Tiba sahaja ke restoran eksklusif bertaraf lima bintang, mata pengunjung pastinya tertumpu kepada juadah yang disediakan secara bufet.
Biarpun beribu hidangan disajikan pihak hotel kepada pengunjungnya, namun bagi mereka yang beragama Islam pastinya tidak banyak pilihan selain menjadi vegetarian atau sekadar menjamah makanan laut kerana meragui status halal makanan tersebut.
Ini kerana dalam Islam tidak ada istilah separuh halal atau gred halal berstatus tiga bintang atau sebagainya.
Walaupun makanan yang disajikan sekadar sup cendawan, bahan tambahan seperti pewarna, perisa, pengawet dan seumpamanya masih diragui, apatah lagi setelah melihat isi kandungan berkod E471, E152, E280 dan E635.
Teori dan demonstrasi
Minggu ini, S3 membawa pembaca ke dapur kampus tepi tasik, Taylor's University College untuk bertemu Chef Farouk Othman.
Pada sesi temuramah tersebut, Chef Farouk sempat berkongsi pengalaman beliau ketika memperkenalkan konsep makanan halal di Macau.
Menurutnya, beliau telah dilantik sebagai wakil Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau (MGTO) di Malaysia di bawah pimpinan, Tunku Iskandar.
"Tujuan saya mengunjungi Macau bersama Chef Faizul Mat Akhir adalah untuk memperkenalkan subjek halal kepada hotel-hotel bertaraf lima bintang yang terdapat di Macau," jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau sempat mengadakan bengkel makanan halal yang disampaikan melalui pembentangan penyampaian menerusi aplikasi power point.
"Dalam penyampaian ini, saya berikan contoh yang diambil daripada penyelidikan yang telah saya lakukan dari segi perbandingan antara makanan halal dengan kosher (makanan bangsa Yahudi).
"Dengan adanya perbandingan seperti ini, ia secara tidak langsung memudahkan para pegawai atasan dan chef eksekutif dari hotel ternama yang menyertai bengkel tersebut memahami serba sedikit persamaan yang ada dalam kedua-dua jenis makanan berkenaan," katanya.
Chef Farouk berkata, makanan kosher telahpun diterapkan di Eropah dan para chef di sana juga memahami konsep tersebut tetapi mereka masih kekurangan ilmu mengenai makanan halal.
"Ini kerana mereka yang bukan Islam hanya menganggap makanan yang tidak mengandungi bahan haram seperti daging khinzir adalah halal.
"Tetapi dalam Islam, kita ada cara tersendiri dalam penyediaan makanan seperti daging ayam atau kambing yang ingin dimasak itu perlulah disembelih mengikut tuntutan agama.
"Maka saya terangkan kepada mereka mengenai cara-cara penyediaan bahan-bahan halal hingga ke perkakas dan senarai bahan yang boleh dan tidak boleh digunakan.
"Di samping itu, saya juga terangkan bahan yang telah dikodkan sebagai haram seperti E471 secara terperinci dengan apa yang dituntut oleh syarak, contoh darah dari bangkai haiwan tidak boleh dimakan umat Islam," ujarnya.
Selain menerangkan konsep tersebut secara teori, bekas Chef Tournant dari Hotel Westin Kuala Lumpur ini juga melakukan demonstrasi masakan Melayu seperti roti canai, kuah dal, nasi lemak dan laksa.
"Rata-rata pegawai atasan dan chef eksekutif yang mengikuti bengkel ini mahu saya mengadakan demonstrasi masakan Islam.
"Tetapi sebagai orang Melayu yang beragama Islam, masakan kita sudah terbukti status halalnya," katanya.
Sebelum bengkel tersebut bermula, Chef Farouk dan Chef Faizul telah menyamak kesemua perkakas dan peralatan memasak yang ingin digunakan.
"Sebelum bertolak ke Macau, saya dan Chef Faizul telah menyediakan tanah yang diambil dari Malaysia untuk tujuan tersebut.
"Sehari sebelum buat demonstrasi masakan, saya samak semua perkakas yang ingin digunakan dan ia mengambil masa lebih dua jam.
"Segelintir chef yang bertugas di sana berasa pelik dengan tindakan saya dan ada juga yang bertanya kenapa saya perlu menyamak kesemua perkakas yang ingin digunakan dengan tanah.
"Jawapan yang saya berikan kepada mereka mudah sahaja. Saya jawab ia sebenarnya tuntutan agama seperti holistic approach bagi memudahkan mereka memahami konsep samak.
"Pihak hotel tidak ada masalah kerana di samping itu mereka boleh belajar mengenai cara-cara samak," ujarnya.
Tepat pukul 6 petang, masa yang dinanti-nantikan tiba. Ini kerana pada waktu itu, Chef Farouk dan Chef Faizul akan menyajikan makanan halal kepada pegawai atasan dan chef eksekutif dari pelbagai hotel ternama di Macau.
"Mereka menyambut baik kedatangan kami dan melalui bengkel tersebut, saya dapati sambutan yang diberikan amat positif termasuk daripada para hadirin.
"Mungkin mereka akan mengaplikasikan kaedah pemakanan halal pada masa akan datang.
"Untuk menyediakan makanan halal bukan mudah kerana kalau hotel tersebut tidak mempunyai pekerja Islam, hotel tersebut kena melatih pekerja bukan Islam mengenai cara-cara penghasilan makanan halal," katanya.
Tambahnya ketika sesi soal jawab, pelbagai soalan ditujukan kepada mereka berdua termasuk kenapa mereka perlu melakukan apa yang dituntut oleh hukum syarak.
"Soalan ini agak sukar untuk dijelaskan dan jawapan terbaik adalah apa yang saya terangkan dalam bengkel tersebut merupakan hukum syarak dan sebagai orang Islam, saya tidak boleh mempersoalkan apa yang telah ditulis dalam al-Quran.
"Hukum pemakanan Islam merupakan peraturan yang menentukan makanan yang halal dimakan oleh Muslim.
"Perkara berhubung halal dan haram telah dijelaskan dengan begitu nyata dalam al-Quran.
"Dalam membincangkan konsep halal, ia bukan sahaja meliputi makanan tetapi juga konsep yang lebih luas seperti gaya hidup," jelasnya.
Disamping itu, Chef Farouk turut mendedahkan bakteria Staphylococcus sangat berbahaya kepada manusia dan ia banyak terdapat dalam daging khinzir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: