|
KISAH legenda Pengembaraan Keling dan Kumang dari Batang Ai yang sebelum ini hanya diceritakan secara lisan oleh orang dulu-dulu kini dipentaskan secara komersial hasil inisiatif Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Kuching.
Keling dan Kumang merupakan kisah masyarakat kaum Iban yang mempunyai banyak versi penceritaan dan diturunkan daripada satu generasi ke satu generasi.
Majoriti generasi muda hari ini kurang mengenali siapa Keling dan Kumang. Mungkin mereka pernah mendengar nama itu tetapi tidak pernah menghayati kisahnya.
Pada kemuncak Festival Menuai Sedunia (WHF) 2012 di Kuching baru-baru ini, SCV melalui produksinya mementaskan penggambaran drama tari tersebut yang disifatkan berada dalam kelasnya tersendiri.
Berdurasi selama 45 minit dan menggunakan 90 orang pelakon berusia seawal enam tahun sehingga 70 tahun, ia turut menggabungkan artis-artis SCV dan Sekolah Seni Kuching.
Bagi menjayakan drama tari itu, para penari dan pelakon mengambil masa lebih dua minggu untuk berlatih.
Kira-kira 2,000 pengunjung yang hadir pada malam itu rata-rata kagum dengan karakter Keling pada awal penceritaan yang mendayung perahu menyeberangi tasik yang berada betul-betul di hadapan penonton.
Melalui plot tersebut, penonton dibawa mendalami watak Keling iaitu seorang lelaki gagah yang memiliki kesaktian. Keling berasal dari alam bunian atau dunia langit yang turun ke bumi.
Diolah semula
Tidak sukar untuk para penonton memahami dan menghayati jalan cerita yang dialun dengan gerak tari dan alunan muzik tradisional sebagai latarnya. Pegawai Warisan Kampung Budaya Sarawak, Maspah Brahim berkata, drama tari itu diolah semula berdasarkan buku cerita hasil tulisan Heidi Munan, seorang wanita kelahiran Switzerland yang mengahwini lelaki Iban.
Ia bukan sekadar hiburan, sebaliknya ia turut disisipkan dengan unsur-unsur budaya kaum Iban zaman dahulu.
"Dengan mementaskan kisah legenda yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi, secara tidak langsung adat tersebut dipelihara dan tidak dimamah zaman.
"Generasi sekarang hanya percaya dengan apa yang dilihat dengan mata kepala sendiri. Jadi, pementasan ini banyak membantu memberi kefahaman kepada penonton berhubung kehidupan masyarakat dahulu kala," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Maspah berkata, melalui kisah itu, antara nilai budaya yang diselitkan ialah ngayap. Dalam erti kata lain, ia mengisahkan dua orang kekasih bertemu yakni ketika Keling dan Kumang yang dipanah asmara bertentangan mata di tepi sungai.
"Selain itu, drama tari ini turut menyelitkan pertandingan beradu kekuatan kaum Iban yang dikenali sebagai batak lampung antara Keling dengan abang Kumang iaitu Aji.
"Pementasan drama tari ini juga menampilkan kehidupan gadis Iban yang pandai memasak, cantik, sopan dan menghormati orang tua," ujarnya.
Beliau berkata, pementasan yang diadaptasi daripada kisah legenda Batang Ai itu turut diselitkan unsur kisah percintaan kaum Iban zaman dahulu, adat perkahwinan serta cara masyarakat itu berbahasa serta berkarya.
Sementara itu, Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang berkata, pementasan drama tari yang berlatar belakang alam semula jadi seumpama itu tidak dipersembahkan di tempat lain. Beliau menjelaskan, keunikan drama tari SCV itu benar-benar mampu membangkitkan perasaan penonton.
"Ini merupakan pendekatan yang menarik bagi mendorong minat orang ramai lebih-lebih lagi generasi muda supaya mereka mencintai sesuatu budaya lama.
"Pementasan drama tari berbahasa Inggeris ini bukan sahaja sebagai hiburan malah ia bertujuan untuk memelihara budaya dan adat kaum Iban terdahulu," tegasnya.
Jane memberitahu, pementasan itu yang menggunakan keistimewaan yang terdapat di SCV seperti rumah panjang, tasik dan latar belakang Gunung Santubong nyata menaikkan lagi perasaan keterujaan para penonton.
"Pengunjung yang menonton pementasan tersebut turut diajak merasai persembahan drama tari berkenaan hinggakan sebahagian daripada mereka berinteraksi dengan para pelakon.
"Apa yang lucu, ada penonton lelaki bersorak-sorak nakal apabila melihat watak Kumang yang mandi di dalam tasik dengan berkemban," katanya.
|
Menurut Jane, antara cabaran utama dalam pementasan itu ialah faktor cuaca terutama pada hari pementasan drama kerana jika hujan ia akan merencatkan kelancaran persembahan.
Setakat ini, SCV berjaya mementaskan 16 drama yang diangkat daripada cerita-cerita rakyat di Sarawak sempena sambutan WHF setiap tahun sejak tahun 1996.
Kisah-kisah tersebut ialah Simanggeng yang dipentaskan pada 1996, Agan Tadun (1997), Pertarungan Bukit Sadok (1998), Sibauk (1999), Kedatangan Tuhan (2000), Belawan Bureing (2001), Manggeng (2002) dan Legasi Simpang-Impang (2003).
Sementara itu, pada tahun 2004, cerita rakyat yang dipentaskan ialah Agan Tadun diikuti Wek Jongan pada tahun 2005, Rentap (2006), Belawan Burieng (2007), Panglima Kulow (2008), Simpang Impang 2 (2009), Batang Arong dan Dewi Langit (2010) serta Selanting Kuning (2011).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: