Thursday, May 31, 2012

Kerja keras demi salon rambut

MENGENALI wanita ini sejak empat tahun lalu, sesungguhnya beliau seorang yang kuat bekerja dan tabah menghadapi apa sahaja dugaan dalam dunia perniagaan.

Bukan senang bagi seorang wanita Melayu apatah lagi dalam usia yang terlalu muda, iaitu 23 tahun untuk memulakan perniagaan salon rambut di KL Sentral. Premis perniagaan di lokasi yang sibuk itu sudah tentu sahaja mengenakan bayaran sewa yang tinggi.

Ini bermakna beliau perlu bekerja keras bagi mempertahankan salon miliknya supaya terus bertahan dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Namun beliau bersyukur dan berbangga kerana sehingga ke hari ini salon miliknya tetap bertahan dan kini sudah melepasi usia perniagaan selama tujuh tahun dan semakin kukuh bertapak.

Noraini Wahib atau lebih selesa dikenali sebagai Nora berjaya menjadikan salon miliknya di KL Sentral, iaitu E-Go Hair & Beauty Salon begitu dikenali dan mempunyai ramai pelanggan tetap di kalangan pekerja-pekerja pejabat yang berdekatan atau mereka yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan di situ.

Antara ramai yang bertali arus lalu di hadapan salonnya, pasti ada yang akan singgah mendapatkan khidmat dandanan rambut dan sebagainya terutama apabila perlu menghadiri mesyuarat di luar pejabat, untuk ke majlis atau sememang menjadi rutin mingguan.

''Salon ini menawarkan perkhidmatan yang pantas kerana seperti pelbagai kenderaan yang pantas bergerak di KL Sentral ini, kami juga perlu pantas dalam khidmat kami.

''Pelanggan ingin sentiasa cepat ke pejabat, ke lapangan terbang serta mengejar masa menaiki tren. Saya tidak mahu mereka tertunggu-tunggu yang boleh menjejaskan perancangan mereka. Selain perkhidmatan yang pantas, saya akan mempastikan pelanggan berpuas hati dengan khidmat yang diberikan,'' ujar Nora yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada University Irish International, London.

Menurut Nora, semasa usia remaja beliau sering berangan-angan untuk mempunyai perniagaan tetapi tidak pernah terfikir akan membuka salon rambut.

Pada awalnya, beliau mendapat banyak tentangan daripada keluarga kerana semasa menuntut di universiti beliau mengikuti pengajian pengurusan sumber manusia dan berbeza dengan dunia kecantikan.

Keluarga lebih bersetuju jika beliau bekerja makan gaji dan bukan berniaga apatah lagi dalam dunia kecantikan. Namun beliau berdegil dan bertekad membuka perniagaan ini. Beliau yakin boleh berjaya dan akan membuktikan pada keluarga.

Bagi melengkapkan dirinya, Nora mengikuti beberapa kursus seperti kursus solekan dan rambut serta menghadiri seminar berkaitan kecantikan sama ada di dalam dan di luar negara.

Nora tidak terkecuali berhadapan dengan pelbagai halangan dan rintangan. Namun beliau tidak mudah patah semangat dan berundur. Berfikiran positif ditanamkan di dalam jiwa dan mindanya supaya beliau tidak kalah di pertengahan jalan.

''Untuk menjadi senang, saya tidak mempunyai pilihan selain bekerja kuat. Tahun pertama membuka perniagaan ini tiada istilah cuti dalam kamus hidup saya. Sepanjang 365 hari dalam setahun hanya tiga hari saya mengambil cuti untuk menyambut hari raya.

Selebihnya saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan. Terus terang saya katakan tahun pertama dan kedua berniaga cukup sukar bagi saya.

''Perniagaan kecantikan menuntut sepenuh perhatian, tenaga, masa dan pengorbanan kerana perniagaan ini merupakan bidang yang sangat serius. Jika kita berani mengambil risiko, perniagaan kita akan terus maju. Bagi saya, perniagaan ibarat maruah diri seseorang kerana tiada seorang pun yang mahu hidupnya gagal dan diperlekehkan oleh pihak lain,'' ujar anak ketiga daripada lapan beradik ini.

Untuk tempoh lima tahun yang akan datang, jelas Nora, beliau akan berusaha memantap dan meningkatkan lagi perkhidmatan salonnya, membuka akademi kecantikan dan merancang membuka cawangan di tempat lain.

Bersandarkan daripada pengalaman yang diperoleh, Nora diberi kepercayaan menata rias artis dan peserta-peserta dalam banyak rancangan realiti televisyen dan drama.

Antaranya ialah Akademi Fantasia musim ketiga-final, Konsert Reunion AF, Konsert Kenangan Afnil, rancangan Kamilah Bintang, Konsert Kenangan P.Ramlee dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: