Wednesday, May 30, 2012

15 terbunuh gempa bumi di Itali

SEBUAH bangunan runtuh di bandar Cavezzo selepas gempa bumi melanda utara Itali semalam.


FELICE SUL PANARO, Itali - Satu gempa bumi kuat menggegarkan utara Itali semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, beberapa hari selepas rantau berkenaan dilanda gempa bumi yang membawa banyak kematian dan kemusnahan.

Angka korban tersebut disahkan oleh Pihak Berkuasa Perlindungan Awam Itali dengan pasukan penyelamat masih mencari sekitar empat atau lima orang yang dikhuatiri masih hilang.

"Saya terpaksa keluar dari bangunan, kami digegarkan dengan gempa yang kuat dan lama," kata seorang jurucakap agensi berkenaan di Mantua.

Pihak berkuasa memberitahu, bahagian utara Itali dilanda tiga gegaran dengan kekuatan hingga 5.3 pada skala Richter antara pukul 10.56 pagi hingga 11.01 pagi (waktu tempatan).

Siri gegaran tersebut menyusul selepas gempa bumi kuat bermagnitud 5.8 berlaku pada pukul 7 pagi ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Setiap bangunan di bandar ini runtuh," kata seorang anggota bomba di bandar Cavezzo kepada akhbar tempatan, Corriere della Sera.

Menurut Institut Geografi Modena, gempa bumi pertama berlaku sekitar 60 kilometer ke timur Parma dengan menyebabkan orang awam berlari ke jalan-jalan raya untuk menyelamatkan diri.

Selain Parma, gegaran turut dirasakan di bandar raya Pisa dan Venice.

Pihak berkuasa Itali memberitahu, lebih 5,000 orang telah dipindahkan dari kediaman mereka manakala kediaman sementara bagi menempatkan 4,000 mangsa bencana itu akan siap didirikan pada hari yang sama.

Gempa bumi semalam menyusul selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.0 melanda utara negara itu pada 20 Mei lalu yang meragut enam nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa bermalam di khemah-khemah sementara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: