ATING di atas bas? Mungkin ia pelik tetapi itulah realiti siri percintaan bagi juruhebah radio Perlis FM, Mohd. Shah Hashim.
Selama setahun Mohd. Shah, 43, menyulam cinta bersama gadis impian, Salmi Mahamud, 45, yang dinikahinya 16 tahun lalu.
Salmi ketika bercerita tentang detik awal percintaan mereka berkata:
"Faktor masa membuatkan kami berdua tidak seperti pasangan lain yang bertemu di taman atau di lokasi tertentu.
"Jadi, Mohd. Shah menggunakan sepenuhnya waktu perjalanan saya pulang ke rumah untuk bertemu. Saya pula setiap hari menaiki bas berulang-alik ke tempat kerja."
Mendengar itu, Mohd. Shah menyampuk:
"Ada kalanya saya termengah-mengah kerana berlari ke Stesen Bas Kangar. Ini kerana biasanya tepat pukul 6 petang, bas yang dinaiki Salmi akan bergerak meninggalkan Kangar ke destinasi Kuala Perlis.
"Saya akan naik bas pada pukul 6 petang dan akan 'menempah' tempat duduk untuk Salmi jika dia belum tiba. Saya akan turun bersamanya di perhentian bas di persimpangan jalan masuk ke rumahnya di Behor Ibus, Jalan Kuala Perlis," katanya ketika ditemui S2 di rumahnya di Taman Jeliti, Kangar baru-baru ini.
Ketika temu bual ini berlangsung, ketiga-tiga anak mereka, Muhammad Danial, 15, Muhammad Nabiel, 12 dan Nur Farahiyah, 7, leka mendengar kisah percintaan ibu dan bapa mereka.
Mohd. Shah memberitahu, biasanya dia akan menunggu bas yang sama untuk balik semula ke Kangar.
"Jadi, konduktor dan pemandu bas berkenaan memang cukup mengenali saya," katanya.
Ditanya apa yang menyebabkannya tertarik kepada Salmi, katanya, setiap hari dia nampak Salmi makan di Restoran Rakyat berhampiran Stesen Bas Kangar.
"Sudah lama saya perhatikan dia. Dalam pemerhatian itu, saya dapati dia memiliki ciri-ciri gadis idaman saya iaitu lemah-lembut.
"Tetapi saya tidak berani menegurnya sehinggalah suatu hari saya dicabar oleh seorang rakan," katanya.
Rakannya itu mencabar Mohd. Shah supaya meminta nombor telefon Salmi. Mohd. Shah menyahut cabaran itu yang mana sebaik sahaja Salmi selesai makan di restoran tersebut, dia pantas mengejar gadis yang berjaya memikat hatinya.
Menurutnya, pada mulanya Salmi enggan melayan permintaannya itu, tetapi selepas Mohd. Shah 'mengugut' Salmi bahawa dia akan menelefon ke pejabatnya, barulah dia mengalah.
"Pada malam itu juga, saya menelefon dia untuk menyatakan hasrat hati yang ingin berkenalan dengan lebih dekat," ujarnya.
Sejak detik itulah juga, Mohd. Shah hanya berpeluang bertemu dengan Salmi di dalam bas sahaja.
"Salmi seorang yang tak banyak cakap. Sehinggalah suatu hari dia pula mencabar saya supaya berjumpa ibu bapanya untuk memberitahu hasrat berkawan rapat dengannya," katanya.
Mohd. Shah yang pantang dicabar itu terus sahaja berkunjung dan menemui ibu bapa Salmi. Alhamdulillah, perhubungan mereka semakin menghampiri puncak bahagia apabila mendapat restu orang tua.
Oleh kerana Salmi agak pendiam orangnya, maka Mohd. Shah menghadapi kesukaran untuk memahami apa yang terkandung di dalam hatinya.
Sungguhpun begitu, Mohd. Shah dapat mengagak bahawa Salmi juga menyukainya sebab sepanjang tempoh menemaninya balik ke rumah setiap hari, raut wajahnya menunjukkan Mohd. Shah tidak bertepuk sebelah tangan.
Mohd. Shah yakin kerana katanya:
"Jika dia tidak suka, sudah tentu abang Salmi yang setiap hari menunggunya balik di simpang jalan datang kepadanya untuk memberi amaran. Tetapi ini tidak berlaku," katanya.
Cerita Salmi pula, percintaan mereka juga ada dugaannya.
"Entah macam mana dalam masa kami bercinta, tiba-tiba ada orang dari kampung sebelah masuk meminang saya," katanya.
Beliau berkata, dia tidak mengenali lelaki itu tetapi proses peminangan dilakukan melalui orang 'tengah'.
Katanya, pinangan itu ditolak dengan baik kerana ibu bapanya sudah tahu yang dia sedang berkawan rapat dengan Mohd. Shah.
Mendengar khabar itu, Mohd. Shah tidak menunggu lama untuk menyunting Salmi sebagai suri hidupnya.
Paling tidak dapat dilupakannya apabila dia juga hadir sama pada majlis peminangan yang lazimnya jarang dilakukan oleh mana-mana bakal pengantin.
Akhirnya pada tarikh 29 September 1996, Mohd. Shah memberitahu, dia dan Salmi disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: