Bersatu demi Islam perlu ikhlas dan serius
Dr Zaharuddin Abd Rahman

SHAH ALAM – Bersatu atas nama Islam melibatkan Umno dan Pas perlu ada keyakinan di antara satu sama lain, disusuli dengan niat yang ikhlas dan serius untuk bersatu kerana Islam bukan untuk meraih kelebihan politik pihak masing-masing sambil menjatuhkan yang lain.

Pendakwah Bebas dan Pengerusi Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, penyatuan atas dasar yang membawa kepada pematuhan kepada ALLAH melalui Islam disebut secara spesifik dalam al-Quran.

Menurutnya, sangat tepat jika ingin membincangkan penyatuan dan kesefahaman di atas nama Islam, namun, ia masih boleh terhalang oleh perkara-perkara luaran.

“Itu adalah suatu perkara yang lumrah khususnya bagi dua pihak yang telah berpengalaman kerana pengalaman boleh memberi indikasi sama ada sesebuah pelawaan dan tawaran penyatuan dan perbincangan itu benar-benar tulen.

“Khususnya di dalam suasana politik yang tidak pernah kendur, semua pihak pastinya akan sentiasa memikirkan kelebihan politik dari apa sahaja keputusan besar mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, halangan dan prasangka kurang baik yang menghalang cubaan bersatu di atas kepentingan Islam perlu dirawat terlebih dahulu dan kedua-dua pihak perlu membuktikan keseriusan masing-masing.

“Kerjasama dan penyatuan (melibatkan Umno dan Pas) pernah berlaku sebelum ini, kelihatannya sejarah lama membuktikan kerjasama itu dilanda pelbagai masalah, itulah halangannya, ia menyebabkan Pas meletakkan pelbagai syarat bagi menyakini mereka tidak dipermainkan.



“Mungkin sebelum ini, kedua-dua pihak masih gagal meyakinkan di antara satu sama lain untuk bersatu malah berbincang pun belum diyakini boleh membawa kebaikan untuk Islam. Oleh itu, mungkin Pas meletakkan syarat dan ia dilihat munasabah kerana pengalaman yang mereka alami,” katanya.



Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan Pas sebagai ghulub atau melampau kerana mengenakan syarat untuk bermuzakarah bersama Umno hingga menyebabkan usaha itu tidak menjadi kenyataan.



Harussani berkata, sikap Presiden Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat keras hati dan sukar dilembutkan kerana tidak dapat melupakan sejarah lampau parti itu bersama Umno menggambarkan mereka langsung tidak menghiraukan masa depan agama Islam dan bangsa Melayu kecuali kedudukan dan kepentingan politik semata- mata.