Tuesday, May 29, 2012

Kepupusan bahasa etnik di Bangladesh


SISTEM pendidikan di Bangladesh hanya menggunakan bahasa Bangla.


BANGLADESH kini sedang berdepan dengan ancaman kepupusan bahasa kaum etnik, apabila penumpuan hanya diberikan ke atas bahasa utamanya iaitu bahasa Bangla.

Terdapat 30 jenis bahasa pertuturan yang dikenal pasti di negara tersebut dan 20 daripadanya telah hampir-hampir pupus kerana jarang digunakan.

Bahasa Bangla atau Bengali merupakan bahasa utama dalam arena linguistik di negara itu. Sebanyak 95 peratus populasi rakyat negara tersebut menggunakan bahasa Bangla dan ia merupakan 'pasport' tunggal ke arah pendidikan serta kerjaya yang baik.

Batu loncatan kepada perjuangan bahasa di negara Bangladesh bermula selepas peristiwa pelajar-pelajar di tembak mati oleh pegawai polis ketika negara tersebut masih berada di wilayah timur Pakistan pada 21 Februari 1952.

Barisan pelajar tersebut pada awalnya bertindak membantah polisi dan permintaan kerajaan Pakistan Urdu yang mahu bahasa Bangla diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara berkenaan.

Perjuangan nasionalis rakyat negara itu berakhir setelah pembentukan negara Bangladesh dengan kemenangan ketika peperangan bagi menuntut kemerdekaan dengan berjaya menewaskan Pakistan pada tahun 1971.

Sejak daripada peristiwa itu, tarikh 21 Februari diisytihar sebagai hari cuti di negara berkenaan sempena tanda perhormatan kepada wira negara itu.

Tarikh tersebut turut diisytihar sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mengetengahkan hak etno-linguistik penduduk di seluruh dunia.

Namun begitu, bahasa Bangla kekal digunakan sebagai bahasa utama di sekolah dan tempat kerja.

Tetapi, selepas hampir 40 tahun, penumpuan ke atas bahasa Bangla sahaja akhirnya menyebabkan bahasa etnik lain mula dilihat tidak penting.

Salah satu bahasa yang digunakan oleh masyarakat di Bangladesh ialah bahasa Laleng. Bahasa tersebut digunakan oleh kira-kira 2,000 suku kaum Patra yang berada di bahagian timur laut negara tersebut.

Bahasa suku kaum Patra tidak mempunyai sebarang bahan bertulis atau skrip untuk dijadikan rujukan. Mereka hanya bergantung kepada cerita lisan dan lagu-lagu rakyat semata-mata.

Ketua suku kaum tersebut, Laxman Lal Patra, 70, berkata, ibunya menyanyikan lagu menggunakan bahasa Laleng semasa beliau masih kecil.

"Kisah dongeng masyarakat, puisi dan lagu telah dilupakan kerana ia tidak ditulis sebagai langkah untuk memelihara bahasa tradisi kami. Menantu saya hanya dapat menggunakan bahasa tradisi kami ketika mendodoikan anaknya untuk tidur," katanya.

Kehilangan besar

Menurut Patra, kebanyakan suku kaumnya masih menggunakan bahasa Laleng.

"Kami mempelajari bahasa Bangla dengan cepat, tetapi kami bernasib baik masih sedikit sebanyak mampu mempertahankan bahasa Laleng.

"Kanak-kanak lelaki tidak pernah mengambil ungkapan bahasa Bangla dari sekolah dan jiran yang berbangsa Bengali," katanya.

Pensyarah Linguistik Universiti Dhaka, Prof. Shourav Sikder menerusi tulisan beliau dalam sebuah buku bertajuk Indigenous Languages of Bangladesh telah menyenaraikan bahasa-bahasa yang kian pupus di negara tersebut.

"Bahasa Mahali, Malto, Razoar dan Rajbangshi kini sudah tidak lagi digunakan. Berdasarkan situasi tersebut, kerajaan Bangladesh seharusnya patut dipersalahkan.

"Hanya bahasa daripada dua suku kaum masih digunakan kerana mempunyai bahan cetakan bertulis," katanya.

Seorang penyelidik bahagian penyelidikan dan pembangunan kerja-kerja amal orang asli, Mesbah Kamal berkata, kepupusan bahasa dalam kalangan puak-puak tertentu berpunca daripada mereka tidak menyayangi bahasa ibunda mereka sendiri.

"Ia bukan satu kehilangan yang besar jika suku kaum tersebut tidak menggunakan bahasa ibunda mereka.

"Masalah bahasa yang terjadi di Bangladesh akan memberi kesan kepada kepelbagaian dan kemajmukan budaya dalam kehidupan sehingga menyebabkan sifat toleransi semakin pudar dalam diri mereka," katanya.

Setiausaha Hal Ehwal Budaya, Suraiya Begum berkeras bahawa suku kaum di negara tersebut sentiasa mengamalkan bahasa dan budaya mereka melalui pelbagai usaha yang dikendalikan.

Begum kebiasaannya akan memberi ruang kepada Institut Bahasa Ibunda Antarabangsa yang telah ditubuhkan pada tahun 2001 untuk memelihara dan menguasai bahasa etnik yang menjadi pertuturan masyarakat di Bangladesh.

Pengkritik pula berpendapat bahawa institut tersebut hanya rekaan semata-mata yang mengabaikan keadaan realiti di Bangladesh.

"Bahasa ibunda saya yang indah telah hampir mati.

"Golongan muda tidak mempedulikan bahasa ibunda mereka. Pada mereka, pekerjaan dan pelajaran adalah segala-galanya." kata Patra.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: