perlu dilaksanakan mahasiswa.

“Kebaikan diperoleh apabila tamat pengajian. Bagi yang aktif terbabit dalam pelbagai program, karisma diri pasti terserlah berbanding melakukannya kerana terpaksa.

“Justeru, jangan anggap aktiviti ini tidak berfaedah mahupun hanya membazir. Masyarakat sering menyuruh mereka berfikir di luar kotak, jadi sokonglah mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: