Wednesday, May 30, 2012

Selebriti hasil rekaan perabot sendiri


DARI kiri: Wong Chui Ling, Jojo Struys, Yuna, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak terpilih untuk menghasilkan rekaan perabot dan barang hiasan daripada butik hiasan, Macy.


LIMA selebriti popular tanah air iaitu Yuna, Jojo Struys, Wong Chui Ling dan pasangan suami isteri Vanida Imran serta Rashidi terpilih untuk menghasilkan rekaan perabot dan barangan hiasan dalaman rumah daripada butik hiasan rumah, Macy.

Projek yang dikenali sebagai Inspirasi Selebriti itu mengetengahkan bakat lima selebriti tersebut dalam memberi idea menghasilkan perabot masing-masing.

Yuna telah diberi kepercayaan untuk menghasilkan set bilik tidurnya sendiri manakala Vanida dan Rashidi pula menghasilkan set bilik tidur untuk anak perempuan mereka.

Sementara itu, bagi personaliti TV Jojo dan Chui Ling pula masing-masing memberi idea dan memilih sendiri fabrik untuk rekaan set ruang tamu dan set meja makan.

Menurut Pengurus Besar Macy, Jimmy Koay, selebriti adalah inspirasi kepada masyarakat dan pemilihan mereka adalah bertepatan dengan objektif Macy yang mahukan kelainan dalam setiap produk yang ditawarkan.

"Para selebriti diberi kebebasan untuk memilih jenis perabot, fabrik dan warna mengikut cita rasa masing-masing," ujarnya pada majlis pelancaran projek Inspirasi Selebriti bersama Macy di Pusat Beli-Belah Citta.

Jelasnya, pelanggan yang berminat untuk membeli perabot rekaan kelima-lima artis tersebut boleh berbuat demikian apabila perabot-perabot tersebut dipamerkan di butik Macy kelak.

Tambahnya, sebahagian hasil jualan perabot itu nanti akan disalurkan kepada rumah kebajikan yang terpilih.

"Sewaktu diberi peluang menghasilkan set bilik tidur untuk anak perempuan, kami puas memikirkan corak dan warna yang harus dipilih untuk menghasilkan set katil yang dapat memikat hati pelanggan. Apatah lagi ia dibuat untuk tujuan amal," kata Vanida.

Balas Rashidi pula: "Kami cuba untuk menghasilkan set katil anak perempuan yang tidak hanya menggunakan warna merah jambu semata-mata tetapi diselitkan juga dengan beberapa warna seperti putih dan ungu".

Paling penting jelas Vanida mahupun Rashidi, perabot yang dihasilkan itu adalah tahan lama dan berbaloi untuk dibeli pelanggan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: