KUALA LUMPUR: Aktres Miera Leyana mengakui berasa janggal untuk berlakon bersama bekas kekasihnya iaitu aktor Shahrizal Jaszle selepas hubungan mereka berakhir kira-kira tiga bulan lalu.
Miera, 19, berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama secara profesional namun di dalam hatinya terdetik juga perasaan kekok dan kurang selesa untuk bergandingan dengan aktor itu.
"Saya berasa kekok untuk berlakon bersama sejak hubungan kami putus. Kami memainkan peranan sebagai pasangan kekasih dalam drama 13 episod berjudul Harapan arahan pengarah dari India iaitu Ishal.
"Saya akui sangat susah untuk bertentang mata dan menjayakan watak pasangan kekasih tetapi saya lakukan juga atas dasar profesional," katanya kepada mStar Online.
Hubungan Miera dan Shahrizal yang terjalin selama lima bulan berakhir pada Februari lalu kerana lelaki itu dikatakan berlaku curang.
Miera berkata dia hanya berkomunikasi dengan Shahrizal semata-mata untuk menjayakan watak itu sepanjang penggambaran berlangsung selama sebulan.
"Kami hanya berkomunikasi apabila babak kami dirakamkan. Jika tidak, kami akan duduk berasingan dan membuat hal masing-masing. Pada peringkat ini, saya sedang menyesuaikan diri dan emosi akibat perpisahan itu.
"Jujurnya, masih berat dan sukar untuk saya berpura-pura seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku di antara kami sebelum ini," luahnya.
Diusik mengenai keputusannya menerima tawaran untuk berlakon bersama, Miera berkata tawaran tersebut diperolehnya lebih awal sebelum dimaklumkan oleh pihak produksi bahawa Shahrizal turut serta dalam drama berkenaan.
"Saya tertarik dengan idea dan konsep drama itu yang bertemakan percintaan. Sebab itu, saya menerima tawaran tersebut. Saya tidak sangka pula dia (Shahrizal) akan ditawarkan sebagai hero drama ini.
"Jika saya tahu daripada awal, mungkin saya tidak ambil. Namun, saya menetapkan syarat kepada syarikat produksi iaitu kami hanya berlakon atas dasar profesional dan tiada isu-isu peribadi perlu dilibatkan sepanjang penggambaran," akuinya.
Drama Harapan dijangka menemui penonton pada Ogos depan menerusi RTM.
Selain drama itu, Miera juga sedang terlibat dalam penggambaran drama Pencinta terbitan Grand Brilliance.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: