PERTAMA kali melangkah masuk ke Senerity Spa pasti pengunjung akan terbuai dengan alunan muzik Bali dan tusukan aroma wangian serai.
Gabungan muzik, dekorasi indah dan aroma yang menusuk hidung pasti memberikan satu perasaan tenang dan nyaman.
Tambahan, pengunjung akan melalui satu laluan bertangga sebelum menuju ke bahagian atas bilik rawatan dengan diiringi cahaya samar yang lembut dan menenangkan.
Setiap lukisan yang tergantung di dinding dan laluan ke bilik rawatan berunsurkan kayu mencetuskan perasaan seperti berada di Bali.
Penyelia Spa, Lita Pilus, 38, berkata, konsep tradisional dan Bali di spa itu sentiasa mendapat perhatian pengunjung.
"Dari saat pertama pengunjung melangkah kaki di spa ini kami memberi jaminan mereka akan terpesona dan rasa nyaman sepanjang menerima rawatan.
"Setiap rawatan yang dilakukan sentiasa mengutamakan kepuasan kepada pelanggan," katanya.
Tambahnya, kebanyakan pelanggan yang datang pertama kali di situ akan berkunjung lagi kerana mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.
Beliau berkata, terdapat enam kamar rawatan disediakan di bahagian bawah dan atas spa.
"Terdapat tiga bilik rawatan bujang, dua bilik rawatan muka, selain satu bilik khas yang kesemuanya dilengkapi rawatan bertangas dari Thailand dan juga surau untuk pelanggan.
"Aras tingkat atas spa juga terdapat ruang menunggu yang luas dan cantik selain laluan untuk ke setiap bilik rawatan sangat peribadi," katanya.
Beliau berkata, terdapat pakej rawatan khusus yang disediakan dengan empat langkah merangkumi rawatan dari hujung rambut sehingga hujung kaki.
"Rawatan ini dimulai dengan bertangas bertujuan membuang toksik dalam badan, kemudian diikuti dengan urutan dan skrub bagi membuang sel-sel kulit mati dan melancarkan peredaran darah.
"Seterusnya disusuli dengan mandian susu kambing bertujuan melembutkan seluruh permukaan kulit," katanya.
Katanya, keistimewaan spa itu pelanggan akan diberikan segelas minuman air teh campuran daun sirih selepas selesai melakukan rawatan.
Tambahnya, bahan-bahan yang digunakan dalam setiap rawatan menggunakan akar-akar kayu, daun sirih, manjakani, kacip fatimah, kopi dan boreh.
"Terdapat juga rawatan lain yang disediakan iaitu rawatan selepas bersalin, rawatan untuk bakal pengantin, rawatan pencerahan muka dan resdung," katanya.
Katanya, harga yang ditawarkan untuk pakej seluruh badan adalah serendah RM180 hingga RM335.
"Sementara rawatan selepas bersalin berharga RM199, pakej rawatan pengantin RM335, rawatan muka RM 125 dan rawatan resdung RM35," katanya.
Serenity Spa yang beroperasi di Jalan Lawan Pedang 13/27, Seksyen 13, Shah Alam dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 7 malam.
Sebarang maklumat lanjut dan juga pertanyaan boleh hubungi di talian 03-55116069 atau layari laman sesawang www.serenityspa.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: