Wednesday, May 30, 2012

Kamal nafi terima ugutan


KAMAL ADLI


SPEKULASI penangguhan tayangan perdana filem Gerimis Mengundang dari tarikh asal iaitu 21 Mei kepada 28 Mei ekoran pertindihan tarikh dengan tayangan perdana filem Aku Ada Kau Ada??? menimbulkan tanda tanya.

Ada dakwaan yang mengatakan penundaan tayangan perdana filem arahan Ahmad Idham itu disebabkan oleh tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth (MIG), David Teo yang dikatakan mengganggu hak pengedaran Excellent Pictures yang diterajui Ahmad Idham sendiri.

Selain itu, muncul juga dakwaan bahawa pelakon utama filem Gerimis Mengundang iaitu Kamal Adli telah menerima mesej amaran berbaur ugutan saman daripada David Teo untuk hadir ke tayangan perdana filem Aku Ada Kau Ada??? ketika dia berada di Jakarta, Indonesia untuk tujuan promosi filemnya.

Kosmo! berkesempatan menemu bual kedua-dua individu yang terbabit iaitu Ahmad Idham dan Kamal Adli berhubung isu tersebut selepas sidang akhbar tayangan perdana filem Gerimis Mengundang di Sunway Pyramid, Bandar Sunway baru-baru ini.

Kosmo!: Filem Gerimis Mengundang dikatakan berdepan krisis pengedaran yang dikatakan telah diserahkan kepada MIG sebelum ini, adakah dakwaan ini benar?

AHMAD IDHAM (AI): Filem ini masih di bawah edaran syarikat saya sendiri iaitu Excellent Pictures yang diterbitkan oleh E-rama Creative Sdn. Bhd., lagipun perbincangan antara E-rama dan MIG sebelum ini pun hanya untuk penyiaran Gerimis Mengundang di saluran Astro First bukannya pengedaran filem.

Bagaimana anda selaku pengarah filem Gerimis Mengundang melihat situasi yang sedang berlaku yang dikatakan produksi anda disabotaj dan ada pihak yang cuba potong jalan?

Memang pada mulanya agak terkejut apabila diberitahu mengenai penundaan tarikh tayangan perdana filem ini oleh pihak E-rama pada saat-saat akhir. Hal saya disabotaj atau potong jalan sebenarnya masih diteliti sebelum kenyataan lanjut boleh dibuat.

Jadi, benarkah wujud unsur sabotaj terhadap filem itu dan apa tindakan anda selanjutnya?

Bunyi seakan-akan saya disabotaj dan kalau pihak Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) tidak menghubungi saya selepas pulang daripada mengerjakan umrah minggu lepas, saya tidak tahu menahu akan hal ini. Buat masa sekarang, saya diam saja dan tiada apa yang merugikan saya pun sebab saya cuma mengarah.

Memandangkan pratonton filem Gerimis Mengundang sepatutnya dijalankan pada tarikh yang sama dengan filem Aku Ada Kau Ada??? kemudian ditunda ke tarikh yang baharu iaitu kelmarin (28 Mei 2012), adakah ia menjejaskan promosi filem anda?

Tidak sama sekali. Masing-masing ada perancangan sendiri dan saya rasa dengan memberi laluan kepada tayangan filem Aku Ada Kau Ada???, itu adalah langkah terbaik untuk tidak mengeruhkan keadaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: