Muka depan B*Pop hari ini
SELEPAS Marsha Milan Londoh yang dianggap bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) paling kerap dihimpit kontroversi, Siti Adira Suhaimi atau Adira, 21, juga tidak pernah sunyi daripada dihujani cerita panas apabila sisi peribadinya sering menjadi paparan media massa. Adira yang menganggap dirinya sudah puas ‘ditelanjangi’, tidak mahu lagi mengingati kisah hitam yang pernah menyelubungi dirinya dan berkali-kali memohon supaya penulis tidak menceritakan kembali tuduhan atau fitnah yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.
“Tanah Kubur adalah percubaan pertama saya untuk bergelar pelakon dan peluang yang datang itu tidak harus dipersia-siakan. Saya sudah memberikan apa yang termampu dan dalam masa sama, tidak mempedulikan apa orang nak cakap. Secara peribadi, saya tidak mahu lagi mengingati kontroversi berkenaan kerana ia amat mengaibkan. Justeru, saya mohon pihak wartawan tidak memperkatakannya lagi kerana ia sudah lama berlalu,” pinta Adira berkali-kali.
Tambah Adira, dia juga manusia biasa, ada hati dan perasaan sama seperti orang lain.
“Isu yang pernah mengaibkan diri saya itu, janganlah diulang siar. Saya sudah cukup tertekan. Berilah saya ruang untuk ‘bernafas’ seperti orang lain,” pohon Adira dalam nada perlahan, sekali gus mengharapkan peminat tidak memberikannya perspektif negatif secara berterusan.
Namun, cerita sensasi yang pernah menghambat dirinya itu tidak selari dengan pencapaian seni atau dalam erti kata lain, kontroversi tidak membantu melonjakkan namanya walaupun hampir tiga tahun bergelar anak seni. Sehinggalah muncul filem yang menempa fenomena, Ombak Rindu, nama Adira meniti di bibir peminat apabila gandingan vokalnya bersama Hafiz melantunkan Ombak Rindu berjaya menyentap perasaan orang ramai.
Bagaimanapun, kemunculan single terbarunya, Sakura dilihat belum mampu melonjakkan nama Adira secara berterusan. Pembabitannya menerusi Mania, program realiti yang mencari superstar berdasarkan undian SMS, juga membantutkan perjalanan Adira apabila dia terkeluar di peringkat separuh akhir, sekali gus memberi laluan kepada Hafiz untuk bergelar juara Mania pertama.
Sekalipun didakwa tidak menyerlah seperti rakan lain - Hafiz, Stacy mahupun Hazama, Adira nampaknya tidak mudah menyerah kalah apabila dia turut menjadi pilihan untuk mendendangkan lagu runut bunyi filem terbaru, Lagenda Budak Setan 3 (LBS3) dan menyanyikan semula lagu Sampaikanlah Salam yang pernah dipopularkan Alleycats untuk sebuah telemovie.
“Saya perlu melipat gandakan usaha dalam menghadapi persaingan kerana setiap hari ada saja bakat baru yang muncul. Andai terleka, kita akan tenggelam. Paling penting perlu konsisten apabila berkarya. Produk berkualiti daripada seseorang artis itu boleh diibaratkan seperti pasport yang mampu memacu dirinya untuk terus berdaya saing dan berada di kedudukan lebih selesa,” kata Adira yang ingin membuktikan bintang AF seperti dirinya bukan artis mi segera!
INFO ADIRA
NAMA PENUH: Siti Adira Suhaimi
TARIKH LAHIR: 19 September 1991
ASAL: Kampung Pinausok, Kundasang, Ranau, Sabah
KELUARGA: Bongsu daripada lapan beradik
KETURUNAN: Dusun
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan, Kundasang
PENCAPAIAN: Naib juara, Akademi Fantasia 8 (AF8) dan Mania, terkeluar pada peringkat separuh akhir
SINGLE: Ku Ada Kamu, Ilusi, Ombak Rindu, Lara Lagi dan Sakura
DRAMA: Tanah Kubur (musim keempat)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: