Bagi merangka dan menyusun strategi ke arah masa depan yang lebih efisyen dan mantap, mendorong Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengadakan lawatan kerja ke Sepanyol baru-baru ini.
Teras lawatan itu antara lain ialah memberi pendedahan kepada jawatankuasa tersebut untuk melihat secara lebih dekat mengenai kesan dan pengaruh Islam dalam membentuk jati diri dan ketamadunan di ketiga-tiga negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan mengetuai lawatan penuh bermanfaat berkenaan.
Sewaktu di sana, selain misi serampang empat mata iaitu lawatan sambil belajar, memperkenalkan MAIPs dan Perlis, silaturrahim dan juga dakwah, pelbagai maklumat dikumpulkan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis untuk dibawa balik ke negeri di utara Semenanjung itu.
Sebenarnya, Sepanyol cukup sarat dengan pelbagai sejarah tamadun Islam yang tersendiri.
Buktinya cukup jelas apabila ia memiliki banyak bangunan indah dan setiap bangunan itu pula menyimpan sejarahnya yang tersirat dan tersurat.
Apabila berjalan-jalan di Sepanyol, bererti kita juga telah bersedia untuk menikmati keindahan panaroma dan sejarah budayanya yang cukup hebat.
Negara ini memang memiliki perjalanan sejarah yang bukan pendek.
Apa tidaknya, Sepanyol dulunya dikenali dengan nama Andalusia iaitu negara yang bersempadan dengan Portugal di barat, manakala Gibraltar dan Magribi/Morocco di selatan sementara di timur pula terletaknya Perancis dan Andorra.
Dikenali dengan nama Andalusia, mengambil istilah bahasa Arab ‘Al Andalus’, merujuk kepada bahagian jazirah Iberia yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Muslim.
Namun pada 1492 di bawah pemerintahan Raja Ferdinand dan Ratu Isabell, pemerintahan Muslim Andalusia ditakluk semula oleh Kerajaan Katolik.
Sejarah inilah yang menjadikan Sepanyol memiliki seni bina bangunannya yang tersendiri, tetapi jelas menunjukkan ia dipengaruhi oleh kebudayaan Muslim dan Katolik.
Berikut adalah di antara bangunan-bangunan indah di Sepanyol:
- Alhambra di Granada
Alhambra terletak di Bukit La Sabica. Ia merupakan istana peninggalan Bani Ummaiyah ketika Sepanyol masih kekal sebagai Andalusia.
Istilah Alhambra diambil daripada bahasa Arab yang bermaksud Istana Merah. Ia juga sempena seluruh bahagian bangunan yang didirikan oleh Sultan Muhammad bin Ahmar, raja bangsa Moor yang berasal dari Afrika Utara itu berwarna merah.
Satu keistimewaan yang terdapat di bangunan ini ialah tertera hasil pahatan huruf Arab yang mewarnai bahagian dinding sebelah dalam bertulis “Laa ghaliba illalah" (tiada kejayaan selain Allah).
- Torre del Oro di Seville
Torre del Oro atau lazimnya disebut Gold Tower. Ia merupakan menara tinjau tentera yang terletak di sebuah benteng pertahanan yang menghubungkan Alcazares dengan dermaga yang kedudukannya sangat strategik.
Buat pertama kalinya, ia dibina oleh Gabenor Abul-Ula pada tahun 1220-1221 yang terletak di tepi Sungai Gualdarquivir yang ada di Kota Seville.
Nama Torre del Oro berasal daripada keadaan lantai yang dulunya diperbuat daripada emas. Ketika ini Torre del Oro digunakan sebagai Muzium Maritim dan menjadi salah satu mercu tanda hebat bagi Kota Seville.
- Mezquita-Katedral de Cordoba
Ia biasanya disebut sebagai Masjid-Katedral di Cordoba. Awalnya, ia adalah tempat pemujaan Pagan (orang yang tidak percaya kepada sebarang agama utama seperti Islam, Kristian atau Yahudi) yang diambil alih oleh gereja Kristian Visigothic dengan menambahkan katedral Gothic di tengah-tengah bangunan sehingga terlihat seperti ada gereja dalam masjid.
Kemudian, ketika bangsa Moors (Umayyad) menduduki Andalusia, bangunan ini diubah menjadi Masjid.
Namun demikian, kini seluruh bangunan masjid tersebut sudah digunakan untuk Katedral Paderi Kristian Cordoba.
Mezquita menjadi salah satu Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) setelah itu disebut-sebut dan diakui sebagai salah sebuah masjid yang tercantik dan terbesar di dunia.
- Giralda di Seville
Giralda pula merupakan satu simbol paling terkenal di Sevilla kerana saiznya yang cukup besar dengan keluasan 1,361 meter persegi, sementara ketinggiannya pula 42 meter.
Giralda merupakan menara masjid yang pada awalnya adalah Cathedral of Seville. Di Cathedral of Seville inilah terletaknya makam Christopher Columbus.
Columbus dimakamkan di Sepanyol kerana meninggal dunia di salah satu wilayah di ‘Negeri Matador’ ini iaitu di Valladolid pada 20 Mei 1506.
- Reales Alcazarez di Seville
Ia merupakan istana yang dibentengi oleh asas binaan yang cukup kukuh. Dibina sewaktu pemerintahan Abd. Al Ramn III pada tahun 913.
Antara keistimewaan bangunan ini ialah memiliki banyak bilik, teras dan ruang bervariasi dengan gaya Islam Neoklasik.
Terdapat juga Salon de los Embajadores (Ruang Duta), iaitu kubah yang dihiasi dengan patung kayu cedar bersepuh emas juga Arcos de Herradura (Sepatu Kuda) ialah ubin berplaster yang memiliki tiga busur masing-masing tiga sepatu kuda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: