IMEJ bersahaja tetapi bijak berinteraksi. Memiliki senyuman manis, tambah manis dengan imej bertudung. Meletakkan keutamaan terhadap ilmu pengetahuan, Nurhaslisa Romli, 26, berjaya menyesuaikan diri dengan apa jua situasi dan suasana kerja.
Dia mampu menggalas tanggungjawab dan cabaran seperti wanita lain asalkan tidak melanggar batas syariah.
“Saya ingin menjadi wanita yang bijak membahagi masa antara keluarga dan kerjaya. Saya mahu membuktikan mampu berjaya," kata jururawat gigi ini.
Nurhaslisa yakin wanita bertudung sepertinya juga boleh berjaya.
Buktinya, banyak pertandingan realiti televisyen sama ada mencari penyanyi, pelakon mahupun personaliti , diceburi oleh mereka yang bertudung.
Ini membuktikan tiada jurang sama ada seseorang model itu bertudung atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Nurhaslisa mengakui tugas sebagai seorang jururawat tidak semudah yang disangka.
“Sebagai jururawat kita perlu banyak bersabar melayan kerenah pesakit.
“Semua pesakit dalam keadaan tertekan khususnya mereka yang sakit gigi. Kita perlu layan mereka sebagai kawan. Jangan sesekali memarahi mereka sebaliknya lakukan sesuatu supaya mereka nampak kita cool. Dari situlah mereka akan meletakkan kepercayaan kepada kita," ujarnya.
Nurhaslisa memberitahu, sebagai jururawat dia tidak pernah menyimpan rasa geram terhadap pesakit, jauh sekali untuk memarahi mereka.
“Contohnya, apabila pesakit datang untuk rawatan gigi, saya akan berikan nasihat supaya mereka bersemangat dan sabar," katanya dalam senyuman manis yang menampakkan sebaris gigi putih bersih sesuai dengan kerjayanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: