KUANTAN 28 Mei - Seramai 25 daripada 136 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Kem Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merupakan kumpulan terakhir berangkat ke Timor Leste hari ini bagi menyertai misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara itu selama enam bulan.
Jumlah itu termasuk seorang doktor serta tiga pembantu perubatan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertolak secara berperingkat dalam misi Mal-Formed Police Unit (FPU) ke negara tersebut.
Timbalan Komander Kem Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Mohd. Kashim Mohd. Ram berkata, misi kali ini adalah bagi menggantikan pasukan Briged Tengah yang akan kembali ke tanah air setelah menamatkan misi selama enam bulan di Timor Leste.
"Kumpulan ini bertolak secara berperingkat sejak awal bulan ini dan yang terakhir pada hari ini iaitu seramai 25 orang termasuk empat anggota tentera," katanya kepada pemberita selepas majlis penghantaran kumpulan itu di Kem Briged Tenggara di sini.
Menurut beliau, kumpulan terakhir itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 4 pagi esok.
Katanya, semua anggota PGA yang terlibat dalam misi berkenaan dipilih melalui pemilihan yang ketat dan mereka telah menjalani latihan selama dua bulan.
"Pasukan tersebut akan terlibat dalam menjaga keselamatan penduduk serta ketenteraman awam. Selain itu, mereka juga turut membantu polis tempatan di sana bagi menguatkuasakan undang-undang," katanya.
Beliau berharap pasukan itu dapat menjaga nama baik negara di sana dan tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: