|
BERMULA 16 Mei lalu, syarikat pembekal enjin pencarian internet, Google Malaysia telah melancarkan Chrome Web Store iaitu pasaran terbuka yang memberikan pengguna hab mudah untuk melayari, mencari dan membeli aplikasi terbaik dalam laman web.
Pada masa yang sama, ia turut menawarkan platform khusus kepada pembangun laman web untuk mempamerkan aplikasi web masing-masing sekali gus memperkenalkan produk mereka kepada khalayak.
Malah, melalui Chrome Web Store, pembangun aplikasi dalam pelbagai bidang terutama perniagaan boleh menyediakan aplikasi tersendiri untuk memberi kemudahan kepada pengguna yang memilih perkhidmatan mereka.
Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, aplikasi laman web menjadikan pelayaran web lebih menyeronokkan, bermanfaat dan menghiburkan. Namun, untuk mencari aplikasi terbaik di web, ia hampir sama seperti permainan bola keranjang secara maya.
Cabaran tersebut disebabkan tiadanya platform khusus untuk mencari dan melihat mereka sebelum ini.
“Kini, dengan ciri penilaian, ulasan dan antara muka yang mesra pengguna, Chrome Web Store menawarkan pengguna satu hab yang mudah untuk mencari dan membeli aplikasi-aplikasi di laman web.
“Kami pastinya teruja dengan Chrome Web Store baharu ini termasuk beberapa aplikasi yang direka khas untuk rakyat Malaysia yang dicipta oleh pembangun tempatan,” ujar beliau pada sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Sajith, terdapat juga aplikasi bagi permainan Angry Birds dan Battle Stations serta aplikasi penyimpanan popular Box, alat penyuntingan foto seperti PixIr dan kelengkapan Google Docs.
Di samping itu, pengguna juga boleh menikmati banyak sambungan dan tema pada Chrome Web Store yang membantu mereka menyesuaikannya dengan pengalaman pelayaran web masing-masing.
Setiap sambungan mempunyai ciri-ciri dan fungsi yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa sendiri bagi menambah keupayaan Chrome yang menarik.
Tidak seperti aplikasi lain, sambungan seperti PrayOnTime, yang memaparkan waktu solat bagi orang Muslim setiap hari berdasarkan lokasi mereka, sentiasa akan dipaparkan tidak kira laman web apa yang sedang anda layari.
Tidak ketinggalan, ciri penukaran tema latar belakang pelayar Chrome juga boleh diberi sentuhan peribadi oleh pengguna itu sendiri.
Menerusi Chrome Web Store, aplikasi dan sambungan dipaparkan dalam wall of images apabila anda melayari stor tersebut. Justeru, anda boleh meninjau stor dan mencari perkara-perkara yang menarik untuk dicuba dengan cepat.
Capaian lebih mudah
Semua aplikasi dan sambungan sangat mudah untuk dipasang. Hanya tinjau imej dan klik Add to Chrome, anda bebas memilih daripada ratusan tema yang terdapat dalamnya.
“Untuk pembangun Malaysia, pelancaran Chrome Web Store bermakna mereka juga akan dapat membangunkan dan mengedarkan aplikasi mereka dengan mudah kepada lebih 200 juta orang di seluruh dunia yang telah menggunakan Chrome.
“Semakan dengan GS Stat Counter memberitahu kita bahawa Chrome yang mula dilancarkan pada tahun 2008 telah digunakan oleh 44 peratus pengguna internet desktop di Malaysia,” jelas Sajith lagi.
Apa yang pasti, pengguna Chrome kini akan mendapati carian dan menambah aplikasi baharu, sambungan dan tema untuk pelayar web mereka lebih mudah dilakukan melangkaui pelbagai kategori.
Malah, lebih ramai pembangun bersedia untuk menawarkan sesuatu yang segar. Anda boleh menjangka untuk melihat aplikasi daripada penerbit tempatan, pencipta kandungan dan syarikat yang hebat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Amanz Media Sdn. Bhd., Ikhwan Nazri Mohd. Asran, 26, mengakui Chrome Web Store merupakan satu komponen yang bagus bagi setiap organisasi yang berasaskan internet.
“Terdapat begitu ramai pengguna internet di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya. Oleh itu, melalui aplikasi Chrome Web Store, ia boleh memudahkan pengguna untuk mengakses web yang dilayari,” ujar Ikhwan sambil memberitahu, terdapat banyak kelebihan jika pengguna memilih aplikasi tersebut.
Kongsi Ikhwan Nazri, berita Teknologi Amanz ialah aplikasi Chrome Web untuk Amanz.my, sebuah portal berita teknologi dalam bahasa Melayu yang menyalurkan sehingga 10 berita berkaitan teknologi setiap hari.
Sehingga kini, pembaca bulanan di portal tersebut telah mencecah 150,000 hit. Melalui aplikasi terbaharu Chrome Web Store, Ikhwan berharap lebih ramai pembaca akan melayari laman tersebut.
Untuk mencuba aplikasi baharu itu serta beribu-ribu item lain di stor, muat turun Google Chrome di http://google.com/chrome dan kunjungi Chrome Web Store di http://chrome.google.com/webstore.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: